Sanusi Suruh SPRM Ambil Alih Pengurusan KDA FC: ‘Sebab Mereka Pandai Sangat’

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC).

Ini kerana menurutnya SPRM adalah pakar dalam menguruskan pasukan bola sepak, kata beliau dalam nada sindiran.

Sebelum ini SPRM melancarkan siasatan ke atas KFA melibatkan dakwaan rasuah telah menjadi punca penaja menarik diri daripada menaja kelab bola sepak mereka.

Sanusi menyatakan tindakan SPRM menyiasat KFA itu membuatkan penaja tidak mahu dikaitkan dengan pasukan KDA FC buat masa ini sehingga mereka disahkan benar benar bebas rasuah.

Syarikat syarikat ini bimbang wang tajaan mereka akan dikaitkan dengan isu korupsi.

Dipetik dari Awani, Sanusi berkata: “Orang bukan faham KFA dan KDA FC berbeza, mereka tahu dua-dua (entiti) itu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan dan dituduh rasuah di mahkamah sedangkan ia tidak berlaku, penaja lari kerana mereka kata ada rasuah.

“Saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC sebab mereka pandai sangat, tentu boleh urus pasukan bola dan bayar gaji tertunggak pemain,” tegas beliau.

Kedah FC kini berdepan kesulitan berkaitan isu tunggakan gaji pemain. Dan Sanusi menyatakan bahawa gaji pemain bergantung sepenuhnya kepada tajaan yang kelab itu terima.

Jika penaja terus menjauhkan diri, Kedah FC berkemungkinan tidak dapat bersaing dalam aksi Liga Super musim hadapan.

Kedah FC merupakan antara pasukan nama besar dalam kancah bola sepak Malaysia. Namun Sanusi menyalahkan SPRM sebagai punca kenapa pasukan itu sukar menarik penaja. Kerana imej mereka telah calar, akibat tindakan SPRM yang memberikan gambaran buruk tentang pasukan tersebut.

Ini juga mengganggu Kedah dalam usaha mereka mahu membina semula skuad mereka pada musim hadapan.

Dia menambah, jika dahulu, apabila pasukan bergelut dengan isu gaji, mereka boleh menyelesaikannya dengan langkah seperti menebang kayu balak. Namun kini semuanya sukar dilakukan.

Sambil mengingatkan kepada semua bahawa, ketetapan gaji pemain yang tinggi ditetapkan pihak tertentu membuatkan pasukan lain sukar untuk mengikut rentak mereka.

“Dulu mereka kata saya suka cari gaduh. Siapa yang buat ketetapan terlalu tinggi hingga ke peringkat ini sehingga pasukan tak boleh bayar gaji, ada negeri lain tak boleh ikut rentak,” tegas beliau, seperti dilaporkan Awani.

Selain itu syarat yang terlalu ketat, melarang kerajaan negeri terlibat dalam pengurusa bola sepak juga menjadi punca kepada permasalahan yang ada.

Sambil mengingatkan peminat Kedah bahawa kerajaan negeri kini tak boleh campur tangan dalam pasukan KDA FC. Sambil memberikan jaminan bahawa pemilik kelab iaitu Tan Sri Mohd Daud Bakar sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain secepat mungkin.