Pengurus Manchester United, Ruben Amorim telah mempertahankan dirinya selepas digelar “naif” oleh bekas kapten Wayne Rooney kerana Amorim telah mensasarkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
United mengalami kekalahan ke-10 dalam 24 perlawanan di bawah Amorim apabila mereka tersingkir daripada Piala FA menerusi sepakan penalti oleh Fulham pada pusingan kelima di Old Trafford.
Ia adalah kekalahan keenam di Old Trafford sejak pengurus asal Portugis itu mengambil alih pada November dan hanya tinggal Liga Europa sebagai satu-satunya laluan realistik kembali ke saingan Eropah musim depan.
Amorim bercakap mengenai hasrat United untuk memenangi Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak Sir Alex Ferguson bersara pada 2013.
“Matlamat kelab adalah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris. Sama ada bersama saya atau pengurus lain,” kata pengurus itu. “Saya tahu kami kalah dalam perlawanan tetapi matlamatnya adalah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris sekali lagi.
“Saya tidak tahu berapa lama masa yang diperlukan. Kami mempunyai matlamat dan kami terus ke hadapan walau apa pun keadaannya.”
Pundit untuk Match of the Day, Rooney merasakan Amorim terlalu naif dan dia seharusnya lebih fokus kepada matlamat jangka pendek untuk menyelamatkan dirinya daripada dipecat.
“Saya fikir ia agak naif untuk mengatakan mereka sedang mengintai peluang untuk memenangi Liga Perdana Inggeris kerana dari mana mereka berada sekarang, mereka jauh daripada itu,” katanya.
“Saya fikir dia akan mendapat masa tetapi ia bukan ‘free hit’ kerana dia akan menjangkakan lebih banyak daripada Manchester United daripada apa yang kita lihat sejak dia berada di sini.
“Dia berkata memenangi Liga Perdana Inggeris, bagaimana mereka boleh bersaing? Untuk naik lebih jauh, saya fikir itu adalah langkah seterusnya untuk mereka.”
Komen Rooney mengenai United itu kurang disenangi Amorim memandangkan pemain itu berstatus legenda untuk United.
Dia kekal sebagai penjaring terbanyak United dan memenangi lima kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara dalam tempoh cemerlang di mana dia menjadi bintang utama dalam skuad hebat terakhir Ferguson.
Namun sebagai pengurus, Rooney memiliki rekod yang tidak begitu memberangsangkan.
Amorim tidak menyebut perkara tersebut ketika menjawab komen Rooney. Tetapi, dia bercerita tentang pengalaman peribadi sebagai seorang pundit yang berbeza sama sekali dengan seorang pengurus.
“Itu (memenangi Liga Perdana) adalah matlamatnya,” kata Amorim. “Yang naif adalah apabila kamu memikirkan kami akan melakukannya musim ini atau menjadi pencabar terbaik musim depan.
“Saya tahu pada masa ini, semua orang tahu segala-galanya. Saya seorang pundit selepas saya menamatkan karier [bermain] saya. Saya tahu ia sangat mudah.
“Mungkin ia bukan dengan saya tetapi itu adalah matlamat kami, sebagai sebuah kelab, adalah untuk memenangi Liga Perdana Inggeris seperti yang kami lakukan pada masa lalu dengan semua kegemilangan dan legenda kelab ini.
“Kami berada dalam saat yang sukar. Dan saya tidak naif, itulah sebabnya saya di sini, pada usia 40 tahun, membimbing Manchester United.”
🚨 Rúben Amorim: “Our goal as a club is to win the Premier League”. @BeanymanSports pic.twitter.com/1CYqT1WfEq
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) March 2, 2025
Ramai merasakan Amorim menyindir Rooney ketika menyatakan dia sudah dilantik menjadi pengurus United ketika baru berusia 40 tahun.