Selepas Ancam Bunuh Poirier, McGregor Persenda Kematian Ayah Khabib

Conor McGregor telah bertindak bodoh dengan menyinggung dan mempersenda kematian Abdulmanap Nurmagomedov, ayah kepada Khabib Nurmagomedov, dengan kata-kata yang tidak sesuai di Twitter.

McGregor seperti biasa, selepas memuat naik status bodoh, dia segera menghapuskan tweet itu, tetapi ramai orang telah menyimpan bukti penulisan petarung Ireland yang dijuluki The Notorious itu.

Beberapa minggu lalu dia membuat ancaman bunuh ke atas Dustin Poirier dan memberikan komen jelik ke atas isteri Poirier.

Pergeseran luar gelanggang berlaku antara kedua duanya selepas Poirier menuduh McGregor menipu dalam janjinya mahu menyumbang kepada yayasan kebajikannya.

UFC sudah memberikan amaran kepada McGregor agar tidak keterlaluan.

Terbaru, dalam ciapannya, Mcgregor berkata: “C 0 V i d baik dan ayah jahat?” Tweet McGregor merujuk kepada kematian Abdulmanap setelah meninggal dunia kerana wabak itu.

McGregor menganggap virus itu sebagai bagus kerana ‘menewaskan’ Abdulmanap – yang digelarnya seperti iblis.

McGregor menulis kalimat itu sebagai tindak balas kepada tweet Khabib yang mengucapkan tahniah kepada Dustin Poirier kerana memenangi pertarungan UFC 264.

Tidak lama selepas Poirier diisytiharkan sebagai pemenang setelah McGregor patah kakinya, Khabib terus memberikan komen melalui Twitter.

“Kebaikan akan selalu mengalahkan kejahatan. Saya sangat gembira untuk Dustin Poirier. Semoga dia dapat memenangi gelaran juara akhir tahun ini,” tulis Khabib melalui Twitter ketika itu.

Khabib sentiasa menghormati Dustin Poirier kerana dia seorang petarung yang menghormati lawannya serta banyak melakukan kebajikan di luar gelanggang.

Khabib pernah membantu Poirier dan isterinya dalam melelong t shirt hari pertarungan kepada umum. Itu salah satu cara Poirier untuk mengumpul dana untuk yayasan kebajikan beliau untuk membantu petarung MMA yang memerlukan bantuan.

Tweet McGregor mengenai ayah Covid dan Khabib membuatkan orang menyerang petarung popular Ireland itu. Bahkan peminat tegar McGregor dari Ireland sendiri kecewa dan menganggap tindakan McGregor itu melampaui batas.

Arwah Abdulmanap adalah salah satu tokoh penting dalam karier Khabib. Selepas pemergian Abdulmanap, The Eagle kemudian memutuskan untuk mengundurkan diri daru UFC walaupun dia pernah berhasrat hanya akan bersara selepas 30-0.

Kini Khabib memilih untuk menjadi jurulatih, dan salah seorang atlet yang diasuhnya ialah Islam Makhachev.

Khabib Nurmagomedov beraksi dalam acara utama UFC254 – yang merupakan acara terakhirnya di oktagon. Dan beliau menewaskan Justin Gaethje dengan kemenangan submission pusingan kedua. Nurmagomedov mengunci Gaethje dengan triangle choke.

Kemenangan hari itu pasti berbeza. Nurmagomedov menangis teresak esak di atas octagon sambil ditenangkan oleh Gaethje yang mengerti kesedihan lawannya itu.

Khabib kehilangan ayahnya beberapa bulan yang lalu. Ayahnya merupakan jurulatih yang sentiasa bersamanya sepanjang kariernya.

“Ini pertarungan terakhir saya. Tidak mungkin saya dapat datang ke sini [lagi] tanpa ayah saya. Saya juga sudah berjanji, ini adalah pertarungan terakhir saya.” tegas Khabib.

Namun kali ini beliau meraikan kemenangan tanpa ayah tersayang. Nurmagomedov kemudian mengejutkan dunia dengan mengumumkan persaraannya.

Khabib yang meletakkan sarung tangannya di atas gelanggang sambil berkata: “Ini adalah pertarungan terakhir saya.”

Sebab utama beliau berbuat demikian kerana janjinya kepada ibunya.

Di mana beliau memberitahu ibunya sebelum pertarungan ini, bahawa ini adalah pertarungan terakhirnya, ditambah dengan tanpa kehadiran ayahandanya tercinta di sisi.

Pemergian ayahnya telah membuatkan Khabib bertekad untuk menjaga ibunya dengan memberikan lebih banyak perhatian selepas ini.

Perginya ayah membuatkan Khabib suram

Bapa dan jurulatih Khabib, Abdulmanap, meninggal dunia kerana komplikasi penyakit C 0 v i d yang dihadapinya..

Arwah memainkan peranan besar dalam kehidupan anaknya dan juga kerjaya profesional  Khabib Nurmagomedov sebagai juara UFC.

Bercakap pada bulan September 2019, sebelum mempertahankan gelaran UFC melawan Dustin Poirier, ‘The Eagle’ berbicara tentang pentingnya ayahnya berada di penjuru gelanggang.

Juara ringan UFC juga menyentuh pengaruh ayahnya itu berikutan kemenangannya di UFC 242.

“Ayah saya juga jurulatih saya, saya ingat dia dulu dan terutama sebagai ayah dan kemudian sebagai jurulatih,” jelas petarung yang masih belum dikalahkan itu lagi.

“Saya rasa tidak mudah baginya untuk membesarkan saya sebagai petarung dan sebagai anak lelaki. Saya rasa itu sangat sukar. Saya sendiri sekarang menjadi ayah, saya mempunyai seorang anak lelaki. Saya memahami apa yang dia rasakan kepada saya.”

“Dia memainkan peranan besar dalam hidup saya, dan hingga kini dia masih terus menjadi jurulatih saya dan tentu saja ayah saya.”

“Keluarga memainkan peranan besar dalam hidup saya. Saya selalu mendahulukan mereka. Saya tidak melihat perkara yang lebih penting dalam hidup ini daripada keluarga. Saya fikir kita harus selalu mengutamakan mereka.”

Khabib seringkali diusik rakannya dan media, mahu melaporkan kesalahannya kepada ayahnya. Ini kerana The Eagle masih lagi seorang yang terikat dengan adab seorang Muslim yang diterapkan ayahnya walaupun dia merupakan seorang juara dunia.

 

Ayahnya menderita serangan jantung setelah didiagnosis kerana virus itu yang memerlukan pembedahan kecemasan.

Dia kemudian dua kali dimasukkan ke dalam koma akibat perubatan dengan keadaannya dilaporkan “serius tetapi stabil.”

Tetapi dia tidak lama kemudian dinyatakan meninggal dunia di sebuah hospital di Moscow.

Kehilangan Abdulmanap pastinya kehilangan besar kepada dunia UFC dan juga kepada Khabib Nurmagomedov.

Abdulmanap dikenali dengan ketegasannya dan Khabib sangat takut dan hormat kepada ayahnya itu.

Abdulmanap juga sentiasa tegas dalam isu agama selain daripada pertarungan. Oleh sebab itu Khabib sentiasa diingatkan agar tidak sesekali ingkar kepada agamanya dan menunjukka contoh terbaik kepada para peminatnya.

Conor McGregor yang merupakan seteru utama Khabib Nurmagomedov antara yang terawal menyatakan kesedihan dan ucapan takziah.

McGregor ketika itu menganggap ianya satu kehilangan besar.

“Kehilangan seorang ayah, seorang jurulatih, dan penyokong yang mendedikasikan dirinya kepada sukan ini. Takziah dan bersemadilah dengan tenang Abdulmanap Nurmagomedov.”

Sebelum ini Conor McGregor juga memberikan kata kata semangat kepada Abdulmanap, dengan mengetepikan perserteruan di antara kem mereka di atas gelanggang.

Sebelum ini Abdulmanap sudah membantu anaknya menubuhkan gym MMA di Rusia untuk membantu kanak kanak di sana menceburkan diri dalam sukan itu.

Namun entah apa yang merasuk McGregor sampai sanggup mempermainkan kematian orang lain?

Baca yang lain