Selepas 4 Tahun, France Football Sedia Serahkan Ballon d’Or 2020 Kepada Lewandowski

Majalah France Football sedang mempertimbangkan untuk memberikan anugerah Ballon d’Or 2020 kepada Robert Lewandowski.

Pemain itu adalah calon utama yang dianggap jauh meninggalkan calon lain termasuk Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi pada masa itu.

Namun anugerah itu tidak diadakan untuk tahun tersebut kerana pandemik. Robert Lewandowski dan ramai peminat bola sepak terkejut dengan perkara itu. Kerana menurut mereka pemain itu masih berhak menerima Ballon d’Or itu walaupun tanpa majlis anugerah malam gala.

Lewandowski berkata kepada BILD beberapa tahun lalu: “Pada tahun 2020 dan 2021, adalah tahun terbaik karier saya. Kawan saya hantar statistik kepada saya menunjukkan bahawa saya mencetak 100 gol dalam 85 perlawanan.”

Lebih melukakan hati Lewandowski, France Football awalnya mahu membatalkan anugerah itu pada 2021 juga. Namun L’Equipe melaporkan bahawa tekanan daripada kem PSG ke atas mereka membuatkan anugerah itu diadakan dan Lionel Messi dijulang sebagai pemenang.

Lewandowski pada masa itu menjadi no.2 untuk Ballon d’Or.

Robert Lewandowski bagaimanapun berjaya mengubat kedukaannya apabila diberikan anugerah FIFA Best tidak lama selepas itu.

Dan kini selepas 4 tahun, France Football sedia menyerahkan anugerah itu kepada Robert Lewandowski.

Kini perbincangan tentang perkara itu sedang dibuat. Jika keputusan sebulat suara dibuat, maka Lewandowski akan dimasukkan dalam senarai pemenang Ballon d’Or.

Ini kerana France Football mahu membersihkan reputasi mereka yang calar kerana dianggap menafikan kemenangan Lewandowski yang selayaknya dia dapat.

Jadi Robert Lewandowski ketika ini harus menunggu dengan sabar keputusan itu. Jika berjaya, maka dia akan menjadi seorang lagi bintang Barcelona yang berjaya memenangi anugerah itu.

Lewandowski kini bermain di kelab Catalan tersebut. Dia sebelum ini menyatakan bahawa dia terus mahu kekal di Barcelona sehingga kontraknya tamat.

Lewandowski menjadi penerima gaji tertinggi di Barcelona, dan dia akan menerima kenaikan luar biasa apabila masuk musim baharu. Itu sebagai sebahagian syarat dia menyertai Barcelona, ketika dia setuju menerima pengurangan gaji.

Barca yakin ekonomi kelab itu pulih menjelang 2025. Cuma situasi sekarang, Barca masih belum pulih.