Rupa Rupanya Ronaldo Enggan Dimasukkan Sebagai Pemain Gantian

Sebelum ini Patrice Evra mengkritik Erik Ten Hag sebagai pengurus yang tidak menghormati Cristiano Ronaldo kerana membuatkan legenda itu kecil hati dan beredar awal sebelum perlawanan tamat.

Namun laporan ekslusif daripada Mail Online menyatakan bahawa Cristiano Ronaldo sendiri yang enggan masuk sebagai pemain gantian semasa Manchester United menang 2-0 menentang Tottenham Hotspur.

Sebagai hukuman, kelab Manchester United menggantungnya daripada tugasan skuad untuk lawatan ke Chelsea pada hujung minggu.

Penyerang berusia 37 tahun itu mencetuskan kontroversi pada minit ke-89 perlawanan Rabu, kerana bengang selepas terpaksa menyaksikan hampir keseluruhan permainan dari bangku simpanan dalam kekecewaan.

Dia terus beredar ke dalam terowong dan meninggalkan Old Trafford sebelum perlawanan tamat.

Tindakan Ronaldo itu akan membawa kepada denda hampir tujuh angka, manakala kelab itu mengesahkan dia tidak akan menentang Chelsea Sabtu ini.

United berkata dalam satu kenyataan ringkas: “Cristiano Ronaldo tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad Manchester United untuk perlawanan Liga Perdana Sabtu ini menentang Chelsea.”

“Selebihnya skuad memberi tumpuan sepenuhnya untuk membuat persediaan untuk perlawanan itu.”

Mail Online melaporkan Ronaldo menolak pelawaan Erik ten Hag untuk masuk sebagai pemain gantian lewat.

Megabintang dari Portugal itu telah digugurkan untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris menentang pasukan big six. Ianya selepas dia diberikan peluang memulakan dua perlawanan Red Devils.

Pada hari Ahad, Ronaldo jelas berang selepas Ten Hag memilih untuk mengeluarkannya pada separuh masa kedua menentang Newcastle kerana ketumpulannya pada hari itu.

Hubungan Ten Hag dan Ronaldo disifatkan sebagai berada di ‘titik putus’.

Sebelum ini Ronaldo meminta untuk dijual. Namun Ten Hag enggan menjual pemain yang disifatkannya sebagai pemain penting dalam skuadnya.

Ronaldo kemudian tidak menyertai pra musim atas alasan urusan keluarga. Kesannya, Ten Hag menyatakan bahawa pemain itu perlu bermula dari bangku simpanan kerana tidak cukup cergas secara fizikal kerana tidak menyertai pra musim.

Ten Hag menyatakan selepas perlawanan menentang Spurs bahawa dia akan “berurusan” dengan Ronaldo selepas meraikan kemenangan ke atas Spurs.

Bek tengah Red Devils, Lisandro Martinez mengakui: “Saya tidak nampak apa-apa. Saya tidak tahu. Saya hanya seronok bersama mereka yang lain, kami menang, dan itu penting.”

Sementara itu, pemain tengah Fred menambah: “Ia adalah permainan kolektif yang sangat penting untuk pasukan kami. Kami melakukan [permainan] tekanan yang baik dan kami membina keputusan dengan semua kerja keras yang telah kami lakukan. Ia adalah keputusan kolektif dan yang sangat penting.

“Pasukan kami bekerja keras untuk ini. Kami sedang menyesuaikan diri dengan jurulatih baharu, pramusim dan kini memulakan musim, perlawanan demi perlawanan. Jadi kami bercakap di bilik persalinan, kami membantu antara satu sama lain. Kemenangan ini sangat penting kepada pasukan. pasukan.”

United bertandang ke Stamford Bridge pada hari Sabtu untuk menentang Chelsea, yang merupakan salah satu kelab yang dikaitkan mahu mendapatkannya pada musim panas lalu.