Roy Keane nampaknya amat kecewa melihat aksi Manchester United menentang Manchester City dalam aksi Liga Perdana di Stadium Etihad.
Menurut bekas kapten Red Devils itu, aksi oleh Harry Maguire dan rakan rakannya pada separuh masa kedua adalah memalukan dan tidak menggembirakannya langsung.
Keane menuduh pemain pemain Man United sudah berputus asa pada separuh masa kedua.
Perlawanan berakhir dengan jaringan 4-1 untuk kemenangan Manchester City.
Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez masing masing menjaringkan dua gol. Sementara gol saguhati United adalah menerusi Jadon Sancho.
Selain menang besar, City mampu mempamerkan keunggulan dan perbezaan kelas kualiti di hadapan pasukan Ralf Rangnick.
Berdasarkan statistik perlawanan selama 90 minit, Manchester City memang tampil dominan dengan penguasaan bola sebanyak 69 peratus berbanding 31 peratus oleh lawan mereka itu.
Man United sentiasa menjadi lawan yang sukar buat Man City walaupun berlaku peralihan kuasa di bandar Manchester sejak pemilikan Abu Dhabi pada 2008. Namun dalam 7 perlawanan terakhir derbi Manchester di Etihad sebelum ini, City hanya menang sekali.
Ini adalah kali kedua berturut turut City menang kedua dua perlawanan liga sejak revolusi Pak Arab di kelab tersebut.
Keane kegeraman dengan prestasi dan sikap pemain pemain Manchester United yang menurutnya tidak boleh dimaafkan.
“United menyerah kalah. Dalam perlawanan derbi atau dalam mana-mana perlawanan, ia tidak boleh dimaafkan [apabilla kamu menyerah kalah]. Saya boleh memaafkan kesilapan, tetapi kamu harus cuba untuk berlari balik ke belakang [untuk mengejar bola], atau membuat terjahan untuk mendapatkan bola. ”
“Mereka tidak berlari, mereka menyerah kalah. Ini memalukan.”
“Ada pemain yang tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi,” kata Keane.
“Tiada tempat persembunyian dalam sukan di peringkat tertinggi. Kita semua pernah kalah dalam permainan bola sepak, tetapi semuanya bergantung pada caranya. Anda menjangkakan mereka bermain dengan sedikit rasa bangga, tetapi ia mencerminkan di mana pasukan ini sekarang,” kata Keane.
“Jika anda tidak boleh berlari turun ke belakang, ia memalukan. Mereka ini nampaknya lebih mengambil berat tentang, ‘bagaimana gaya rupa saya, bagaimana rambut saya, sama ada kasut saya bagus atau tak. Anda perlu meninggalkan ego anda apabila anda bermain untuk Man Utd,” kata Keane, yang mengetuai United di bawah zaman kegemilangan Sir Alex Ferguson.
🗣 "These guys it's all about how am I looking, am I looking the part? Are my boots nice? Hows my hair looking? Just play the game." 🤬
Roy Keane goes full box-office with an explosive rant about Manchester United pic.twitter.com/lRUBs1nyTB
— Football Daily (@footballdaily) March 6, 2022
Keane menambah: “City hari ini malah tidak berada di tahap permainan terbaik mereka. Mereka tak perlu [beraksi pada tahap terbaik untuk menang perlawanan menentang lawan seperti United hari ini].”
“Mereka [pemain pemain United] menyerah kalah. Memalukan.”
“Ada lima atau enam pemain yang tidak patut bermain untuk Manchester United lagi.”
Kekecewaan juga turut diluahkan oleh bekas pemain Man Utd, Gary Neville. Dalam 25 minit terakhir permainan, dia melihat pemain Man Utd tidak lagi teruja dan bersemangat.
“Mereka (pemain) hanya berjalan di sekitar padang,” katanya.
“Selepas gol ketiga, City menguasai 92 peratus penguasaan bola. Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ia tidak pernah didengari dan tidak boleh dimaafkan. Ia tidak cukup bagus,” kata legenda United berusia 47 tahun itu.
“Sejak tiga bulan lalu, Manchester United cuba menutup segala kekurangan mereka. Hanya dua pasukan yang mereka lawan dalam kalangan lapan teratas, iaitu Manchester City dan Wolves. Mereka telah melakukannya dan terdapat beberapa perlawanan sukar akan datang. Keadaan bilik persalinan mungkin tidak rosak tetapi anda boleh tahu apabila keadaan menjadi sukar dan banyak perkara yang akan hilang.”