Rooney Kini Catat Rekod Buruk Di Birmingham

Wayne Rooney sedang menerima banyak kritikan daripada peminat Birmingham City terutama sekali selepas satu lagi kekalahan terbaru pasukan itu.

Rooney dilantik menjadi pengurus Birmingham pada Oktober yang lalu menggantikan John Eustace. Namun jelas keadaan masih tidak membaik di kelab itu.

Ramai juga menyatakan perlantikan Rooney ini satu kesilapan. Dia mengambil alih Birmingham ketika pasukan itu berada di tangga kelima.

Dan kini mereka berada di tangga ke-15 dalam Liga Kejuaraan Inggeris.

Sejak Rooney menjadi pengurus, dia hanya berjaya meraih 1 mata daripada 15 yang tersedia. Dan sudah tentunya dia masih gagal memenangi sebarang perlawanan bersama pasukan tersebut.

Terbaru Birmingham kalah 3-1 di tangan Sunderland pada Sabtu. Menambahkan lagi tekanan di bahu bekas pemain antarabangsa England itu.

Bercakap kepada wartawan, Rooney bagaimanapun mendakwa dia melihat banyak peningkatan dalam pasukannya.

“Saya melihat banyak peningkatan, namun kami harus mulai memenangi perlawanan dan memperbaiki keputusan di atas padang. Saya sangat yakin kami akan berjaya melakukannya selepas ini.”

“Apa yang saya lihat di pusat latihan dan daripada apa yang saya lihat pemain lakukan dalam perlawanan hari ini, ianya benar benar positif.”

“Saya rasa minggu rehat ini akan membantu. Dari segi mendapatkan semula kecergasan pemain. Aspek kecergasan sangat penting dalam sistem permainan yang saya mahu terapkan. Kami melihat terdapat peningkatan dari segi aspek tersebut.”

“Dan ianya peluang untuk kami [staf kejurulatihan] untuk meluangkan masa dengan pemain pemain kami.”

Peminat Birmingham tidak gembira dengan kenyataan Rooney. Ada yang berkata: “Aku tengok game lain ke ni. Main teruk je, langsung tak ada konfiden. Fairplay cuma kepada penyokong yang sanggup datang jauh jauh untuk menyaksikan perlawanan itu.”

Seorang lagi berkata: “Abang ni [Rooney] betul betul tengok game lain. Ya 25 minit terakhir separuh masa pertama tu memang bagus, selain itu sampah la. Hantara level League 2 je [divisyen ketiga Inggeris] dan pertahanan kita benar benar memalukan je.”

Ada juga minta Rooney berhenti ambil barang terlarang kerana dia sedang delusi tanpa sedar.