Selepas Bermuhasabah Diri, Courtois Tak Akan Pernah Main Untuk Belgium Selagi Lagi Ada Tedesco

Thibaut Courtois masih tidak berpuas hati dengan pengurus Belgium ketika ini iaitu Domenico Tedesco. Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois berkata dalam catatan media sosial semalamm bahawa dia tidak akan kembali ke pasukan kebangsaan Belgium selagi lagi pengurus semasa Domenico Tedesco kekal bertanggungjawab menjadi pengurus.

Courtois, yang banyak terlepas musim lalu selepas mengalami dua kecederaan lutut, diketepikan daripada skuad Euro 2024 Belgium walaupun bermain untuk Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara. Dia benar benar kecewa dengan tindakan Tedesco itu yang sebelum ini pernah membuatkan dia terkilan kerana melantik Lukaku menjadi kapten utama skuad kebangsaan.

Ketika itu, Courtois telah menjadi pemain tetap di Belgium dan telah mengumpul 102 caps untuk negaranya. Tetapi dia berasa tidak dihormati pada bulan Jun 2023, pengurus Domenico Tedesco memilih untuk memberikan Romelu Lukaku lilitan kapten ketika aksi seri 1-1 dengan Austria.

Courtois bertelagah secara terbuka dengan Tedesco pada 2023 selepas meninggalkan skuad Belgium menjelang kelayakan Euro 2024 di tengah-tengah pertikaian kerana tidak dipilih untuk menggantikan Eden Hazard sebagai kapten.

Dalam aksi berikutnya menentang Estonia, dia diberikan kepercayaan untuk menjadi kapten kerana itu penampilan ke-100nya untuk Belgium. Namun Courtois tidak bermain perlawanan itu atas alasan sangat kontroversi.

“Anda tahu, di Madrid, saya rasa saya mendapat penghormatan daripada semua orang dalam kelab. Saya tidak begitu mengalaminya dengan Devils,” katanya kepada Sporza.

“Minggu itu saya melakukan beberapa penerokaan untuk melihat apa yang akan berlaku. Pada hari Sabtu perlawanan, beberapa jam sebelum sepak mula, Tedesco memanggil Lukaku dan saya datang kepadanya. Apabila dia berkata bahawa Romelu adalah kapten menentang Austria dan saya menjadi kapten menentang Estonia pada hari Selasa, sesuatu menyentak dalam diri saya.”

“Ia dah tidak bermakna lagi. Hakikat bahawa saya tidak lagi merasakan penghargaan daripada persekutuan ini dan jurulatih membuatkan sesuatu meletup dalam diri saya.”

“Saya bermain perlawanan antarabangsa menentang Austria dengan sebaik mungkin, tetapi selepas wisel dibunyikan saya pergi kepada jurulatih untuk memberitahu bahawa ada masalah. Pada sidang akhbar selepas itu dia berkata sesuatu tentang penghargaan untuk saya, tetapi ya.. itu hanya kerana saya telah mengatakan sesuatu kepadanya, sudah tentu.”

Courtois tidak bermain menentang Estonia selepas itu, dengan laporan pada masa itu mendakwa ia adalah kerana reaksinya terhadap keputusan pengurus yang dianggap satu penghinaan ke atas dirinya. Tedesco menuduhnya memalsukan kecederaan selepas dia meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.

Bekas penjaga gol Chelsea dan Atletico Madrid itu tidak beraksi untuk negaranya sejak Jun selepas mengalami kecederaan ACL pada Ogos.

“Disebabkan kecederaan, tidak akan ada Kejohanan Eropah untuk saya,” jelas Courtois. Saya mula-mula perlu memulihkan 100% sepenuhnya dan kemudian lebih baik tidak meletakkan tarikh padanya. Jika saya bernasib baik, saya boleh bermain satu lagi perlawanan pada bulan Mei. Tetapi kemudian anda tidak boleh 100% bersedia untuk kejohanan besar.

Selepas kembali semula beraksi bersama Real Madrid akhir musim lalu, Courtois berharap dia akan dipanggil ke Euro 2024. Namun namanya tiada. Tedesco memberikan alasan dia sudah merancang pasukannya tanpa Courtois yang sebelum ini pernah menyatakan ‘tiada Euro untuk dirinya’ kerana kecederaan ACL dialaminya.

Alasan itu tidak dapat diterima penjaga gol itu yang secara terbuka menyatakan dia tak akan menyarung jersi Belgium selagi lagi Tedesco menjadi pengurus.

“Saya nak memberitahu rakyat Belgium dan penyokong pasukan kebangsaan. Saya merasakan rasa cinta dan bangga mewakili negara saya di atas padang, sama seperti setiap kamu penyokong yang menyokong Red Devils. Saya rasa berbesar hati dapat diberikan penghormatan menyarung jersi pasukan kebangsaan. Saya tak pernah bermimpi untuk bermain lebih 100 kali untuk pasukan kebangsaan.”

“Malangnya, berikutan peristiwa bersama jurulatih dan selepas bermuhasabah, saya telah memutuskan untuk tidak kembali ke pasukan kebangsaan Belgium di bawah pengurusannya,” Courtois, yang mempunyai 102 caps untuk Belgium, menulis di Instagram.

“Dalam perkara ini, saya menerima tanggungjawab saya. Namun, melihat ke hadapan, kekurangan keyakinan saya ke atasnya tidak akan menyumbang kepada usaha mengekalkan suasana harmorni yang diperlukan.

“Kepada Persekutuan [FA Belgium], yang saya telah mengadakan beberapa perbincangan, menerima pendirian saya dan sebab-sebab yang membawa saya kepada keputusan yang menyakitkan tetapi koheren ini,” tambah Courtois.

“Saya kesal dan mungkin akan mengecewakan segelintir peminat, tetapi saya yakin bahawa ini adalah tindakan terbaik untuk Belgium, kerana ia menutup perdebatan dan membolehkan pasukan fokus mengejar matlamatnya.”

Belgium disingkirkan oleh Perancis pada pusingan 16 pada Euro 2024, dengan penjaga gol Al Qadsiah, Koen Casteels memulakan keempat-empat perlawanan mereka.