Sembang Stats: Sabah Lanjutkan Kontrak Saddil Ramdani (2022)

Sabah melanjutkan kontrak Saddil Ramdani sehingga hujung musim 2022. Pemain kebangsaan Indonesia ini mula menyertai kancah bola sepak Malaysia apabila Pahang menandatanganinya dari Persela Lamongan.

Pada ketika itu dia baru berusia 20 tahun, satu pencapaian baik baginya apabila diberi kepercayaan menyertai pasukan dari Malaysia dan berstatus pemain import.

Saddil bertindak sebagai winger pasukan Pahang, bersama Mamadou Sumareh untuk memberi sokongan kepada Ze Eduardo Love (yang kemudiannya ditukar dengan Lazarus Kaimbi) dan Dickson Nwakaeme.

Saddil tampil 16(5) perlawanan liga dan 1(4) dalam pertandingan Piala FA. Pahang menamatkan kempen liga di tempat ke-2 dan Saddil menyumbang 2 gol, 1 di perlawanan pembukaan dan 1 lagi pada aksi terakhir liga.

Saddil tidak banyak terlibat dalam kempen Piala FA (Norshahrul Idlan Tahala/Faisal Halim) namun menjadi sebahagian pemain yang membawa Pahang ke peringkat separuh akhir sebelum kalah kepada Perak dalam aksi kebangkitan dramatik oleh skuad bimbingan Mehmet Durakovic.

Pahang menang 3-1 di Darul Makmur tetapi tumbang di Ipoh 3-0.

Pada hujung musim Saddil terlibat 5(4) perlawanan Piala Malaysia dan membantu pasukan itu mara ke semi final. Sekali lagi Pahang dikecewaan, mengikat Kedah 3-3 ditempat lawan tetapi seri besar di gelanggang sendiri 5-5.

Saddil kembali ke Indonesia dengan 1 medal naib juara liga dan 2 kali semi-finalis dalam pertandingan piala.

Sabah membawanya kembali ke kancah saingan Malaysia selepas semusim bersama Bhayangkara.

Situasi pandemik covid mengakibatkan Liga 1 Indonesia tidak dapat dijalankan dan Saddil tidak banyak bermain bola disana, namun masih memikat Sabah.

Kepercayaan tersebut dibalas apabila Saddil terlibat dalam 11 dari 13 perlawanan yang dihadapi Sabah.

Sabah bermula agak hambar pada 4 perlawanan awal apabila hanya meraih 1 mata -Saddil tidak bermain pada 2 aksi awal- sebelum mula menampilkan aksi kebangkitan.

Sabah meraih 5 mata pada 4 perlawanan ke-2 dan kemudiannya mengutip 12 mata maksima pada 4 perlawanan berikutnya.

Sebelum liga dihentikan Sabah tewas tipis 0-1 di tangan Kedah.

Walaupun Sabah kini hanya berada ditangga ke-7 Liga Super namun kebangkitan dan pungutan mata yang diraih pada 5 perlawanan terakhir adalah yang terbaik berbanding pasukan lain.

Ekoran prestasi tersebut, Sabah memutuskan untuk melanjutkan kontrak pemain yang cukup dikenali mempunyai kerajinan tinggi di atas padang.

Selepas 11 perlawanan Saddil telah menyumbang 3 gol sementara itu seorang lagi wing attacker, Amri Yahya mencetak 4 gol.

Sabah melakukan sedikit rombakan apabila menandatangani penyerang baru, Josip Ivancic bagi memmbentuk trio serangan ampuh.

Sementara itu Bobby Gonzales bertindak baik sebagai penyerang simpanan dan telah menyumbang menyumbang 2 gol.

Pemain ini berjanji akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

“Alhamdulillah dengan kontrak yang dilanjutkan ini, tetapi pastinya ia perlu ada tambahan kerja keras kerana ini adalah tanggungjawab besar yang perlu saya buat untuk selalu memberikan yang terbaik.

“Saya tidak boleh sia-siakan kepercayaan rakan-rakan, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan kerana semestinya mereka mengharapkan sesuatu yang positif apabila diberi lanjutan kontrak ini.

“Untuk prestasi sendiri, saya telah menjaringkan tiga gol setakat ini, tetapi sebenarnya saya tidak mahu melihat kepada jumlah jaringan sangat kerana ia bergantung kepada situasi di atas padang ketika itu.

“Secara peribadi, untuk saya yang penting adalah perlu membantu pasukan kerana walaupun saya jaringkan gol, tetapi ia tidak memberi kemenangan kepada pasukan, tiada gunanya juga, jadi cukuplah asalkan pasukan ini akan terus membangun dengan cemerlang”, jelasnya.

“Saya di sini mungkin merasakan perbezaannya kerana jauh dari keluarga dan teman-teman, tetapi saya semakin belajar untuk menyesuaikan diri kerana mereka semua di sini sangat menyokong antara satu sama lain.

“Perlawanan juga akan berlangsung kurang daripada satu bulan lagi dan secara peribadi saya merasa sangat gembira di Camp Based Training ini kerana kami lebih rapat dan bekerja keras untuk mempersiapkan diri di tahap maksimum”, tambahnya.

Sepanjang berada di Malaysia Saddil telah bermain sebanyak 33(13) kali dan mengumpul 6 jaringan.

Baca yang lain