Rudi Garcia Terbuka Salahkan Ronaldo Punca Al Nassr Bungkus Piala Super Saudi

Cristiano Ronaldo mengharungi malam yang mengecewakan apabila Al-Nassr tersingkir daripada Piala Super Saudi selepas kekalahan 3-1 kepada Al-Ittihad.

Penyerang legenda Portugal itu memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun gagal menewaskan penjaga gol lawan.

Romarinho meletakkan Al-Ittihad di hadapan dalam masa 15 minit permainan.

Pengurus Al Nassr tanpa berselindung telah menyalahkan Ronaldo sebagai antara punca pasukannya tersingkir.

Dia berkata, Al Nassr tidak akan menanggung kekalahan jika Ronaldo dapat menonjolkan dirinya ketika kelab berada dalam kesukaran.

“Salah satu perkara yang mengubah perjalanan perlawanan ialah peluang Cristiano Ronaldo yang dia gagal sempurnakan pada separuh masa pertama,” kata pengurus Perancis itu kepada pemberita selepas perlawanan.

Selepas itu Rudi Garcia menyatakan bahawa Ronaldo banyak meminta bola sepanjang perlawanan kerana ternyata pasukannya bergelut dengan sistem permainan yang baharu itu.

Lantas Rudi Garcia menegaskan mereka harus bekerja untuk menukar taktikal mereka selepas ini.

Ini bagi membolehkan pemain Portugal itu mendapat lebih banyak bola seperti yang dia mahukan dan mencetuskan peluang gol untuk disudahkannya.

Dia mengakui bahawa mereka harus memanfaatkan ketajaman pemain itu pada masa akan datang.

Rudi Garcia menambah: “Jelas sekali, Ronaldo meminta bola banyak kali dalam perlawanan ini. Kami harus memberikannya bola yang dia mahukan. Kerana dia adalah pemain yang boleh memberikan perbezaan dalam perlawanan ini. Kami akan berusaha untuk perkara tersebut.”

Al-Ittihad memanfaatkan sepenuhnya perlawanan itu dan menggandakan kedudukan sebelum rehat dengan Abderrazak Hamdallah menjadi penjaring gol.

Anderson Talisca menjaringkan satu gol pada minit ke-67 untuk mencetuskan harapan untuk bangkit, tetapi rembatan Muhannad Shanqeeti pada masa kecederaan menutup peluang Al Nassr sama sekali.

Ini bukanlah pertama kali Rudi Garcia membuat komen yang kurang menyenangkan berkaitan Cristiano Ronaldo.

Sebelum ini, ketika wartawan menyatakan apa pandangannya apabila Al Nassr menandatangani Ronaldo, dia dengan selamber berkata dia sebenarnya meminta kelab mendapatkannya Lionel Messi bukannya Ronaldo.

Dia malah menyatakan kalau boleh dia mahu menandatangani Messi terus dari Doha, tempat Messi berada bersama Argentina untuk kempen Piala Dunia 2022.

Baca yang lain