Selepas Courtois, Giliran Arda Guler Pula Dibedah Kerana Kecederaan Lutut

Arda Guler baru ditandatangani oleh Real Madrid beberapa minggu lalu. Selepas mereka berjaya meyakinkan pemain muda itu menolak tawaran Barcelona dan menyertai Real Madrid.

Presiden Barcelona mengakui bahawa mereka telah disailang oleh Real Madrid pada saat akhir untuk mendapatkan wonderkid Arda Guler.

Arda Guler menjadi sensasi selepas prestasi cemerlangnya bersama Fenerbahce.

Pemain muda itu sangat lincah dan kreatif. Barcelona mengetahui pemain itu memiliki klausa pelepasan sekitar €17.5 juta.

Barca yang sudah berunding dengan Guler telah sedia untuk menekan klausa pelepasan itu.

Arda Guler sudah memberitahu kelab bahawa dia sudah sedia untuk merasai cabaran lebih besar di dalam kariernya.

Namun pada saat akhir, Barcelona telah dipintas oleh Real Madrid.

Di mana kelab musuh tradisi mereka itu bukan sahaja sedia membayar klausa pelepasan, mereka malah sedia membayar wang tambahan menjadikan bayaran keseluruhan dilaporkan sekitar €20 juta untuk pemain itu.

Arda Guler juga ditawarkan pakej gaji lebih besar, dan juga harga lebih tinggi — perkara itu disahkan sendiri oleh presiden Barcelona, Joan Laporta.

Itu telah membuatkan Arda Guler memilih Real Madrid berbanding Barcelona.

Ayah pemain itu juga dilihat lebih gemar anaknya memilih Real Madrid berbanding dengan Barcelona.

Laporta berkata: “Kami sudah ada satu perjanjian dengan Arda Guler dan kami sudah bersedia membayar Fenerbahce €17.5 juta.”

“Namun kelab lain, Real Madrid telah datang dan membayar jumlah lebih tinggi. Kami tak mahu terlibat dalam perang harga.”

Arda Guler alami kecederaan

Namun pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan lutut ketika latihan pra musim. Pada 29 Julai didapati ada kecederaan pada meniskus lututnya.

Berita itu benar benar membuatkan Real Madrid pening kerana mereka baru sahaja kehilangan penjaga gol utama Thibaut Courtois kerana kecederaan lutut.

Petugas perubatan Real Madrid mengambil keputusan agar pemain itu menjalani pembedahan lutut yang dianggap penyelesaian terbaik berbanding rawatan konservatif.

Pemain itu mengalami koyakan sebahagian meniskus dalaman di lutut kanannya, kecederaan yang hampir semua pakar mengesyorkan pembedahan.

Kedua-dua perkhidmatan perubatan kelab dan pemain berunding dengan pelbagai pakar dan hampir kesemua mereka mengesyorkan pembedahan sebagai rawatan paling selamat.

Pada mulanya, mereka bersetuju mengenai rawatan konservatif, tetapi perkembangannya akan perlahan dan tidak memberikan jaminan jangka panjang.

Pemain itu juga berunding dengan ketua jabatan perubatan pasukan kebangsaan Turki.

Dan apabila semua laporan telah dikumpulkan dan dengan kakitangan perubatan Madrid hadir di Valdebebas lalu, semua pihak sedia maklum bahawa mereka sebulat suara mahu pemain itu dibedah.

Pembedahan itu pastinya akan membuatkan Guler terlepas daripada aksi awal musim ini bersama Real Madrid.