Saingan Liga Komuniti Jerantut Harus Dicontohi

Liga Kome merupakan saingan liga bola sepak yang diseliakan oleh Jerantut Football League di bawah naungan Komuniti Bola Sepak Jerantut.

Komuniti tersebut ditubuhkan oleh Dato Ridzuan Bin Mansor dan bertindak sebagai badan khas untuk penswastaan liga setempat dalam Daerah Jerantut.

Di bawah komuniti tersebut juga, wujudnya Jerantut Football League yang bertindak sebagai penyelaras saingan liga yang dianjurkan oleh Komuniti Bola Sepak Jerantut.

Projek Liga Kome merupakan projek saingan liga pertama anjuran mereka, apa yang menariknya, cara dan sistem yang mereka guna untuk menguruskan liga seolah-olah sudah berjaya menganjurkan puluhan pertandingan sebelum ini.

Saingan liga yang sudah bermula sejak dari 13 November 2020 itu dijangka akan berakhir pada 30 Januari 2021.

Liga ini dianjurkan selepas mendapat kebenaran dari pihak MKN, Polis, Pejabat Daerah dan badan berwajib yang lain.

Terdapat 12 pasukan yang menyertai saingan Liga Kome ini dengan mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh penganjur.

Para pemain haruslah mereka yang tinggal di sekitar Jerantut dan setiap pasukan dibenarkan mengimport empat orang pemain dari luar kawasan.

Menariknya dalam saingan Liga Kome ini, pemain yang diimport oleh mereka bukanlah rakan dari negeri sebelah sahaja, bahkan mereka berjaya mengimport pemain-pemain profesional untuk sertai pasukan mereka.

Ada pemain yang pernah beraksi dalam saingan liga Super, Piala Malaysia dan ada juga yang berjaya mengimport pemain dari luar negara.

Namun, dek kerana kekangan pergerakan dan aktiviti ketika ini, pemain import dari luar negara itu masih belum dibenarkan untuk sertai kejohanan ini oleh pihak penganjur.

Pemain seperti Syawal, Malik Mat Ariff, Hazri Rozali dan Azam Azih turut di jemput beraksi dalam saingan liga komuniti ini ketika liga utama Malaysia belum berjalan.

Bayangkan saja saingan bola sepak komuniti mampu untuk menarik minat pemain ternama sertai kejohanan ini.

Perjalanan liga ini berjalan dengan sangat lancar dan teratur, yang mana dari pengurusan jadual hingga kebajikan pemain diurus dengan cukup baik.

Tiga perlawanan akan dilangsungkan setiap minggu iaitu pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dengan setiap perlawanan akan dilangsungkan selama 80 minit.

Pihak penganjur juga tetap mementingkan kawalan SOP ketika perlawanan sedang berlangsung dengan menyediakan QR code serta memantau kawasan padang supaya tiada pihak yang melanggar SOP.

Kejohanan ini dilangsungkan di Padang FA Jerantut selepas pihak penganjur berjaya menjalinkan usaha sama dengan Majlis Daerah Jerantut.

Seramai 13 orang pengadil bertauliah dipanggil untuk mengadili perlawanan dalam saingan liga ini secara bergilir-gilir.

Ketika ditanya tentang bagaimana tercetusnya idea untuk menganjurkan liga ini dan apa objektif liga ini dilangsungkan, founder Liga Kome, En Safiuddin bin Shaifuddin menjelaskan:

“Saya memandang sukan bola sepak ni sebagai sukan yang dekat dengan masyarakat, dari anak muda tak buat apa-apa dan melakukan aktiviti tidak berfaedah baik mereka terlibat dalam aktiviti sihat macam ni.”

“Kita tengok luar negara, pemain yang bermain dalam liga terkenal itu semua bukan datang dari akademi semata-mata, ada yang mula dikenali ketika dia bermain dalam saingan liga amatur.”

“Dekat negara kita, hanya liga bawah pengurusan FAM sahaja yang terkenal, saya nak cuba anjurkan satu liga kampung tapi dianjurkan seperti saingan liga profesional.”

“Kita panggil pemain-pemain ternama untuk turun bermain, kita tak tawarkan duit ringgit, tapi kita bagi pendedahan tentang matlamat yang kita kejar, mereka datang sebab mereka nak bantu kita jayakan apa yang kita rancang.”

Jelas En Safiuddin bin Shaifuddin.

Seorang lagi individu penting yang banyak membantu dalam menjayakan liga ini adalah En Mohd Iqbal bin Yahaya yang turut mempunyai visi dan misi yang sama seperti En Safiuddin.

“Selain dari saingan liga yang tengah berjalan sekarang, kami juga merancang untuk membuat akademi sendiri dan cari anak-anak kecil yang berbakat dan bantu mereka kembangkan bakat dengan cara dan jalan yang betul.”

“Semoga dengan usaha tidak seberapa dari kami ini, akan ada hasil yang boleh dibanggakan kelak, mungkin akan ada pemain yang berjaya dan dipanggil untuk bermain dalam saingan liga utama.”

“Siapa tahu dari ratusan pemain yang sertai liga ini, wujudnya satu dua bakat hebat yang boleh menaikkan martabat bola sepak negara kita.”

Jelas En Iqbal.

Pengurusan yang cekap sememangnya bakal menghasilkan sesuatu yang mengagumkan dan semoga lebih banyak liga komuniti seperti ini akan diadakan di seluruh negara kita.