Rodrygo Label Messi Pengecut

Penyerang pasukan kebangsaan Brazil, Rodrygo dikatakan menggelar kapten pasukan kebangsaan Argentina sebagai pengecut ketika beraksi pada Kelayakan Piala Dunia 2026 di zon CONMEBOL.

Brazil tewas 0-1 kepada Pasukan Kebangsaan Argentina pada perlawanan keenam Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon CONMEBOL di Stadium Maracana.

Kekecohan antara penyokong Brazil dan Argentina tercetus sejurus sebelum sepak mula yang mengakibatkan beberapa penyokong pasukan pelawat itu cedera.

Para pemain pasukan kebangsaan Argentina menghampiri seksyen tempat duduk yang diduduki penyokong mereka untuk membantu meredakan keadaan.

Di atas padang, Rodrygo dan Lionel Messi bertikam lidah. Dengan Messi dilihat menerkam tengkuk pemain Real Madrid itu. Dia awalnya cuba menenangkan Rodrigo namun pemain Brazil itu malah mengejeknya sebagai pengecut.

Rodrygo didakwa mengutuk Messi sebagai pengecut. “Kami adalah juara Piala Dunia 2022, mengapa pula kami pengecut? Jaga mulut kamu,” kata Messi sebagai respons kepada Rodrygo.

Agak ironi kerana sebelum ini Lionel Messi turut mengecam pemain pemain generasi muda Uruguay sebagai tiada adab dan tak menghormati orang lebih tua daripada mereka.

Gol kemenangan Argentina menentang Brazil dijaringkan oleh Nicolas Otamendi pada minit ke-63 selepas menerima hantaran Giovani Lo Celco.

Pada minit ke-81, Brazil terpaksa bermain dengan sepuluh pemain selepas Joelinton dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana bertindak balas terhadap sentuhan fizikal Rodrigo De Paul.

Kemenangan ini bersejarah kerana Argentina menjadi negara pertama menewaskan Brazil di tempat sendiri sepanjang Kelayakan Piala Dunia.

Selepas tamat perlawanan, Messi mengecam pihak polis yang menurutnya gagal mengawal keselamatan dengan baik.

Messi berkata: “Kami tengok polis memukul orang awam, perkara ini sudah berlaku dalam aksi final Libertadores yang lalu.”

“Mereka lebih fokus kepada perkara seperti itu berbanding memainkan perlawanan. Kita adalah keluarga [rumpun Amerika Latin]. Kami memutuskan untuk terus bermain untuk menenangkan lagi keadaan.”

Rodrigo De Paul kemudian menyatakan bahawa Argentina sudah membuktikan bahawa mereka adalah pasukan terbaik di dunia pada masa ini. Prestasi mereka di atas padang sudah cukup menjadi bukti.

“Kami pasukan kebangsaan terbaik di dunia. Kami bercakap dengan prestasi di atas padang, kami ada telor.”

“Kami menunjukkannya sekali lagi hari ini bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk jersi ini. Kami mencipta sejarah,” tegas pemain itu.

 

Baca yang lain