Selangor FC ‘Tendang’ Yazan Al Arab Selepas Dia Tendang Pengadil

Selangor FC mengambil tindakan serius ke atas Yazan Al Arab yang melakukan tindakan melampau dengan menyepak pengadil kerana tidak berpuas hati.

Insiden itu berlaku ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023, di antara Selangor dan Terengganu. Yazan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil  Mohd Hasrol Mohd Amir, bertindak tidak profesional dengan memaki hamun pengadil dan menyepaknya di bunggung [bak kata Biucin].

Tindakan itu mendapat reaksi pelbagai daripada peminat bola sepak tempatan. Dan sudah tentunya Yazan sedar tindakannya itu akan mengundang hukuman berat ke atasnya.

Selangor sebelum ini sudah mengumumkan bahawa mereka akan melakukan siasatan dalaman tentang perkara itu. Dan hasil siasatan telah pun selesai. Lalu kelab memutuskan untuk menamatkan sahaja kontrak pemain import itu.

Selangor FC berkata: “Merujuk kepada insiden yang berlaku selepas perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan Terengganu FC pada 24.09.2023 yang melibatkan pengadil perlawanan dan Yazan Al-Arab (“Pemain”), Kelab Bolasepak Selangor (“Kelab”) telah menjalankan satu Prosiding Tatatertib berkaitan dengan insiden tersebut.”

“Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, Kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan Al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.”

“Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan Kelab.”

“Kelab ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih,Yazan.”

Adakah anda rasa ianya tindakan yang tepat daripada Gergasi Merah?