Cristiano Ronaldo sekali lagi melemparkan kritikannya ke atas Erik Ten Hag. Beberapa tahun lalu dia pernah mengecam Ten Hag dalam wawancara dengan Piers Morgan.
Ronaldo masa itu dengan terbuka menyatakan: “Saya tak akan bermain lagi di bawah pengurus ini. Dia tak hormat saya dan saya pun tak akan pernah hormat orang seperti ini.”
Kali ini dia menggunakan platform miliknya sendiri untuk mengutuk Ten Hag iaitu menerusi saluran YouTube UR Cristiano. Dia mengecam sikap pengurus itu yang menurutnya tidak layak menjadi pengurus Man United.
Dia berkata begitu dalam wawancara dengan Rio Ferdinand. Ronaldo merupakan legenda Man United dengan 145 gol dalam 326 penampilannya bersama Setan Merah. Dia turut memiliki 9 trofi bersama kelab itu.
Ronaldo menyatakan bahawa dia benar benar rasa dikhianati oleh Erik Ten Hag sebelum dia membuat sesi wawancara kontroversi yang membawa kepada penamatan kontraknya.
Ronaldo juga melabel Ten Hag sebagai bermentaliti senang mengalah atau loser. Yang tidak sesuai dengan kelab itu.
Ronaldo berkata: “Coach, Erik Ten Hag berkata kami tidak mampu bersaing untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara Juara Eropah. Sebagai seorang coach Manchester United, kamu tidak boleh berkata bahawa kamu tidak boleh bertarung untuk menang EPL dan UCL.
“Kamu harus secara mentaliti berkata, dengar sini, kita mungkin tak cukup potensi untuk menang, namun saya tak boleh keluarkan ayat seperti itu di Man United. Kita semua akan mencuba dan kita semua harus mencuba.”
Sejak Ten Hag mengambil alih Man United menamatkan saingan di tangga ketiga dan kemudian kelapan. Mereka memenangi Piala Carabao dan Piala FA. Dua piala yang menyelamatkan Ten Hag daripada dipecat.
Top clubs would’ve won trophies with these players. pic.twitter.com/5m3Id3xWRs
— RW 🇸🇪 (@ronaldowarrior) September 11, 2024
Kini Man United sudah di bawah INEOS dan memiliki keupayaan untuk bersaing di jendela perpindahan. Cita cita INEOS adalah jelas bahawa mereka mahu kelab itu menjuarai EPL dan UCL dalam masa beberapa tahun ini.
Musim sebelum ini Ten Hag berterus terang menyatakan Man United tidak bersedia untuk menjuarai EPL atau UCL. Tetapi dia menegaskan bahawa dia faham dengan cita cita kelab di bawah INEOS ketika dia menerima tawaran kontrak baharu pada musim panas lalu.
Ronaldo yakin bahawa keputusannya meninggalkan United kerana tidak sehaluan dengan Erik Ten Hag adalah tepat. Dan dia berharap Ten Hag kali ini mendengar cakap orang seperti Ruud Van Nistelrooy yang menjadi pembantunya bermula musim ini.
“Jika Ten Hag dengar nasihat orang seperti Ruud, mungkin itu akan membantunya. Saya rasa Ruud akan membantu dengan banyak kerana dia tahu selok belok kelab dengan mendalam. Dan kelab harus mendengar kata kata orang seperti Ruud yang berada di sana.
“Kamu [Rio], atau Roy Keane atau Paul Scholes atau Gary Neville, termasuk, Sir Alex Ferguson. Kamu tidak akan dapat membantu membina kelab ini semula tanpa pengetahuan tentang bola sepak. Sama juga dengan mereka yang hanya duduk dalam pejabat. Mereka ini [seperti Ruud Van Nistelrooy] sangat faham benda ni.
“Mereka yang memahami bola sepak, mereka yang 99% masanya ada di bilik persalinan bersama pasukan. Mereka tahu cara berdepan dengan karenah pemain. Mereka ini adalah orang yang memahami semua perkara ini. Jadi saya percaya Ruud orang yang tepat dalam hal ini untuk membantu kelab kerana dia faham tentang kelab ini dari luar dan dari dalam. Dia kenal kelab ini, dia kenal penyokong kelab ini. Jika coach mendengar kata kata orang sepertinya, saya rasa kelab ini akan meningkat sedikit.
Ronaldo beberapa tahun lalu pernah menyatakan bahawa United adalah kelab yang penuh dengan huru hara dan tidak teratur. Dia mengecam fasiliti kelab yang usang.
“Peralatan gym yang saya gunakan pada kali pertama saya tiba di United ketika masih muda dulu, saya jumpa balik peralatan sama ketika saya tiba kali ini,” tegas Ronaldo yang menganggap kelab sangat tidak serius dalam fasiliti dan kelengkapan latihan,” tegas beliau ketika itu.
Dan kini Ronaldo gembira melihat INEOS membantu kelab untuk membangunkan semula kelab itu termasuk dari segi infrastruktur yang dianggap boleh membantu kelab itu bangkit semula.