Ronaldo R9 Bidas Rakyat Brazil Pertikai Perlantikan Ancelotti

Legenda Brazil Ronaldo R9 telah tampil mempertahankan pemilihan Carlo Ancelotti sebagai pengurus Brazil yang baharu.

Ancelotti akan menggalas tugasan pengurus antarabangsa pertamanya pada 2024 nanti selepas kontraknya dengan Real Madrid berakhir.

Ketika itu Brazil akan beraksi dalam Copa America yang akan menjadi tugasan pertama Ancelotti.

Buat masa ini tugasan interim dipegang pengurus Flamengo iaitu Diniz yang akan memegang 2 jawatan. Dia menjadi pengurus Flamengo dan bertugas di kem kebangsaan untuk kelayakan Piala Dunia.

Namun sudah banyak kritikan dilemparkan ke atas perlantikan Ancelotti oleh peminat Brazil.

Mereka menganggap Brazil seharusnya menggunakan khidmat jurulatih Brazil. Tidak perlu gunakan tenaga asing.

Mereka menyatakan bahawa Brazil ada ramai pengurus dan jurulatih berkualiti. Jadi kenapa perlu menggunakan khidmat jurulatih import.

Ronaldo menyatakan: “Di Liga Brazil hanya ada 10 sahaja jurulatih dari luar Brazil. Dan mereka ini membuat persiapan lebih baik daripada jurulatih jurulatih asal Brazil.”

“Saya tahu pandangan saya ini akan mengundang kecaman kerana saya seorang yang ‘tak patriotik’ menyokong idea perlantikan pengurus dari luar.”

“Itu bukan soal tidak patriotik dan jurulatih luar pun tak semestinya bagus. Namun isi utama adalah kita harus melantik yang terbaik,” kata Ronaldo yang merasakan bahawa Ancelotti calon terbaik pada masa ini berbanding jurulatih Brazil yang lain.

Sejak Tite melepaskan jawatannya sebaik sahaja berakhir perjuangan Brazil pada Piala Dunia 2022, CBF telah dikaitkan dengan usaha untuk menukar polisi mereka dalam memilih jurulatih.

Di mana mereka mahu mencari angin baharu dengan melantik jurulatih dari Eropah. Tiga nama yang panas dikaitkan dengan jawatan di Brazil ialah Carlo Ancelotti, Jose Mourinho dan anak didik Ancelotti iaitu Zinedine Zidane.