Sehari Selepas Perompak Bank Dibebaskan, Dia Merompak Lagi Kerana Tak Dapat Kawal Tabiatnya

Menurut laporan di New York Post yang memetik satu dokumen pengadilan di mahkamah; seorang lelaki bernama Chi Ngo dituduh melakukan rompakan di dua Chase Bank cawangan berasingan dalam beberapa hari.

Tertuduh mula-mula ditangkap pada hari Selasa setelah didakwa merompak wang tunai $2,300 (RM9,500) dari Chase Bank di Canal Street tepat selepas pukul 10:30 pagi waktu tempatan di AS.

“Saya membawa senapang dengan saya,” tulisnya dalam catatan nota yang diserahkan kepada juruwang bank.

“Ini adalah rompakan bank. Masukkan wang tunai ke dalam beg. Saya akan menggunakan senapang ini [jika perlu],” kata lelaki berusia 52 tahun itu.

Polis menahan lelaki itu. Sejurus selepas penahananannya, polis menjumpai tukul dan pemotong peti besi.

Ngo telah didakwa dengan rompakan tahap ketiga, pemilikan senjata, dan pemilikan alat untuk mencuri.

Dia diadili pada hari Rabu. Namun dibebaskan selepas pendakwaraya meminta dia dibebaskan dengan pengawasan ketat. Hakim membenarkan permohonan itu.

Tidak pasti kenapa pendakwaraya dan hakim termakan dengan helah Ngo yang mendakwa dia terdesak memerlukan wang tersebut kerana dalam kesusahan.

Sebaik sahaja dibebaskan, sehari kemudian Ngo merompak bank lagi, dan dia mengakui tidak dapat mengawal tabiatnya itu. Kali ini dia merompak Chase Bank di Fifth Avenue berhampiran West 44th Street.

Dalam kejadian itu, dia kali ini berjaya melarikan diri dengan hanya $100 (RM413 sahaja) yang dipercayai dipau dari pegawai bank. Dia terus beredar.

Ngo ditangkap beberapa minit kemudian di luar bank. Pertuduhan ke atas kes pertamanya masih belum selesai dan kini dia sudah melakukan kesalahan kedua, atas pertuduhan yang sama, rompakan ke atas bank yang sama cuma berbeza cawangan.

Menurut laporan, Ngo melakukan beberapa kesalahan jenayah lampau. Namun tidak didedahkan.

Baca yang lain