Scarlett Johansson Ugut Saman Disney Kerana Tayang Black Widow Secara Live Streaming

Pelakon jelita, Scarlett Johansson mengancam tindakan saman ke atas Disney atas keputusan syarikat itu untuk menayangkan filem superhero ‘Black Widow’ secara atas talian.

Scarlett mengatakan terdapat pelanggaran kontrak yang melibatkan jutaan dolar di sebaliknya.

Johansson, mengajukan tuntutan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat (AS). Sebelum ini, Johansson yang merupakan salah seorang bintang Hollywood dengan gaji tertinggi berhak mendapat peratusan penerimaan box office dari filem Marvel.

“Bukan rahsia lagi bahawa Disney melancarkan filem seperti Black Widow secara langsung atas talian penstriman di Disney + untuk meningkatkan pelanggan dan dengan itu meningkatkan harga saham syarikat,” kata peguam Johansson John Berlinski dalam satu kenyataan kepada AFP.

“(Syarikat) bersembunyi di belakang pandemik ini sebagai dalih semata mata.”

Black Widow pada mulanya dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2020. Namun, ia ditangguhkan beberapa kali kerana pandemik dan akhirnya dilancarkan secara serentak di pawagam dan Disney + bulan ini.

“Ini jelas bukan kes terakhir di mana beberapa bakat di Hollywood telah menentang Disney dan menjelaskan bahawa, tidak kira apa yang dilakukan syarikat itu, ia mempunyai tanggungjawab terhadap kewajiban undang-undang untuk menghormati kontraknya,” tambah Berlinski.

Melalui Disney +, Disney mengumukan Black Widow telah menjana $ 60 juta setakat ini di platform streaming itu. Di mana pelanggan Disney+ perlu membayar pembelian tambahan $29.99 untuk filem tersebut.

Scarlett Johansson yang turut menjadi penerbit eksekutif  mendapat sekitar US$ 15 juta bayaran muka untuk Black Widow. Nilai itu sama dengan bayaran yang diterimanya untuk filem Avengers: Infinity War dan Avengers:Endgame.

Namun tindakan Disney itu dikatakan membuatkan Xiao Mei, eh Scarlett rugi kira kira $50 juta.

Namun dalam ancaman samannya, Johansson mengatakan bahawa tindakan Disney dan Marvel yang menayangkan filem tersebut secara live streaming secara tak langsung adalah satu usaha untuk megurangkan bonus yang dibayar kepadanya.

Hal ini kerana di dalam butiran kontrak Johansson akan mendapat bonus daripada tayangan di panggung wayang.

“Disney dengan sengaja membuat Marvel melanggar perjanjian, tanpa kebenaran, untuk mencegah Ms.Johansson mendapat manfaat penuh daripada kontrak dengan Marvel,” tambah kenyataan peguam Johansson.

Pihak Johansson menegaskan bahawa mereka sudah cuba merombak semula kontrak itu dengan Disney berdasarkan situasi semasa. Namun tidak dilayan.

Johansson adalah salah seorang pelakon menerima bayaran tertinggi di dunia dan memiliki kekayaan bersih sekitar $165 juta. Dia mendapat bayaran tertinggi daripada satu filem menerusi Ghost in the Shell pada tahun 2017, dengan bayaran $ 17.5 juta.

Disney kesal dan terkejut dengan tindakan Scarlett

Jurucakap Disney menolak tuntutan itu. Dia mengatakan Disney tidak melanggar kontrak apa pun dan menyatakan mereka sangat terkejut dengan tindakan Scarlett itu.

“Tidak ada keuntungan sama sekali dari perkara ini,” kata Disney.

“Tuntutan ini sangat menyedihkan terutama sekali kerana mengabaikan kesan global yang buruk dan berpanjangan dari pandemik.”

“Pelancaran Black Widow di Disney+ dengan akses premier secara signifikannya telah menaikkan lagi potensi beliau untuk mendapat pampasan tambahan bernilai $20 juta yang dia sudah terima ketika ini.”

Sejak wabak ini melanda dunia, banyak studio Hollywood mengutamakan tayangan menerusi live streaming sebagai sumber pendapatan masa depan.

Ini ditambah dengan penutupan banyak pawagam di sejumlah negara pada tahun 2020.

Baca yang lain