Ronaldo: “Saya Tolak Banyak Tawaran Demi Menyertai Al Nassr, Liga Di Sini Sangat Kompetitif”

Cristiano Ronaldo menyifatkan dirinya sebagai “pemain unik” dan menegaskan kariernya belum berakhir apabila dia menerima sambutan gemuruh di kelab baharunya di Arab Saudi pada hari Selasa.

Bintang Portugal itu, 37, berkata dia telah menyelesaikan urusannya di Eropah dan dia ke Arab Saudi kerana dahagakan cabaran baharu ketika dia disambut dengan bunga api dan sorakan puluhan ribu penyokong di stadium Mrsool Park Al Nassr.

Pemenang Ballon d’Or lima kali itu, dengan lima gelaran Liga Juara-Juara Eropah atas namanya, menandatangani kontrak dengan nilai anggaran €200 juta hingga Jun 2025.

“Ia bukan pengakhiran kerjaya saya untuk datang ke Arab Saudi. Inilah sebabnya saya berubah dan, sejujurnya, saya benar-benar tidak bimbang tentang apa yang orang katakan,” kata Ronaldo.

“Di Eropah, tugas saya sudah selesai… Saya mempunyai banyak tawaran di Eropah, banyak dari Brazil, Australia, AS, malah di Portugal,” tambahnya.

“Banyak kelab cuba menandatangani saya tetapi saya mengotakan kata kata saya menyertai kelab ini.”

“Ramai orang bercakap [memperlekehkan perpindahan ke sini]… tetapi mereka tidak tahu apa apa tentang bola sepak.”

“Saya tahu liga di sini sangat kompetitif.”

Stadium berkapasiti 25,000 yang penuh sesak itu meletus apabila Ronaldo, yang memakai kit kuning dan biru Al Nassr, berjalan di atas padang, memberi tabik hormat kepada orang ramai ketika bunga api dan lampu limpah berkelip di sekelilingnya.

Teman wanitanya Georgina Rodriguez, memakai abaya hitam tradisional atau jubah penutup yang dipakai oleh kebanyakan wanita Saudi, mengikut dari jauh bersama anak-anak Ronaldo.

Dia menjelaskan bahawa kontraknya di Al Nassr agak unik, dan sesuai dengan dirinya yang juga seorang pemain yang unik.

Ronaldo bertekad mahu memecahkan beberapa lagi rekod di kelab Saudi itu.

“Saya seorang pemain yang unik. Ia bagus untuk datang ke sini, saya memecahkan semua rekod di sana (di Eropah) dan saya mahu memecahkan beberapa rekod di sini,” kata Ronaldo sebelum ini.

“Saya datang ke sini untuk menang, bermain, menikmati, menjadi sebahagian daripada kejayaan negara dan budaya negara,” tambahnya.

Ronaldo menyertai juara sembilan kali Saudi itu hanya beberapa minggu selepas pemergiannya dari United berikutan wawancara TV di mana dia menyelar kelab dan jurulatih Erik ten Hag.

Selamat maju jaya buat Abang Do di tempat baharu.

Baca yang lain