SEMASA: Messi Dan Di Maria Letakkan Argentina 2 Gol Di Hadapan Perancis

Lionel Messi dan Angel Di Maria kini sudah meletakkan sebelah tangan pada Piala Dunia 2022.

Tinggal 45 minit sahaja lagi memisahkan mereka dan pasukan mereka daripada kejuaraan Piala Dunia ketiga untuk negara mereka.

Aksi 45 minit pertama selayaknya dimiliki Argentina yang beraksi jauh lebih baik daripada Perancis.

Walaupun sudah beraksi di final Piala Dunia 2018, Perancis ternyata kelihatan agak gugup 45 minit pertama.

Ousmane Dembele memberikan penalti kepada Argentina dengan aksi bertahan yang sangat malas dan tak profesional. Dia menolak Angel Di Maria dengan sentuhan yang tidak kuat tetapi satu kesalahan.

Lionel Messi yang tampil cemerlang sepanjang pertandingan Piala Dunia 2022, telah menjaringkan gol daripada titik penalti dengan tenang menewaskan Hugo Lloris pada minit ke-23.

Ini adalah gol pertama Messi di pentas akhir untuk pertandingan major.

Kemudian, Argentina menambah 1 lagi gol pada minit ke-36 menerusi Angel Di Maria.

Semuanya berpunca daripada Upamecano yang kehilangan bola dan mencetuskan serangan balas untuk lawan.

Messi yang menerima bola meneruskan rentak serangan balas itu dengan melorongkan bola kepada Alexis Mac Allister yang kemudian tenang melorongkann kepada Angel Di Maria yang bebas di sebelah kirinya.

Di Maria yang sebelum itu melakukan rembatan melambung tinggi, kali ini dengan kemas menewaskan Hugo Lloris.

Bercucuran airmata jantan Di Maria kerana dia hampir sahaja terlepas aksi final. Dan kali ini dia dalam senarai penjaring. Ini adalah Piala Dunia terakhirnya.

Di Maria meneruskan rekod unik menjaringkan gol dalam final dan memberikan piala kepada negaranya.

Minit ke-41, Deschamps mengeluarkan Giroud dan Dembele selepas gandingan mereka gagal mencipta sebarang ancaman.

Lebih teruk Perancis tiada sebarang percubaan ke arah gol pada separuh masa pertama. Membuatkan Emi Martinez sangat sangat tenang.

Tinggal 45 minit lagi, adakah Argentina akan menjadi juara dunia? Dan Messi akan mengulangi pencapaian idolanya, Diego Armando Maradona yang mengetuai negaranya memenangi Piala Dunia pada 1986?

Baca yang lain

UEL: Liverpool Rasminya Tersingkir

Liverpool berkunjung ke markas Atalanta dengan membawa defisit 3 gol dari Anfield. Misi mereka adalah menjaringkan 3 gol dan cuba mengelak bolos.