Sejak sedekad lalu Selangor telah menampilkan tidak kurang dari 19 penyerang tengah. Forkey Doe membuat 2 kali kemunculan dan Rufino Seguvia menjaringkan gol paling banyak dari yang lain.
Berikut adalah senarai penyerang utama Selangor sejak 2010.
SAFEE SALI (2010 – 15 gol)
Pada musim 2010, Safee Sali muncul sebagai penjaring terbanyak Selangor dengan 12 gol.
Ia menjadi musim penuh terakhirnya di Shah Alam sebelum ditandatangani oleh kelab Indonesia, Pelita Jaya.
Pada musim berikutnya, Safee sempat tampil 4 kali sebelum terbang ke sana.
2010 juga merupakan musim terakhir Selangor menjuarai Liga Super sebelum JDT menguasai kancah saingan tempatan.
Safee, Rudie dan Farderin Kadir menjadi taruhan Devan Kuppusamy dalam mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi musim sebelumnya (2009).
Amri Yahya dan Ravindran Rasiah tidak mengecewakan apabila mereka menyumbang 16 gol dari posisi sayap.
Secara keseluruhan, dalam semua pertandingan, Safee mencetak tidak kurang dari 15 gol. Menjadikannya sebagai salah seorang penyerang tengah terbaik Malaysia pada ketika itu.
Siapa pengganti Safee selepas di ke Indonesia?
Penyerang lain: Rudie Ramli, Farderin Kadir
RUDIE RAMLI (2011 – 8 gol)
Fadzli dibawa masuk dari KL Plus. Dia bukanlah seorang penyerang tengah tulen.
Penyerang tengah dan penyerang sisi merupakan 2 posisi yang sering digilirkan untuknya.
Selangor mengekalkan khidmat Rudie Ramli untuk berada di posisi tersebut bagi mengisi kehilangan Safee.
Amri Yahya pula semakin kerap digunakan sebagai penyerang hadapan berbanding musim sebelumnya.
Selangor kehilangan penjaring berbisa dan mujur Safiq Rahim -pemain tengah- mampu mengurangkan kesan itu apabila menyumbang 7 gol sepanjang kempen liga.
Dia menjaringkan gol lebih banyak dari Amri, Fadzli dan Rudie.
Secara rumus, penyerang tengah Selangor adalah milik Rudie disamping Amri dan Fazli bergilir di dua peranan.
Rudie tampil 20 kali di liga dengan hanya 4 gol dan 4 gol lagi berlaku di pertandingan Piala.
Catatan penurunan yang agak ketara dibahagian penyerang. Rudie tidak mampu mengisi ‘memberi’ apa yang ditinggalkan Safee.
Penyerang lain: Fazdli Saari
BOSCO BALABAN (2012 – 17 gol)
Irfan Bakti Abu Salim megisi kerusi ketua jurulatih Selangor. Pada musim itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan semula penggunaan pemain import.
Selangor membawa masuk Ramez Dayoub yang bertindak di bahagian pertahanan dan Bosco Balaban di bahagian hadapan.
Jaringan pertama Balaban tiba agak lewat iaitu pada perlawanan ke-8 ketika menewaskan Kelantan 2-1 di Shah Alam.
Selepas itu penyerang dari Croatia ini meledak 11 gol dalam 16 perlawanan terakhir liga. Dia menyamai jumlah jaringan yang dilakukan oleh Safee dengan 12 gol.
Balaban menambah 1 gol lagi -Piala FA- dimana Selangor hanya mampu mara ke pusingan ke-3 apabila ditunjukan jalan keluar oleh Johor FC.
Di peringkat kumpulan Piala Malaysia Balaban mempunyai 4 jaringan lagi. Selangor tewas di tangan Kelantan -separuh akhir- dengan tanpa menjaringkan sebarang gol di Shah Alam dan Kota Bharu.
Penyerang lain: Wan Hoesni Hussain, Rozaimi Abd Rahman (pinjam)
FRANCIS FORKEY DOE (2013 – 13 gol)
Forkey Doe menyertai Selangor dari Terengganu. Pada masa yang sama Selangor juga menandatangi seorang penyerang tempatan yang mempunyai fizikal agak baik iaitu Afiq Azmi.
Seorang lagi penyerang tempatan dalam pasukan, Wan Hoe Hoesni dikekalkan bagi melengkapi senarai penyerang bagi menggalas cabaran musim 2013.
Forkey Doe mengumpul 10 gol yang dilakukan dalam 8 perlawanan. Ia dilakukan ketika Selangor membuat catatan 15 perlawanan tanpa kalah.
Agak sedikit malang kerana dari 15 perlawanan itu, Selangor hanya mampu memang 6 kali. Mereka banyak tercicir mata kerana seri.
Dalam kempen Piala FA, Doe hanya menjaringkan gol ketika bertemu Sabah di pusingan ke-2 dan pasukan ini terkandas di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.
Ini bukanlah musim yang baik tetapi tidak terlalu buruk.
Penyerang lain: Wan Hoesni Hussain, Afiq Azmi
PAULO RANGEL (2014 – 22 gol)
Ini antara musim Selangor mempunyai penyerang yang tajam.
Rangel datang dari Muangthong United selepas semusim di Perak. Penyerang ini sudah diketahui dan terbukti tajam dalam kancah saingan domestik.
Sentuhan penyudahnya diteruskan di Selangor apabila dia mengumpul 22 gol. 16 darinya dalam saingan liga.
Selangor mengekalkan pencapaiannya di liga apabila menamatkan kedudukan di tangga ke-2, sama seperti musim 2013.
Pemain dari pasukan pembangunan negara, Hazwan Bakri menguatkan pasukan bersama Afiq Azmi yang dikekalkan.
Trio ini lebih baik dari Forkey Doe-Afiq-Wan Hoesni.
Penyerang lain: Hazwan Bakri, Afiq Azmi, Hadi Yahaya
GUILHERME DE PAULA (2015 – 13 gol)
Mungkin statistik Guilheme tidak dapat mengatasi Paulo Rangel, tetapi musim 2016 Selangor mudah diingati kerana meraih kejuaraan Piala Malaysia.
Di liga, Selangor kekal memberangsangkan apabila menamatkan kedudukan di tangga ke-3.
De Paula hanya mencetak 8 gol dari 19 penampilannya, bagaimanapun prestasi Hazwan dan Afiq banyak membantu bebanan yang digalas oleh penyerang dari Brazil itu.
Hazwan mengumpul 7 jaringan dan Afiq dengan 8 gol. 2 dari 4 gol Hazwan di Piala Malaysia dijaringkan dalam perlawanan akhir ketika menumbangkan Kedah.
Penyerang lain: Hazwan Bakri, Afiq Azmi, Hadi Yahaya
PATRICK RONALDINHO WLEH (2016 – 17 gol)
Musim dimana Selangor hanya menggunakan penyerang pinjaman, mungkin mereka sudah yakin dengan kemampuan yang ditunjukkan oleh Hazwan Bakri.
Wleh dipinjam masuk dari Selangor PKNS selama semusim, hanya mengumpul 9 jaringan liga, 2 gol dalam 2 perlawanan Piala FA.
Wleh menonjol dengan 6 gol pada peringkat kumpulan Piala Malaysia dan Hazwan mengulangi sentuhan luar biasanya pada perlawanan akhir sekali lagi bertemu Kedah dalam pertandingan sama.
Hazwan menjaringkan gol tunggal pasukan dan 2 momen final 2015 dan 2016 menarik perhatian pasukan gergasi Malaysia. JDT membayar tidak kurang dari RM 800 ribu bagi mendapatkannya.
Sementara itu Wleh merekod 17 gol secara keseluruhan, tidak termasuk 2 jaringan di Piala AFC.
Penyerang lain: Hazwan Bakri, Hadi Yahaya
FRANCIS FORKEY DOE (2017 – 12 gol)
Selepas 2 musim, Forkey Doe kembali menyarung jersi Selangor.
Pemain ini cemrlang ketika keluar dari pasukan dan menyertai N.Sembilan. Dia meledak dengan 17 gol liga.
Setahun kemudian dia merekod 14 gol bersama Felda United, menjaringkan gol dalam 8 perlawanan berturut-turut.
Namun dia gagal meneruskan prestasi itu di Selangor.
Doe hanya menyumbang 8 gol sepanjang kempen liga, kurang dari apa yang dilakukannya pada musim 2014.
Selangor menamatkan saingan di tempat ke-6, kedudukan paling rendah dicatatkan oleh pasukan ini sejak 2010.
Walaupun membuat perubahan besar di bahagian serangan dengan membawa masuk Rufino Seguvia dan Amri Yahya, kempen Selangor tidak berjalan dengan lancar.
Penyerang lain: Rufino Seguvia, Afiq Azmi, Nurshamil Ghani
RUFINO SEGUVIA (2018 – 31 gol)
Cemerlang dalam pasukan yang sederhana. Itulah yang boleh dikatakan tentang Seguvia.
Jika tidak kerana kemaraan pasukan ini ke perlawanan akhir Piala FA, Selangor boleh dikatakan mempunyai musim buruk.
Seguvia mengumpul 19 gol liga, prestasi luar biasanya di Piala FA dicacatkan apabila tewas kepada Pahang di perlawanan akhir.
Penyerang kelahiran Sepanyol ini mempunyai 9 jaringan Piala FA dari 7 perlawanan dan 3 gol lagi dalam saingan Piala Malaysia.
Dia mengumpul 31 gol sepanjang musim dan menjadikannya sebagai penyerang Selangor paling banyak menjaringkan gol/semusim sejak sedekad lalu.
Mungkin perubahan ketua jurulatih membuatkan pasukan ini tidak stabil walaupun sudah mempunyai penyerang prolifik.
Penyerang lain: Azizul Baharuddin, Badrul Amin Rusalan
IFEDAYO OLUSEGUN (2019 – 16 gol)
Selangor melakukan rombakan, menamakan Sathianathan Baskaran sebagai ketua jurulatih pasukan.
Seguvia dikekalkan namun terpaksa dikeluarkan selepas 6 perlawanan kerana mengalami kecederaan panjang.
Cerita Seguvia tidak terlalu mencuri tumpuan kerana seorang lagi penyerang Selangor hanya sempat bermain 3 kali. Dia adalah Antonio German.
Pemain berusia 36 tahun -Sandro da Silva- dibawa masuk menggantikan German dan pada pertengahan musim Ifedayo Olusegun hadir mengisi kekosongan yang ditinggalkan Seguvia.
Olusegun sememangnya dilahirkan untuk ‘statistik’.
Penampilan pertama pemain kelahiran Nigeria ini menyaksikan hatrik, menewaskan Kedah 3-1. Dengan hanya baki 10 perlawanan liga, dia sempat mengumpul 12 gol.
Namun sumbangannya agak sederhana pada saingan Piala Malaysia. Secara keseluruhan, Selangor adalah pasukan yang lebih baik dari 2 musim sebelumnya apabila kembali menjadi 3 pasukan terbaik Liga Super.
Penyerang lain: Rufino Seguvia, Antonio German
IFEDAYO OLUSEGUN (2020 – 3 gol)
Sathianathan kekal, Olusegun kekal.
Pada perlawanan pembukaan, pemain ini menjaringkan 1 gol ketika menewaskan Pahang 2-1 di Darul Makmur.
Pemain berusia 29 tahun terus menjaringkan gol pada perlawanan ke2 dan ke-3. Kekalahan 0-2 di tangan Kedah menamatkan rentetan jaringannya.
Adakah pemain ini mampu menjadi peledak paling bahaya mengatasi Seguvia?
Penyerang lain: Rufino Seguvia
RUMUSAN
Sejak sedekad lepas, mengikut statistik jaringan, Segovia mengatasi semua penyerang lain.
Sebelum itu mereka mempunyai Paulo Rangel dan kini giliran Olusegun. Dalam kategori penyerang tempatan Selangor mempunyai Safee Sali dan Hazwan Bakri.
Jadi, siapa penyerang terbaik bagi anda Selangor dalam tempoh tersebut?