Sebelum Lawan Pasukan Bodo, Mourinho Terus Terang Tolak Newcastle

Setiap kali ada pasukan kaya yang baru, setiap kali itulah nama Jose Mourinho akan dikaitkan dengan mereka.

Ini kerana rekod lampau Mourinho yang dilihat cukup bagus dalam memberikan kejayaan segera kepada projek yang menggunakan wang besar.

Bukan semua projek dengan wang besar ini dapat memberikan hasil yang pantas seperti mana yang dilakukan Chelsea sebelum ini.

Mourinho sebelum ini turut dikaitkan dengan PSG ketika kelab itu kaya raya, namun ianya tidak menjadi kenyataan.

Dan sekarang ini, nama Mourinho mulai dikaitkan dengan Newcastle United yang baru melepaskan Steve Bruce, atas persetujuan bersama menurut mereka.

Proses pertukaran pemilik baharu sudah selesai. Dan Newcastle kini sedang gigih memperkemas revolusi baharu kelab mereka.

PIF dikenali sebagai konsortium di bawah naungan Putera Arab Saudi, Mohammed Bin Salman kini menjadi pemilik Newcastle. Kekayaan kekayaan putera itu menjadikan Newcastle United dengan mudah menjadi kelab terkaya di Liga Perdana.

Dengan kekuatan wang, Newcastle dapat meniru apa yang dilakukan Manchester City dan Chelsea di England. Mereka sedar betapa pentingnya untuk memilih pengurus yang tepat dalam membawa aspirasi kelab.

Lebih lebih lagi kedudukan semasa Newcastle dilihat sukar untuk menempatkan diri mereka sekurang kurangnya ke UEL musim hadapan.

The Magpies masih belum melantik pengurus baru sehingga sekarang. Antonio Conte dan Zinedine Zidane dilaporkan sudah menolak untuk menyertai Newcastle.

Conte dikatakan tidak sedia menyertai kelab yang tidak memberikannya kuasa veto dalam perpindahan pemain. Selepas melalui pengalaman itu ketika bersama Chelsea dan Inter Milan.

Conte tetap menghadiahkan Chelsea dan Inter kejuaraan liga walaupun kemudian terpaksa melepaskan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan campur tangan pengurusan tertinggi dalam jual beli pemain.

Zinedine Zidane kini fokus untuk menunggu jawatan pengurus Perancis yang ketika ini dikendalikan Didier Deschamps.

Di mana Deschamps sudah memberikan bayangan mungkin akan melepaskan jawatan itu selepas Piala Dunia 2022.

Jadi, nama Mourinho antara yang menarik perhatian selain daripada Lucien Favre.

Malangnya Mourinho terus menolak untuk menyertai satu lagi revolusi ala Roman Abramovich satu ketika dahulu. Beliau menyatakan dia mahu terus berada di AS Roma.

“Tidak, pastinya tidak. Saya menandatangani kontrak tiga tahun dan tidak ada yang dapat membuat saya pergi meninggalkan budak budak [pemain pemain] ini,” kata Mourinho dalam sidang media menjelang aksi Liga Persidangan UEFA menentang pasukan Bodo Glimt.

Mourinho baru menikmati musim pertama kontraknya bersama dengan AS Roma. Dan ketika ini Roma berada di tempat keempat dalam kedudukan Serie A dengan 15 mata.

Newcastle minggu ini berdepan dengan penentangan daripada 18 pasukan EPL yang lain yang menghalang sebaran usaha mereka membawa masuk penaja baharu yang ada kaitan dengan pemilik kelab.

Halangan itu kekal sekurang kurangnya sebulan sehingga satu dasar dan garis panduan tentang penajaan yang baharu dikeluarkan.

Ini kerana pasukan pasukan lain di EPL tidak mahu Newcastle akan memberikan impak kepada jurang perbelanjaan yang terlalu besar.

Hanya Newcastle yang menentang dasar itu dan City pula mengambil pendirian berkecuali.

Baca yang lain