Rooney: “Jual Sahaja Ronaldo, Sebab Kelab Ini Tak Sedia Nak Angkat EPL Lagi”

Wayne Rooney tidak gembira dengan apa yang dilakukan oleh Cristiano Ronaldo selepas pemain itu meminta untuk berpindah pada awal jendela perpindahan kali ini.

Menurut Rooney, Manchester United seharusnya membiarkan sahaja pemain itu pergi dan cuba memudahkan sahaja urusannya untuk ke kelab lain.

Wayne Rooney meluahkan pandangannya menerusi kolum di The Times. Dia berkata: “Saya berpendapat Manchester United harus membiarkan sahaja Cristiano Ronaldo pergi. Ianya bukan sebab Ronaldo tak boleh bermain dalam pasukan Ten Hag, kerana Ronaldo boleh bermain dalam mana mana pasukan.”

Rooney mengakui, sebagai peminat Man United, dia pun pastinya tak mahu pemain seperti Ronaldo pergi. Dengan statusnya sebagai legenda. Tetapi keadaan buat masa ini lebih sesuai untuk Man united dan Ronaldo berpisah.

“Cuma pada pendapat saya, Manchester United yang tak mampu bersaing dalam merebut kejuaraan liga pada masa ini,” kata Rooney yang merujuk kepada alasan Ronaldo mahu pergi adalah kerana mahu bermain di UCL dan memenangi trofi, terutama sekali EPL atau UCL.

“Jadi misi sekarang adalah untuk membina pasukan yang boleh memenangi liga dalam 3 – 4 tahun akan datang. Dan kamu harus ada perancangan untuk perkara itu.”

Ini bukan pertama kali Rooney memberikan komen pedas tentang Ronaldo. Musim lalu Ronaldo pernah melabel Rooney sebagai dengki dan cemburu ke atasnya.

Ianya berpunca daripada komen Wayne Rooney dalam satu bual bicara di Sky Sports, Rooney telah berkata bahawa perpindahan Ronaldo ke Old Trafford pada usia tuanya tidak lagi memberi kesan ketara kepada Red Devils dan keadaan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Tambahan pula, ketika itu Rooney menyatakan kelab kesayangannya memerlukan suntikan darah muda yang segar agar mampu kembali cemerlang.

Tidak menerima kenyataan Rooney, Ronaldo turut membalas. Rooney, yang berada di studio bersama Jamie Carrager di acara Sky Sports, dirujuk oleh Ronaldo sebagai “dua orang pendengki” atau “dua orang cemburu”.

Tidak lama kemudian, Rooney membalas sindiran Ronaldo. Dia mengakui, sesiapa sahaja pasti cemburu dengan kehidupan Ronaldo termasuk kerjaya bola sepaknya. Dia berkata: “Saya membaca itu [sindiran Ronaldo] pagi ini!”

“Saya mungkin akan mengatakan bahawa tidak ada seorang pun pemain bola sepak di dunia yang tidak cemburu dengan Cristiano!”

Rooney berseloroh, hanya Lionel Messi yang tidak akan cemburu dengan Ronaldo kerana kedua-duanya berada pada tahap yang sama.

“Kerjaya yang telah dilalui Ronaldo, trofi yang dimenanginya, wang yang dia ada, badannya yang six pax. Saya rasa setiap pemain kecuali Lionel Messi akan cemburu dengan Cristiano!” kata Rooney.

Peminat memahami kenapa Rooney sebelum ini pernah menyatakan bahawa dia memilih Tevez sebagai gandingan terbaiknya berbanding Abang Do.

Bukannya perkara baharu melihat Rooney dan Ronaldo tak sehaluan, di mana kedua duanya pernah bertelagah dalam satu insiden kad merah ketika aksi pasukan kebangsaan.

Namun apa yang pasti, kedua duanya tetap tampil sangat profesional dan berjuang demi Manchester United apabila kembali ke kelab.

Rooney agak risau dengan persiapan Man united musim ini. Dan dia faham kenapa Man United benar benar terdesak mahukan Frenkie De Jong dan kelab itu sudah berusaha bersungguh-sungguh dalam hal itu.

Selain itu Rooney juga merasakan bahawa Man United perlu membawa masuk sekurang kurangnya seorang lagi pemain no.9 kerana mereka tidak memiliki cukup pemain untuk posisi tersebut.