Ronaldo Terima Tawaran Bernilai RM919.6 Juta Semusim Dari Kelab Arab Saudi

Cristiano Ronaldo dilaporkan memberikan lampu hijau untuk menyertai kelab Arab Saudi, Al Nassr, selepas kelab itu sedia menawarkan kontrak sekiar 200 juta euro atau bersamaan RM919.6 juta semusim.

Menurut Marca, Ronaldo dan Al Nassr telah mencapai kata sepakat secara lisan. Pemain pasukan kebangsaan Portugal itu bersetuju dengan kontrak 2.5 tahun dengan kelab yang berpangkalan di Mrsool Park.

Fabrizio Romano melaporkan bahawa ketika ini tiada dokumen rasmi yang telah ditandatangani Ronaldo kerana pemain itu masih fokus kepada tugasan Piala Dunia 2022 bersama Portugal.

Pakej EUR200 juta itu dilaporkan turut melibatkan hak imej dan tajaan. Dan Ronaldo perlu mempertimbangkan beberapa perkara yang berkaitan dengan hak imej.

Seterusnya, Al Nassr juga berjanji bahawa pemain mereka yang memakai jersi no.7 akan mengosongkan jersi tersebut untuk Ronaldo.

Ronaldo pernah menolak tawaran kelab Saudi itu pada awal musim ini. Kali ini penyerang berusia 37 tahun itu tidak menolak tawaran gila daripada Al Nassr selepas disahkan sudah berpisah dengan Manchester United.

Ronaldo ditamatkan kontrak serta merta oleh Manchester United selepas wawancara kontroversi dengan Piers Morgan.

Penamatan kontrak tersebut adalah atas persetujuan bersama. Dengan United masih cuba menjaga hubungan dengan pemain itu.

Ronaldo kini berstatus ejen bebas!

Al Nassr benar benar sedia membelanjakan wang yang besar untuk membawa super star Portugal itu ke kelab mereka.

Al Nassr sedar bahawa persaingan untuk mendapatkan tandatangan Ronaldo pastinya banyak. Di mana kelab MLS, Inter Miami turut dikaitkan dengan minat mendapatkan Ronaldo jika mereka tidak dapat meyakinkan Messi.

Jika dari segi gaji, sangat sukar untuk Inter Miami menandingi tawaran gaji ditawarkan Al Nassr.

Ronaldo sebelum ini pernah menyatakan bahawa keutamaannya adalah beraksi di liga utama di Eropah terutama sekali bermain di UCL.

Namun situasinya kini mungkin berubah. Salah satu sebabnya adalah, hubungan rapat Ronaldo dengan ketua jurulatih Al Nassr yang ada sekarang iaitu Rudi Garcia.

Selain itu kelab Saudi itu juga sudah memiliki beberapa nama besar di dalam pasukan mereka termasuk David Ospina dan Alvaro Gonzalez, sebagai bukti bahawa mereka sedang membina projek untuk menjadi gergasi Asia.

Marca turut mendedahkan bahawa Al Nassr mahu meletakkan nama mereka agar lebih dikenali di peringkat global.