Kisah Sakuragi Hanamichi Memenggal Rekod Invincible Sannoh Dengan Karakternya

Slam Dunk dianggap antara komik manga bergenre sukan terbaik di dalam sejarah. Peminat manga Slam Dunk sendiri tidak ramai gemarkan siri anime Slam Dunk kerana nilai agung pada komik manga Slam Dunk terlalu unggul.

Ianya serba serbi lengkap dari segi olahan cerita, animasi, pengetahuan yang dimiliki oleh Takehiko Inoue sangat fantastik!

Salah satu perkara terhebat yang diwujudkan oleh Takehiko Inoue di dalam komik ini adalah perlawanan di antara Shohoku dan Sannoh.

Peminat Slam Dunk dahulu memiliki naskah perseteruan epik 2 kelab ini di dalam beg ataupun di tangan mereka.

Sannoh adalah kelab bola keranjang sekolah tinggi (sekolah menengah) yang menjadi juara kebangsaan sebanyak 3 kali berturut-turut dan diletakkan sebagai pasukan label AA.

Sannoh memiliki 2 pemain yang sangat hebat iaitu Masashi dan juga pemain terbaik di era beliau Sawakita. Sawakita adalah pemain yang paling berbakat (most decorated).

Pemain hebat pasukan Ryonan, Akira Sendoh sendiri mengakui Sawakita adalah pemain yang tidak mampu dikalahkan di peringkat sekolah tinggi.

Sakuragi Hanamichi ‘Si Gila’

Tidak ada siapa yang akan berani meletakkan harapan kepada pasukan Shohoku. Mereka memiliki pemain yang ‘gila’ bernama Sakuragi Hanamichi.

Hanamichi seorang yang memiliki ego dan perasan. Dia bukanlah pemain yang digilai wanita di dalam plot cerita ini. Dia lebih disayangi wanita di luar komik ini iaitu sebagai cendera mata.

Namun Sakuragi sangat menyukai Haruko Akagi yang dianggapnya ‘gadis idaman’. Haruko Akagi antara orang yang percaya Hanamichi akan berjaya menjadi pemain yang hebat. Ini kerana dia ada kecergasan fizikal yang baik.

Sakuragi Hanamichi pada awalnya enggan menyertai pasukan Shohoku kerana menganggap bola keranjang sebagai sukan untuk ‘loser’.

Pada usia 15 tahun dia ditolak cinta oleh seorang gadis kerana dia bukan pemain bola keranjang. Namun, Haruko juga meminati sukan bola keranjang, dia sanggup menyertai pasukan tesebut.

Hanamichi seorang yang agak panas baran, suka merengek. Namun dia ada satu sifat semulajadi di dalam gelanggang bola keranjang yang sukar dijelaskan. Dia pemain yang paling kurang tekanan di dalam gelanggang.

Dalam pasukan Shohoku, Hanamichi ada musuh peribadi iaitu Kaede Rukawa yang merupakan ‘rival’ dia untuk menjadi pemain utama serta cinta kepada Haruko Akagi. Kaede tidak tahu yang dirinya ialah ‘crush’ Haruko Akagi.

Kaede adalah pemain yang menjadi pujaan ramai gadis remaja di sekolah. Selain daripada Kaede, dan Hanamichi, pasukan Shohoku ada Hisahashi Mitsui. Pemain berbakat yang pernang memenangi MVP kejohanan sekolah tinggi.

Ryota pula pemain yang berbadan kecil tetapi sangat lincah, anda boleh bayangkan dia seperti Jeremy Lin. Kapten mereka ialah Takenori Akagi yang memiliki impian mahu melihat Shohoku menjadi juara kebangsaan.

Shohoku Vs. Sannoh

Perlawanan pertama mereka ialah menentang Toyotama. Perlawanan yang sukar. Akibat terlalu yakin sehingga hilang disiplin, pasukan Toyotama tewas kepada Shohoku.

Lawan kedua mereka adalah pasukan yang bakal menjadi seteru utama mereka di dalam sejarah iaitu pasukan serba lengkap Sannoh. Juara kebangsaan 3 kali.

Selepas menewaskan Toyotama, mereka menyaksikan video perlawanan melibatkan Sannoh. Sannoh membelasah Kainan dengan jarak mata 20 mata. Semua pemain Shohoku risau akan menerima nasib serupa kecuali seorang pemain.

Ya! Sakuragi Hanamichi yang sentiasa optimis. Dia berkata kepada rakannya, pasukan Sannoh bukanlah bagus sangat untuk mereka gerunkan.

Hanamichi memang seorang yang tak pernah nak kalah. Namun kadangkala sifat ini yang membuatkan dia semulajadi di dalam gelanggang. Ada kalanya sifat ini juga membuatkan dia jadi kelihatan bodoh di dalam gelanggang.

Lebih merisaukan Takenori dan yang lain-lain ialah apabila Sannoh menewaskan pasukan Sannoh senior (lepasan sekolah menengah) baru baru ini. Apa yang pasti Sannoh tidak pernah tewas dalam mana-mana perlawanan.

Hari Perlawanan!

Hari perlawanan yang ditunggu-tunggu pun tiba. Shohoku masuk ke gelanggang dengan tiada seorang pun menyorak nama pasukan mereka. Namun Shohoku sangat fokus dalam perlawanan ini.

Sakuragi Hanamichi mengejutkan semua orang dengan jaringan pembukaan. Mereka terus menambahkan jaringan. Mitsui dikawal oleh pertahanan terbaik Sannoh namun masih mampu menjaring 3 jaringan 3 mata secara beturut-turut.

Shohoku mendahului separuh suku pertama dengan 36-43. Entah apa yang berlaku kepada Shohoku, mereka tenggelam teruk pada suku kedua.

Sawakita dan rakan-rakannya terlalu unggul untuk menamatkan suku kedua dengan 60 berbalas 36. Akagi gagal mengatasi Masashi. Akagi adalah pemain penting yang menjadi pusat utama sistem permainan mereka. Apabila Akagi di ditutup, pasukan mereka dalam masalah.

Cikgu Anzai memasukkan senjata rahsia beliau iaitu Sakuragi Hanamichi. Salah satu bakat yang ada pada Sakuragi adalah kemampuan dia melakukan rebound serta melakukan ‘block’. Dia juga dianggap Cikgu Anzai sebagai pemain yang sangat cepat belajar walaupun benda-benda kecil.

Hanamichi menunjukkan kebolehan beliau bertahan dengan menafikan beberapa cubaan pihak lawan.

Shohoku mulai menggunakan pendekatan 4 points play. Satu pendekatan di mana pemain pertahanan akan mengasari secara teknikal pemain yang mahu melakukan 3 mata. Cubaan yang masuk akan dikira 2 mata. 2 mata lagi daripada balingan percuma. Mereka menamatkan suku ketiga hanya 5 mata di belakang Sannoh dengan kedudukan 71-76.

Namun malangnya, Sakuragi tercedera ketika cuba menyelamatkan bola dan digantikan dengan Kiminobu Kogure. Sakuragi bengang dan masih mahu bermain.

 

Kecederaan Sakuragi ini agak berisiko dan dia mungkin tidak boleh bermain lagi untuk seumur hidup sekiranya tecedera lebih teruk.

Mitsui meletakkan Shohoku hanya 1 mata di belakang Sannoh (75-76). Rukawa melakukan satu lay-up tetapi dinafikan oleh Masashi.

Siapa sangka selepas itu, Shohoku berada 1 mata di hadapan Sannoh hasil jaringan Kaede Rukawa. Kedudukan kini Shohoku 77, Sannoh 76.

Pada 24 saat terakhir, Sannoh menjaringkan 2 mata untuk berada di hadapan 77-78. Kini Shohoku hanya ada 10 saat untuk melakukan magis.

Sakuragi berlari dari belakang, dan Akagi cuba mencari rakan untuk menerima bola. Akagi melorongkan kepada Rukawa dan tinggal 2 saat lagi, Rukawa menghantar bola kepada Sakuragi Hanamichi yang tidak dikawal.

Itulah hantaran pertama Rukawa kepada Sakuragi. Hanamichi dengan tenang cuba mengikuti tips shooting yang diajarkan Cikgu Anzai kepada beliau.

Dia melakukan cubaan yang tepat dan masa pun tamat. Jaringan itu dikira dan Shohoku menang!

Itu antara kemenangan terbesar yang dilakukan oleh Shohoku. Menjadikan mereka pasukan yang diberikan perhatian yang lebih oleh pasukan lain.

Ia dianggap sebagai antara perlawanan terhebat dalam manga dan juga animasi. Kepada anda yang tidak pernah membaca komik Slam Dunk, silalah baca!

Apa yang pasti, dalam sukan, wira itu datang dari mana-mana sahaja, itulah yang dilakukan oleh Hanamichi ketika membantu Shohoku menang ke atas Sannoh.

Nota Editor: Artikel Asal Dari sukan.my – disalin dengan kebenaran.