Selepas Carsley Sindir Taktikal Southgate, England Kalah Di Tangan Greece Kerana Taktikal Peliknya

Sebelum ini pengurus interim England, Lee Carsley mengkritik taktikal Gareth Southgate yang menurutnya tidak cukup bagus dalam mengendalikan pemain pemain penyerang berbakat seperti Phil Foden.

Carsley membidas Southgate yang suka menggunakan Foden di posisi sayap. Dan dia berkata, dia hanya akan menggunakan Foden di posisi tengah. Sama ada sebagai no.10 atau penyerang utama false 9.

“Saya akan meletakkan Phil di tengah, dan dia hanya bermain di sayap pada fasa kami kehilangan bola sahaja,” tegas Carsley.

Ketika menentang Greece, Carsley menggunakan taktikal yang dianggap pelik iaitu dengan 2 false 9. Menggandingkan Jude Bellingham dan Foden sebagai false 9.  Ini kerana ketiadaan Harry Kane.

Walaupun dia ada Ollie Watkins dan juga Dominic Solanke di dalam pasukannya, dia tidak mahu menggunakan 2 pemain itu di kesebelasan utama.

Sementara Bukayo Saka dan Anthony Gordon bermain di bahagian sayap. Kemudian Cole Palmer bermain di tengah bersama sama dengan Declan Rice.

Carsley mengakui dia mencuba pendekatan yang mengejutkan ini selepas mereka mencubanya hanya 20 minit di padang latihan sebelum perlawanan ini.

Eksperimentasi ini memakan diri. Apabila England kalah  1-2 di tangan Greece untuk aksi Piala Negara Eropah. Ini adalah kemenangan pertama Greece ke atas England di dalam sejarah.

Vangelis Pavlidis mencetak 2 gol dalam perlawanan ini. Sementara Bellingham sempat menyamakan kedudukan 1-1 sebelum gol kemenangan  lewat Pavlidis.

Pundit Ian Wright dan Roy Keane mempersoalkan tindakan Carsley yang bereksperimentasi sehingga memakan diri. Sedangkan dia ada Ollie Watkins dan Solanke.

Wright berpendapat tindakan Carsley ini pasti akan membuatkan Watkins terkilan. “Watkins mesti rasa ini perlawanan yang dia akan terlibat sebagai pemula,” kata Wright.

Ramai peminat England  menganggap Carsley tidak seharusnya mengorbankan pemain pemain lain hanya kerana seorang pemain seperti Phil Foden yang jelas menjadi pemain kegemarannya.