Selangor Umum Penamatan Kontrak Tan Cheng Hoe

Selangor FC membuat kejutan apabila mengumumkan bahawa kelab telah mencapai kesepakatan dengan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk penamatan kontrak atas persetujuan bersama.

Perkara itu diumumkan secara rasmi oleh Selangor FC sebentar tadi menerusi satu siaran media ringkas.

Tan Cheng Hoe yang merupakan bekas jurulatih kebangsaan telah membantu Selangor layak ke pentas Asia musim lalu. Ini setelah Selangor menamatkan kempen sebagai naib juara Liga Super Malaysia 2023.

Beliau menyertai Selangor FC pada 2022. Dan pada musim pertamanya, Tan Cheng Hoe membimbing Selangor mara ke final Piala Malaysia, namun bergelar naib juara.

Tan Cheng Hoe banyak mendapat sokongan daripada penyokong dan juga pengurusan tertinggi Selangor. Oleh itu agak mengejutkan untuk mendengar dia menamatkan kontrak atas persetujuan bersama.

Buat masa ini tiada kenyataan lebih daripada Tan Cheng Hoe atau Selangor FC tentang alasan di sebaliknya.

Selangor mengesahkan jurulatih itu mahu menyertai sebuah kelab di Thailand.

Selangor FC menyatakan lagi: “Selangor FC ingin berterima kasih kepada Tan Cheng Hoe di atas usaha dan sumbangannya untuk kelab ini dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya di masa hadapan.”

Menerusi pengumuman yang sama Selangor FC mengumumkan Nizam Jamil dilantik sebagai ketua jurulatih Selangor yang baharu secara interim.

Selangor FC berjanji akan melakukan proses yang sangat terperinci dalam usaha mencari ketua jurulatih tetap yang baharu.

Jadi siapakah yang akan menjadi ketua jurulatih Selangor yang baharu?

Selangor FC antara pasukan yang dianggap pesaing kepada JDT untuk musim akan datang dengan kualiti skuad yang mereka ada.

Baca yang lain