Selepas Lingard, Kini Raiola Pujuk Rashford Sertainya

Marcus Rashford menikmati musim terbaik dalam kariernya pada musim ini di Manchester United.

Beliau menjadi penjaring utama pasukannya pada musim ini. Sehingga ramai terlupa bahawa bintang United itu baru berusia 22 tahun. Ini kerana kematangan di dalam permainannya di atas padang.

Marcus Rashford juga pemain yang menjadi penyerang utama untuk negaranya England. Beliau antara pemain yang sangat menonjol di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

Setakat ini, pemain berusia 22 tahun itu sudah menjaringkan 14 gol dalam Liga Perdana Inggeris dan pada masa yang sama menymbang 4 assist.

Beliau sudah mencetak gol ke atas pasukan besar seperti Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham.

Namun ada berita yang kurang disenangi oleh penyokong United apabila mendengar pemain itu dihampiri oleh Super Agent, Mino Raiola.

Raiola sebelum ini sudah menyatakan pelan projek terbaru beliau mahu mengikat lebih ramai pemain Inggeris di bawah agensinya.

Antara pemain yang beliau sudah hampiri adalah Jesse Lingard. Pemain itu dikatakan berminat melantik Raiola menjadi ejen beliau kerana mahu mendapatkan kontrak lumayan, sama ada dengan United ataupun pasukan lain selepas ini.

Namun belum ada lagi khabar tentang perjanjian rasmi di antara kedua dua pihak.

Raiola nak bergabung dengan Rashford

David Ornstein dari The Athletic melaporkan Mino Raiola sudah pun mengadakan perbincangan mengenai isu, mahu menjadi ejen kepada Marcus Rashford.

Raiola menggunakan pengaruh adanya nama Paul Pogba untuk menarik perhatian Rashford.

Beberapa minggu lalu, Mino Raiola sudah mengisytiharkan perang ke atas United. Di mana beliau bertekad enggan membekalkan sebarang pemain lagi ke kelab itu.

Ianya berikutan beliau kecewa dituduh menjadi punca kegagalan perpindahan Erling Braut Haaland. Raiola dikatakan cuba memasukkan klausa pelepasan yang ‘mampu milik’ di dalam kontrak pemain itu.

Raiola kemudian membangkitkan isu bahawa, United bukan kelab bagus untuk pembangunan pemain. Sebab itu Erling sendiri memilih Borussia Dortmund.

Fergie: Raiola ejen teruk

Malah, beliau menyatakan Paul Pogba antara pemain yang tidak membangun di United. Letak Maradona, Pele atau Maldini pun tidak akan membangun di United menurut Raiola.

“Saya tidak akan membawa mana-mana pemain lagi ke sana. Jangan kata Pogba, Manchester United akan merosakkan Maradona, Pele dan Maldini. Paul memerlukan kelab dan skuad, seperti Juventus sebelum ini. ” – Raiola

Kenyataan itu amat bercanggah dengan kenyataan Raiola pada awal musim yang memuji Man United sebagai kelab terbaik buat Pogba.

Dan beliau mengesahkan Pogba mahu menang trofi bersama United, bukannya dengan kelab lain.

Sekarang ini, Raiola bukan membekalkan pemain, tetapi cuba menarik pemain United pula masuk ke dalam agensinya.

Sir Alex Ferguson pernah menulis tentang Raiola dalam autobiografinya.

“Ada satu atau dua agen bola sepak saya tidak suka, dan Mino Raiola adalah salah seorang daripada mereka,” kata Ferguson.

Fergie turut pernah berkata: “Paul Pogba? Dia mempunyai ejen yang tidak baik.”

Rashford kini diwakili oleh saudara-saudaranya, Dane Rashford dan Dwaine Maynard.

Ada yang menasihatkan Rashford agar beliau terus kekal dengan ejen yang beliau ada pada hari ini.

Hal ini kerana Raiola jelas sekali bukan ejen yang terbaik dan seringkali cari pasal dengan United.

United telah menjadi lubuk duit Raiola terutama sekali era Mourinho. Beliau memberikan Mourinho pemain seperti Pogba, Lukaku (kini dah tidak lagi diwakili Raiola), Mkhitaryan dan Zlatan Ibrahimovic.

Beliau juga pernah cuba membantu De Ligt masuk ke United. Namun kes yang sama berlaku di mana beliau cuba memasukkan klausa pelepasan yang dianggap berat sebelah.

Sebagai rekod, Raiola pernah mengadakan perbincangan dengan Rashford tahun lalu, namun pemain itu menolak untuk bersama dengan Raiola.

Pastinya ramai penyokong United berharap Rashford melakukan perkara sama kali ini.

Baca yang lain