Senarai Lima Pemain Paling Banyak Cipta Hat-trick Dalam Sejarah

Tiada kejayaan yang lebih manis untuk seseorang pemain selepas tamat sesebuah perlawanan, melainkan mereka pulang membawa bola kemenangan selepas mencatatkan hat-trick dalam perlawanan tersebut.

Dahulu kala, tidak ramai pemain yang berjaya untuk melakukan hat-trick dalam banyak perlawanan sepanjang karier mereka.

Peminat sekarang beruntung kerana berada di era yang sama dengan lahirnya ramai penjaring gol berbakat dalam dunia bola sepak.

Tambahan pula, dewasa ini dunia bola sepak lebih berpegang pada prinsip ‘menyerang merupakan pertahanan terbaik.’

Jadi, untuk pasukan yang mempunyai barisan pemain di posisi serangan yang mantap dan tajam, pastinya bakal menjadi igauan ngeri untuk setiap pasukan lawan.

Dahulu kala juga pemain yang berperanan di role nombor 9 sering menjadi tumpuan kerana ianya merupakan penjaring utama untuk sesebuah pasukan.

Namun kini, dengan taktikal dan permainan bola sepak moden, bukan hanya pemain bernombor 9 sahaja yang diharapkan untuk mencipta jaringan.

Mencipta hat-trick itu sudah menjadi perkara biasa dalam dunia bola sepak masa kini, namun untuk kerap kali mengulang kejayaan sama itu merupakan satu hal yang sukar untuk dilakukan.

Maka dengan itu, untuk mengenal kualiti seseorang pemain itu, statistik yang beliau catatkan adalah kayu ukur terbaik untuk menilai mereka.

Hasil data dari beberapa sumber, berikut merupakan senarai lima pemain yang paling banyak mencatatkan hat-trick sepanjang karier mereka.

5) Robert Lewandowski (24 hat trick)

Robert Lewandowski seharusnya ditabalkan sebagai pemenang anugerah ballon d’or pada tahun 2020 atas pencapaian luar biasa hebatnya bersama Bayern Munich musim lalu.

Tapi, malangnya anugerah tersebut telah dibatalkan dan harapan peminat untuk melihat penyerang kebangsaan Poland itu menerima anugerah tersebut tidak akan menjadi kenyataan.

Robert Lewandowski juga baru-baru ini telah ditabalkan sebagai penerima anugerah pemain terbaik FIFA dengan mengatasi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Tidak diragukan, Lewandowski merupakan antara penyerang terhebat dunia ketika ini dan beliau pada musim lalu telah berjaya menjaringkan 49 gol dari 41 penampilan dalam saingan Bundesliga dan liga Juara-juara.

Beliau juga merupakan watak terpenting dalam membantu skuad kendalian Hansi Flick untuk memenangi gelaran treble pada musim lalu.

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa nama Lewandowski bakal terus dikenang sebagai salah seorang penyerang terhebat pernah wujud dalam dunia bola sepak.

Sepanjang karier gemilangnya, Robert Lewandowski telah berjaya mencipta 24 kali hat-trick termasuk yang terbaru ketika beliau berjaya melakukannya dalam perlawanan bertemu Frankfurt pada Oktober lalu.

4) Luis Suarez (29 hat trick)

Wajar untuk Luis Suarez berasa tersinggung ketika beliau dibuang begitu sahaja oleh Barcelona selepas begitu banyak sumbangan beliau untuk kelab sepanjang kariernya di sana.

Pencapaian Suarez bersama Barcelona bukanlah satu perkara yang remeh, beliau bahkan pernah menjaringkan gol yang lebih banyak berbanding Messi dan Ronaldo ketika aksi kemuncaknya.

Suarez merupakan individu penting dalam sistem serangan tiga serangkai terkenal Barca bersama Neymar dan Messi (MSN).

Trio MSN merupakan antara gandingan tiga serangkai terhebat pernah disaksikan dalam dunia bola sepak.

Di usia 33 tahun, Barca memikirkan bahawa Suarez sudah hilang ketajamannya, namun, beliau membuktikan bahawa bekas kelabnya itu salah.

Sejak menyertai Atletico Madrid pada musim panas lalu, Suarez telah menjadi salah seorang pemain paling menyerlah untuk kelab setakat ini.

Suarez telah berjaya mencipta 29 kali hat-trick sepanjang karier cemerlangnya dan beliau juga tidak diragui merupakan salah seorang pencetak gol yang paling digeruni lawan.

Pemain kebangsaan Uruguay itu juga pernah menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan sepanjang kariernya setakat ini.

3) Lionel Messi (54 hat trick)

Lionel Messi merupakan pemain yang mempunyai kelasnya yang tersendiri, beliau merupakan pemain yang mampu untuk melakukan satu hal yang sukar tapi terlihat mudah untuk dilakukan olehnya.

Pemenang enam kali gelaran Ballon d’or itu juga merupakan antara pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman dengan kejayaannya yang luar biasa sepanjang kariernya.

Walau kini Messi terlihat seperti sudah tidak setajam dahulu, namun pastinya semua pihak sedar dan tahu bahawa beliau masih mampu untuk memberikan sesuatu dalam tempoh waktu beberapa tahun lagi.

Messi sepanjang kariernya telah berjaya mencipta 53 kali hat-trick dan beliau juga pernah berjaya menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan sebanyak lima kali.

Selain itu, pemain kebangsaan Argentina itu juga pernah mencipta rekod peribadi dengan menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan.

Apa yang pasti, Messi merupakan mimpi ngeri untuk kebanyakkan pemain lawan dengan kebolehan kawalan bola serta kemampuan menggeleceknya yang sungguh luar biasa hebat.

Jika Ronaldo mempunyai kelebihan dari segi lompatan dan tandukan, Messi pula mempunyai kelebihan dari segi kekuatan kaki kirinya.

2) Cristiano Ronaldo (56 hat trick)

Tiada siapa mampu untuk menafikan kehebatan bintang Portugal ini, walau di usia 35 tahun, Cristiano Ronaldo masih lagi menjadi antara pemain terhebat dalam dunia bola sepak masa kini.

Ronaldo mungkin sudah tidak memiliki kepantasan seperti aksi kemuncaknya dahulu, namun beliau berjaya menutupi kekurangan itu dengan kebijaksanaan yang dimiliki dan pergerakan yang lebih kemas.

Terdapat ramai pihak yang memperdebatkan tentang siapa lebih hebat antara beliau dengan Messi, dan perdebatan itu telah berlangsung selama hampir satu dekad.

Sukar untuk mengenal pasti kekuatan serta kelemahan mereka ketika berada di atas padang, namun Ronaldo mempunyai kelebihan dari segi lompatan dan kerap melakukan gol tandukan dari hantaran silang.

Cristiano Ronaldo berjaya mencipta 56 hat-trick sepanjang karier gemilangnya dan beliau juga pernah menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan sebanyak lapan kali.

Ketajaman Ronaldo terbukti, apabila beliau pernah dua kali menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan sepanjang kariernya.

Cristiano Ronaldo dianggap sebagai pemain yang mempunyai kelebihan luar biasa kerana beliau mampu untuk mengekalkan kebolehan dan kehebatannya dari awal karier sehingga sekarang.

Di usia 35 tahun, pemain kebangsaan Portugal itu jelas tidak menunjukkan tanda-tanda beliau bakal menggantung bootsnya dalam masa terdekat ini.

1) Pele (92 hat trick)

Tidak dinafikan terlalu banyak pertikaian yang meragui catatan yang dicapai oleh Pele sepanjang kariernya. Ianya kerana tiada sumber sahih yang mampu untuk membuktikan angka tersebut.

Namun, tidak diragukan, Pele merupakan legenda bola sepak terhebat yang pernah menghiasi dunia bola sepak pada suatu ketika dahulu.

Menurut laporan, 92 hat-trick yang dicapai oleh Pele itu kebanyakkannya hasil dari perlawanan persahabatan.

Namun, apa yang pasti, catatan yang berjaya beliau cipta itu sememangnya sudah cukup bagus untuk dianggap sebagai pemegang Guinness World Record.

Banyak lagi rekod cemerlang yang berjaya dicatatkan oleh Pele sepanjang kariernya termasuk, menjadi pemain termuda yang mencipta hat-trick di pentas Piala Dunia.

Beliau berjaya mencipta rekod tersebut pada kejohanan Piala Dunia 1958 ketika berusia 17 tahun. Apa yang menariknya rekod tersebut masih kekal tidak terpecahkan sehingga ke hari ini.

Baca yang lain

Tuchel Tuduh Pengadil Memihak Arsenal

Thomas Tuchel menuduh pengadil sebagai berat sebelah memihak kepada Arsenal. Ini selepas beberapa keputusan pengadil dianggap memihak Arsenal dan tidak kepada Bayern.