Rumitnya Situasi Joao Felix, Barcelona Masih Tak Dapat Beli Tetap

Joao Felix kini kembali semula ke Atletico Madrid sebagai penerima gaji paling rendah. Ianya gara gara Felix setuju menerima pengurangan gaji sebelum ini kerana dia mahu menyertai Barcelona.

Walaupun Atlético dan Joao nampaknya kembali akan kembali bersatu kerana ketika ini Barcelona bermasalah untuk mengaktifkan klausa beli tetap, namun pemain itu terdesak mahu menyertai Barcelona.

Satu lagi masalah kepada Felix, dia akan berada di kalangan pemain penerima gaji paling rendah di Atletico.

Atletico menggunakan alasan bahawa mereka tidak ada obligasi untuk menaikkan gaji Felix sekali lagi kerana bukan mereka yang tidak mahu menjual pemain Portugal itu ke Barca, sebaliknya Barcelona yang tidak membeli pemain tersebut.

Joao Felix kini merasakan bahawa satu satunya penyelesaian kepada masalah ini adalah dia harus dilepaskan ke Barca. Solusi terbaik Atletico dan Felix mencapai kesepakatan bersama dalam penamatan kontrak atau Atletico menerima bayaran perpindahan paling rendah untuk pemain itu.

Buat masa ini, Atletico tidak akan membatalkan sebarang kontrak yang dilanjutkan Joao Felix sebelum ini.

Salah Felix sendiri, selepas dia tidak sehaluan dengan Simeone, dia mendesak perpindahan ke Chelsea dengan nilai €11 juta untuk 6 bulan pinjaman. Ketika itu dia boleh pula termakan pujukan Atletico untuk menandatangani kontrak baharu.

Perkara itu mengejutkan Chelsea yang bercadang mahu membeli pemain itu secara tetap selepas pinjaman. Tetapi dengan kontrak baharu yang dilanjutkan sehingga 2028 itu membuatkan Atletico berkeras meminta €90 juta yuran perpindahan tetap.

Chelsea tidak mahu mengaktifkan klausa itu, dan hanya akan membayar kira kira €35 juta untuk membeli tetap pemain itu. Atletico berkeras pada masa itu. Dan akhirnya, setelah Chelsea terus tidak tunduk dengan mereka, Atletico sedia melepaskan pemain itu secara tetap ke Chelsea dengan bayaran klausa tebus kontrak tetap €60 juta.

Jelas sekali Chelsea tidak berminat dan Felix terpaksa kembali ke Atletico. Ketika kembali dia terus buat hal. Dia menyatakan dia tak akan bermain untuk Simeone lagi kerana tidak sukakan taktikal pengurus itu. Dia hanya menyertai pra musim sebagai syarat sahaja.

Akhirnya dia mendesak perpindahan pinjaman ke Barcelona. Ketika itu dia menggguris hati peminat Atletico dengan menyatakan dia mahu menyertai kelab besar seperti Barca yang menjadi kelab idamannya sejak kecil.

Barca yakin bahawa ekonomi kelab itu akan pulih menjelang 2023, namun keadaan itu tidak berlaku. Kerana sampai sekarang kelab itu masih berdepan masalah dengan FFP dan akhirnya Barca masih tidak dapat mengaktifkan klausa beli tetap Felix walaupun selepas tahun kedua pinjaman.

Kini Felix masih menanti tawaran daripada Barca. Kerana dia hanya rela bermain untuk Barca dengan gaji sekecil itu. Marca pernah melaporkan ada kesepakatan pra kontrak antara Barca dan Felix di mana pemain itu akan diberikan kenaikan gaji luar biasa selepas ini, jika dia kekal di Barca, terutama sekali selepas kelab itu pulih dari segi kewangan.

Atletico sebelum ini sudah memberitahu Felix bahawa dia hanya akan pergi secara tetap ke Barcelona, tiada lagi perjanjian pinjaman. Namun Atletico memberikan pengecualian bersyarat. Jika pemain itu masih mahu ke Barca secara pinjaman dia harus melanjutkan kontrak baharu sebelum pergi. Dan Atletico menerima bayaran pinjaman €12.7 juta semusim untuk pemain itu.

Kedengaran mirip dengan apa yang berlaku sebelum dia ke Chelsea dulu bukan? Felix masih ragu dengan syarat ini, kerana ia pernah berlaku dan ianya menyukarkan Felix untuk berpindah.

Diego Simeone sehingga ke hari ini masih tidak memberikan sebarang kemaafan di atas kelakuan Felix yang dianggap membuatkan dia kecewa. Pemain itu mempersoalkan kenapa dia disimpan dan ketika dia diturunkan Felix pula meroyan kutuk taktikal Simeone.

Atletico Madrid sedia menjual Felix ke kelab lain, namun mereka masih berharap akan sedaya upaya mengurangkan kerugian daripada harga yang mereka pernah bayar mencecah €120 juta untuk membeli Joao Felix.

Dan jika tiada pembeli, Felix akan berada di Atletico musim akan bermula ini. Dan dia mungkin hanya akan menjadi pemain disisihkan atau simpanan mati kata orang kita.

Kecuali dia tiba tiba meminta pengampunan daripada Simeone dan pengampunan itu diterima.