‘Sayangnya Pemain JDT Tak Pandai Cakap Johor’, Adakah JDT Patut Tukar Polisi?

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam mengucapkan tahniah atas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang Piala FA selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun dalam ucapannya, dia sempat menyindir bahawa JDT gah tetapi sayangnya pemain pemain JDT tidak pandai cakap Johor.

Dia menulis di Facebooknya: “Tahniah JDT menang Piala FA semalam..sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor.”

Kenapa?

Jawapannya adalah kerana JDT ada kriteria tersendiri di dalam scouting data mereka.

Ramai yang beranggapan bahawa sindiran itu merujuk kepada anak Johor yang tidak dapat peluang bermain di JDT.

Jadi adakah penting untuk JDT selepas ini memikirkan untuk memasukkan kriteria khas kepada scouting team mereka untuk mencari bakat yang boleh berbahasa Johor ataupun anak jati Johor?

Bola sepak adalah milik semua. Ianya tidak terhad kepada sesuatu bangsa sahaja.

Anak jati dalam konteks bola sepak Eropah juga merujuk kepada anak jati kelahiran sesebuah daerah yang berdekatan dengan kelab. Dan mereka membangun menjadi pemain elit dalam kelab mereka.

Misalnya Trent Alexander Arnold di Liverpool dan Marcus Rashford di Manchester United.

Ada kelab yang dianggap unik iaitu Athletic Bilbao yang masih berpegang kepada konsep anak jati dan bersifat kebangsaan. Mereka hanya mengambil pemain yang ada darah Basque sahaja.

Athletic Bilbao masih berpegang kepada dasar bergantung kepada akademi Cantera mereka yang akan diberikan peluang untuk dinaikkan pangkat ke pasukan utama.

Hanya pemain berasal dan berketurunan negara Basque sahaja yang layak bermain dengan mereka. Secara tidak langsung, Athletic Bilbao adalah kelab yang menghantar orang ‘negara’ Basque bermain mencabar pasukan lain di negara Sepanyol.

Secara geografinya, Basque ada 2 wilayah iaitu di Sepanyol dan juga di Utara Perancis. Untuk pengetahuan semua, dasar hanya Basque ini tidak ada tertulis dalam mana-mana peraturan dan perundangan kelab mereka.

Sepanjang sejarah kelab mereka yang sudah hampir 120 tahun, belum ada mana-mana calon presiden kelab yang menggunakan isu mahu menukar polisi hanya Basque ini dalam manifesto mereka.

Sebuah lagi kelab Basque iaitu, Real Sociedad menggunakan polisi yang sama tetapi pada 1989, tradisi itu terhapus apabila mereka menandatangani John Aldrige dari Liverpool.

Aldrige adalah pemain berbangsa Ireland yang ditandatangani untuk meningkatkan kebolehsaingan kelab tersebut.

Tetapi presiden kelab mereka menjadikan ia tanggungjawab sosial untuk meneruskan tradisi itu. Agak menarik kerana penyokong-penyokong Athletic Bilbao sentiasa berbangga dengan dasar ini.

Dan mereka masih kekal menjadi pasukan yang tidak pernah tersingkir daripada La Liga bersama-sama dengan Real Madrid dan Barcelona.

Adakah ianya penting?

Namun adakah penting untuk kita memikirkan bahawa kejuaraan UCL Liverpool sebelum ini hanya ada seorang pemain sahaja yang boleh bercakap Scouser?

Soccer Football – Champions League Semi Final Second Leg – Liverpool v FC Barcelona – Anfield, Liverpool, Britain – May 7, 2019 Liverpool’s Divock Origi celebrates scoring their fourth goal with Xherdan Shaqiri and Trent Alexander-Arnold REUTERS/Phil Noble

Ataupun kejayaan Real Madrid musim lalu, boleh dikatakan sarat dengan pemain luar Madrid.

Satu lagi konsep yang penting dalam bola sepak moden adalah bakat yang dilahirkan kelab ataupun homegrown talent.

Pemain itu tidak semestinya pemain dari daerah kelab bola sepak itu.

Tetapi selagi lagi pemain itu dibangunkan daripada akademi sebelum dia bergelar profesional, maka dia adalah pemain kelahiran kelab tersebut.

Misalnya Cesc Fabregas untuk Arsenal. Dia dianggap homegrown, bakat yang dilahirkan di Arsenal. Tanpa perlu memikirkan dia petah atau tak berslanga London.

Di Manchester United misalnya ada Garnacho yang merupakan pemain Argentina. Namun dia tetap pemain yang dikira bakat yang dilahirkan di kelab tersebut.

Contoh paling popular ialah Lionel Messi dan Barcelona.

Jadi berbalik ke JDT, aspek yang mereka tekankan sekarang ini adalah melahirkan bakat daripada akademi mereka dan menggilap pemain pemain tersebut.

Bakat akademi ini mungkin tidak akan menjadi pemain JDT pada satu hari nanti, namun mereka tetap dikira homegrown talent di JDT dan di Malaysia.

JDT memikirkan ada perkara lain lebih penting daripada memikirkan pemain yang boleh bercakap Johor. Kerana mereka membuka peluang kepada semua pemain berbakat untuk menyertai mereka.

Namun jika ada pemain yang kelahiran Johor yang berbakat besar, misalnya Afiq Fazail. Ia dianggap bakat istimewa yang menjadi kebanggaan peminat tempatan mereka. Menjadi sumber inspirasi kepada anak anak muda di sekitar Johor untuk merebut tempat dalam skuad JDT suatu hari nanti.

Tetapi mereka harus ingat bahawa JDT tidak akan menilai seseorang pemain itu berdasarkan di mana dia lahir untuk menjadikan mereka pemain kesebelasan utama. Ianya adalah persaingan terbuka. Afiq mendapat tempat dalam kesebelasan JDT kerana dia berusaha. Itu yang anak jati kelahiran Johor lain harus ingat.

JDT sudah menjadi jenama bola sepak yang kuat di Malaysia. Boleh dikatakan ramai anak muda dari seluruh Malaysia mengimpikan untuk bermain di JDT suatu hari nanti.

Jadi, mungkin ada kelab yang memikirkan bahawa penting untuk pemain pemain mereka faham akan bahasa sesebuah daerah untuk mewakili pasukan negeri mereka. Itu terpulang. Setiap pasukan ada cara pengurusan dan dasar mereka sendiri.

Dan untuk JDT mereka mungkin memikirkan bahawa ada elemen lain lebih penting daripada aspek bahasa Johor. Tidak dinafikan ada kelab yang menekankan aspek bahasa dalam pengambilan pemain. Tetapi biasanya ia digunakan untuk mengambil pemain import atau jurulatih asing. Misalnya, mencari pemain import atau jurulatih yang boleh berbahasa Inggeris.

Tetapi JDT rasanya kita tahu polisi mereka macamana. Sudah ada beberapa jurulatihnya sendiri yang menggunakan penterjemah dalam sidang media. Ianya ada pro dan kontra, dalam setiap dasar yang dibuat. Akhirnya kita harus tahu bahawa setiap pasukan itu ada kriteria pembangunan bola sepak mereka sendiri.

Itu tidak bermakna JDT dan mana mana kelab di Malaysia harus mengabaikan bakat anak jati di negeri masing masing. Itulah fungsi akademi. Di sinilah konsep akademi memainkan peranan memajukan pemain dari negeri masing masing.

Dan harus diingat tak semestinya graduan sesuatu akademi akan menjadi pemain utama kelab di negeri mereka. Kejayaan akademi itu juga diukur dengan kejayaan melahirkan ramai pemain profesional yang akan bermain di kelab kelab lain di Malaysia. Terutama dalam 2 liga tertinggi iaitu MSL dan Liga Premier.

Jadi adakah JDT harus menukar polisi pembangunan bola sepak mereka dengan mengubah sedikit kriteria itu?

Baca yang lain