Selamat Bersara Bambang Pamungkas, Legenda Indonesia, Persija Dan Selangor

Malam ini, bertempat di Stadium Gelora Bung Karno menjadi saksi perlawanan panas gergasi liga Indonesia Persija Jakarta melayan kunjungan Persebaya Surabaya.

Selain itu, malam ini juga menjadi saksi perlawanan terakhir pemain terbaik yang pernah dihasilkan oleh Indonesia, legenda hidup negara Indonesia dan juga legenda Selangor, itulah Bambang Pamungkas.

Di Indonesia, beliau adalah legenda untuk pasukan Persija Jakarta yang diwakilinya sudah lebih 200 perlawanan.

Beliau sudah pun memutuskan akan menggantung boot sepenuhnya selepas ini.

 

BEPE (BP) satu satunya manusia di Indonesia yang dapat mendamaikan penyokong di sana yang sangup berbunuhan sesama sendiri. Betapa kuatnya aura yang dijelmakan manusia bernama Bambang Pamungkas dengan sebiji bola.

Beliau juga kerap menjadi inspirasi anak muda yang menyaksikannya berjaya terutama sekali mereka yang mahu berkarier di Malaysia.

Di Malaysia, ramai peminat cilik yang mengibaratkan diri mereka Bambang Pamungkas apabila turun bermain dengan kawan-kawan pada petang.

Bambang  bukan sahaja pemain, beliau adalah ikon bola sepak serta seorang pemimpin yang disegani.

Siapa yang boleh melupakan aksi BEPE di Selangor. Pemain yang memiliki naluri pembunuh. Sukar mencari pengganti sepertinya lagi.

Ketajaman tandukan menjadi senjata utama dan igaun ngeri pertahanan lawan. Hatrik di perlawanan akhir Piala Malaysia 2005 melengkapkan sejarah paling gemilang bola sepak Selangor.

Kehadiran BEPE bersama pasangan duonya Elie Aiboy yang dipancing dari Persija Jakarta mencetuskan Fenomena bola sepak Selangor. BEPE menguasai bola sepak Malaysia.

Beliau pemain yang dihormati kawan dan lawan, di dalam dan di luar padang. Tidak kira, ketika menyarung jersi Selangor ataupun tanah tumpah darahnya Indonesia.

Bambang Pamungkas adalah penyerang terbaik Indonesia dalam generasi beliau.

Selangor membantai tanpa belas pasukan yang bertemu dengan Selangor apabila BEPE mengetuai barisan serangan.

Terlampau berbisa serangan Selangor waktu itu 4-0, 5-0 itu adalah keputusan perlawanan yang menjadi kebiasaan.

Stadium Shah Alam sentiasa penuh pada aksi malam minggu. Maka berpusu-pusu penyokong Malaysia mahupun perantau dari Indonesia mahu menyaksikan hiburan daripada BEPE.

Fans menambakan aksi BEPE diatas padang. Apabila bola berada dikaki Elie Aiboy, penyokong Selangor semua bangun dan bersedia bersorak meraikan gol kerana bola pasti ditujui ke kepala Bambang Pamungkas.

Apa yang berlaku seterusnya pasti kamu sudah tahu, pasti penjaga gol lawan mengutip bola dalam gawang sendiri.

Beliau seringkali berpesan kepada pemain muda agar sentiasa melakukan latihan tambahan secara peribadi. Itu adalah rutin yang beliau amalkan untuk menjadi pemain elit.

Sangat bangga ketika itu untuk mengakui bahawa penyerang kami ialah Bambang Pamungkas.

Kini ianya semua sudah menjadi sejarah manis pada penyokong Selangor yang menyaksikan aksi tahun 2005. Ia tidak akan dilupakan buat selamanya. Generasi emas Selangor yang menggegarkan bola sepak Malaysia.

BAMBANG PAMUNGKAS

TERIMA KASIH.

SELAMAT BERSARA PAHLAWANKU

Artikel ini adalah daripada: Selamanya Selangor Darul Ehsan. Diterbitkan di Axello.net atas kebenaran.

Baca yang lain