Rodri Tak Terkilan Real Madrid Dan Vini Boikot Ballon d’Or

Rodri menegaskan dia tidak terganggu dengan keputusan Vinicius Junior dan Real Madrid memboikot acara Ballon d’Or baru-baru ini. Rodri baru-baru ini dipilih sebagai pemenang Ballon d’Or 2024.

Rodri malah kehairanan bagaimana kem Madrid terlebih dahulu tahu bahawa dia adalah pemenang bukannya Vinicius?

“Tak ada seorang pun yang memaklumkan saya bahawa saya adalah pemenang Ballon d’Or. Kamu pergi ke sana dan menunggu sehingga sampul dibuka.

“Jadi, jika Real Madrid tak mahu datang, mereka ada alasan tersendiri. Namun saya tidak terkilan pun kalau Vini tidak berada di sana.”

Delegasi  Real Madrid memutuskan untuk tidak menghadiri acara anjuran Bola Sepak Perancis dan UEFA di Paris pada 28 Oktober. Mereka kecewa kerana Vinicius, yang menjadi pilihan, gagal memenangi anugerah Ballon d’Or.

Dalam keputusan undian oleh panel wartawan antarabangsa, Rodri mendapat 41 mata lebih daripada Vinicius. Sementara itu, Jude Bellingham dan Dani Carvajal menduduki tempat ketiga dan keempat.

Rodri, yang kini diketepikan akibat kecederaan ACL jangka panjang sejak September, memberi maklum balas mengenai ketidakhadiran Vinicius Junior pada sambutan anugerah Ballon d’Or yang diadakan baru-baru ini.

“Kenapa saya perlu terganggu?” Rodri berkata kepada COPE Radio.

“Itulah momen untuk saya, untuk menikmatinya bersama keluarga. Perkara terakhir yang saya fikirkan ialah orang yang tidak berada di sana dan yang tidak mahu mengambil bahagian.”

Rodri turut menekankan rasa hormatnya kepada Vinicius Júnior dan Real Madrid walaupun terdapat perbezaan pendapat berhubung acara Ballon d’Or.

“Saya gembira orang ramai memilih mengikut apa yang mereka rasa. Itu pendapat peribadi mereka,” kata Rodri.

“Saya sangat menghormati Vinícius dan Real Madrid, dan sesiapa yang mengenali saya tahu itu… Saya sendiri mungkin akan memilih Carvajal, dan juga Vinicius. Mungkin Carvajal di tempat kedua.”