Selalu mengadu tidak cukup dana dan meminta bantuan daripada pemain pemain bintang mereka yang bermain di Eropah untuk menderma, Konfederasi Bola Sepak Afrika, CAF rupa rupanya ada masalah ketirisan dalam pentadbiran kewangan.
Ramai pemain yang berasal dari Afrika kerapkali membantu CAF dalam usaha mereka membangunkan bola sepak Afrika termasuk memberikan sumbangan peribadi.
Mereka juga kerap meminta bantuan dana daripada FIFA untuk membangunkan bola sepak Afrika.
Satu audit dilakukan oleh firma EY ke atas CAF. Dan apa yang mengejutkan sejumlah $16 juta wang telah dicatitkan di bawah butiran ‘perbelanjaan tidak diketahui’. Tiada bukti dokumen yang lebih jelas untuk transaksi tersebut. Dan ianya berlaku di dalam akaun beberapa siri akaun CAF termasuk akaun rasmi utama mereka.
Baru baru ini CAF mencatatkan nilai kerugian mereka sebanyak $25 juta. Selepas kerugian $9.3 juta tahun sebelumnya.
Dalam laporan audit mereka, perbelanjaan keluar sekitar $12 juta didakwa atas sebab teknikal namun difahamkan kelab kelab yang dinyatakan dalam laporan itu langsung tidak menerima wang tersebut.
Seterusnya, beberapa konfederasi bola sepak negara Afrika juga mendakwa mereka tidak tahu menahu tentang wang yang kononnya disalurkan kepada mereka untuk pembangunan.
Lebih mengejutkan CAF juga menyatakan dalam laporan mereka bahawa mereka membantu meringankan negara penganjur kejohanan Piala Afrika dengan menyalurkan bantuan dana. Dan negara negara ini tidak menerimanya.
Kesemua jumlah daripada butiran ini melibatkan wang $12 juta dikira lesap kerana perbelanjaan yang tidak diketahui.
$4 juta lagi pula adalah melibatkan beberapa lagi perbelanjaan yang tidak direkod dan hutang yang tidak dinyatakan dengan jelas. Serta di bawah butiran ‘hutang lain lain’.
Audit EY ini menyatakan CAF telah kehilangan wang sebanyak $16.18 juta.
Pada Julai, Setiausaha Agung CAF, Veron Mosengo Omba mendakwa dia telah berjaya mengurangkan hutang CAF. Selepas CAF berhutang sekitar $30 juta pada hari dia menggalas tugas pada Mac 2021.
Bulan lalu, Mosengo Omba dituduh menghalang tugasan auditor dan melantik auditor yang dia sendiri bayar untuk mengaudit akaun CAF.
Dia mempertahankan tindakannya kerana menurutnya, CAF tidak perlu tunduk kepada tekanan pihak luar dan berhak melantik mana mana pihak yang mereka percayai.
Dia menafikan dia menghalang tugasan auditor yang dilantik pihak berkuasa, kerana menurutnya, auditor yang dia lantik lebih awal sudah pun mula menjalankan kerja mereka. Dan dia turut menyangkal dakwaan auditor tersebut membuat laporan tidak tepat memihak kepadanya.
Kini imej Mosengo Omba semakin calar. Yang boleh menyukarkan sedikit usahanya mahu bertanding jawatan presiden CAF yang akan datang.