Ronaldo: ‘Ten Hag Memprovokasi Saya, Nak Suruh Saya Main 3 Minit Je? Maaflah’

Cristiano Ronaldo telah menggambarkan bahawa hubungannya dengan Erik ten Hag retak selepas berasa “diprovokasi” oleh pengurus Manchester United itu yang menjadi sebab utama dia keluar awal semasa perlawanan menentang Tottenham Hotspur.

Dalam bahagian kedua wawancaranya dengan Piers Morgan di TalkTV, yang disiarkan di UK pada Khamis, Ronaldo berkata dia berasa tidak dihormati oleh Ten Hag selepas bos United itu mendakwa dia tidak akan menggunakan pemain berusia 37 tahun itu ketika menentang Manchester City.

Dan berikutnya, pengurus itu hanya cuba membawanya masuk bermain selama tiga minit menentang Spurs, menyebabkan penyerang itu tidak mahu masuk dan beredar lebih awal.

Menurut Ronaldo tindakan itu seolah olah sengaja membuatkan hatinya panas.

Ronaldo berkata: “Kamu tidak menurunkan saya menentang Manchester City kerana menghormati kerjaya saya dan kemudian kamu mahu memasukkan saya selama tiga minit menentang Tottenham? Maaflah, saya bukan pemain seperti itu,” kata Ronaldo.

“Ia tidak masuk akal. Saya rasa dia sengaja melakukannya. Saya berasa diprovokasi, bukan sahaja kerana dalam perlawanan itu, tetapi sebelum ini.”

“Dia tidak menghormati cara yang sepatutnya saya terima. Tetapi itulah yang berlaku. Inilah sebabnya mungkin, perlawanan menentang Tottenham, saya pergi [keluar].”

“Jurulatih tidak menghormati saya. Jadi inilah sebabnya hubungan itu begitu. Dia terus berkata dalam akhbar bahawa dia datang kepada saya dan dia suka saya bla, bla, bla tetapi itu hanya kenyataan untuk akhbar, 100% [wayang je].”

“Jika anda tidak menghormati saya, saya tidak akan menghormati anda.”

Ronaldo nekad untuk menanggung akibat daripada wawancara tersebut. Di mana dia kemungkinan tidak akan beraksi lagi untuk Manchester United selepas ini. Erik Ten Hag dikatakan sudah bercakap dengan pengurusan tertinggi bahawa dia tidak mahukan Ronaldo lagi.

Ronaldo bengang dituduh tak laku

Dia juga membidas beberapa pihak sebelum ini yang menyatakan bahawa tiada tawaran daripada kelab lain untuknya, hanyalah tawaran mewa daripada Arab Saudi.

Dia menyatakan ada banyak tawaran tiba untuk mendapatkan khidmatnya, namun dia yang menolak tawaran tersebut.

“Apa yang mereka katakan dalam tiga bulan terakhir adalah sampah dan tak betul,” kata Ronaldo.

“Mereka melaporkan bahawa kelab kelab tersebut menawarkan saya ini dan itu, dan ramai presiden dan pengarah bercakap tentang saya, mereka menolak [untuk menandatangani] saya,” kata Ronaldo lagi.

“Ia adalah satu pembohongan sepenuhnya, mereka berbohong. Kerana ini bukan apa yang berlaku. Saya ada banyak kelab, bukan banyak sangatlah, ada beberapa kelab yang mereka mahu saya menandatangani kontrak dengan mereka dan saya tidak pergi kerana saya berasa selesa di sini. Ini adalah kebenaran.”

“Apa yang terus diperkatakan oleh akhbar, sampah, ialah tiada siapa yang mahukan saya, itu salah sama sekali.”

“Dan sejujurnya saya gembira di sini, saya terdorong untuk melakukan musim yang hebat di sini. Tetapi mereka terus mengulangi bahawa tiada siapa yang mahukan Cristiano. Bagaimana mereka tidak mahu pemain yang menjaringkan 32 gol tahun lepas?”

Ronaldo juga membayangkan dia boleh bersara daripada bola sepak jika Portugal memenangi Piala Dunia di Qatar tetapi berkata bahawa jika ia tidak berlaku, dia merancang untuk bermain selama tiga tahun lagi sehingga dia mencapai usia 40 tahun.

Dia juga memuji Lionel Messi, seteru tradisinya sekian lama, yang akan beraksi dalam Piala Dunia terakhirnya bersama Argentina.

“Pemain hebat, dia adalah magis, hebat,” tambah Ronaldo.

Baca yang lain