Masa depan Luis Enrique bersama skuad Sepanyol kini tidak menentu selepas penyingkiran La Roja daripada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Pengurus itu sendiri mengakui dia mungkin harus meninggalkan jawatannya demi kebaikan pasukan.
Luis Enrique mendapat tekanan daripada ramai pihak selepas kegagalan Sepanyol di peringkat 16 akhir, tewas dalam penentuan penalti menentang Maghribi yang dianggap lawan yang ‘boleh makan’.
Sepanyol dicanang sebagai antara pasukan pilihan juara. Membuka kempen Piala Dunia dengan kemenangan besar 7-0 berdepan Costa Rica. Namun kemudian terikat 1-1 menentang Jerman dan tewas mengejut 1-2 di tangan Jepun.
Mereka kemudian dijadualkan bertemu Maghribi di peringkat 16 akhir.
Sepanyol gagal menemui jaring gol sepanjang 120. Dan mereka menanggung akibatnya ketika penentuan penalti di mana mereka gagal dalam kesemua 3 penalti pertama.
Akhirnya Sepanyol tersingkir. Walaupun sebelum perlawanan, Luis Enrique mendedahkan bahawa kesemua pemainnya sudah melakukan latihan penalti 1,000 kali setiap orang.
Masih juga mereka gagal dalam penentuan penalti sebenar.
Bercakap kepada wartawan tentang masa depannya, Enrique berkata: “Jika mengikut kehendak saya, kalau boleh saya nak terus mengendalikan skuad kebangsaan sehingga akhir hayat saya.”
“Namun saya harus mempertimbangkan dan merenung beberapa perkara demi kebaikan pasukan. Buat masa ini, tak perlu bincangkan soal itu.”
Sepanyol kini mulai dikaitkan dengan bekas pengendali Belgium, Roberto Martinez.
Martinez melepaskan jawatannya di Belgium selepas mereka tersingkir daripada peringkat kumpulan. Setelah seri dalam aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Croatia.
Nama Roberto Martinez mulai dibincangkan oleh FA Sepanyol untuk menggantikan Luis Enrique, jika pengurus itu melepaskan jawatannya atau terpaksa dilepaskan.
Buat masa ini, FA Sepanyol masih dalam proses menganalisis persembahan skuad kebangsaan dalam Piala Dunia 2022 ini.
🚨💣 Spain are considering Roberto Martínez if Luis Enrique leaves. @OndaCero_es #rmalive pic.twitter.com/FaNHXaCZd4
— Madrid Zone (@theMadridZone) December 6, 2022
Roberto Martinez dianggap calon terbaik memandangkan falsafah bola sepaknya bersama Belgium. Dia juga membantu negara itu berada di ranking no.1 dunia untuk tempoh yang lama.
Malang sekali generasi emas Belgium gagal memenangi sebarang piala major termasuk Euro dan Piala Dunia.
Adakah Roberto Martinez akan mengambil alih satu lagi jawatan bersama skuad kebangsaan? Sepanyol pastinya sukar untuk ditolak oleh Martinez jika tawaran rasmi benar benar ada di atas mejanya.