Setelah Tiga Dekad, The Undertaker Secara Rasminya Mengumumkan Persaraannya

The Undertaker akhirnya memutuskan untuk mengundurkan diri dari dunia gusti professional selepas tiga puluh tahun menghiburkan para peminat.

WWE telah menganjurkan majlis perpisahannya di acara PPV Survivor Series pada tahun ini, sempena 30 tahun debutnya di acara yang sama pada tahun 1990 lalu.

Mark Callaway atau lebih dikenali sebagai The Undertaker oleh para peminat gusti merupakan penggusti utama di bawah jenama WWE dan beliau juga bintang paling dikagumi dalam dunia gusti professional.

Pelbagai kejuaraan telah beliau miliki ketika bersama WWE termasuk kejuaraan dunia dan kejuaraan regu yang dimenanginya bersama Kane, Mankind dan beberapa penggusti lain.

The Deadman juga memegang rekod 21 kemenangan berturut-turut di acara terbesar WWE, WrestleMania sebelum tewas kepada Brock Lesner.

Selain segala kejayaan yang beliau kecapi, The Undertaker juga merupakan penggusti paling berani dalam sejarah WWE dengan segala aksi ngeri yang beliau pamerkan.

Di majlis perpisahan beliau, ramai penggusti legenda yang hadirkan diri untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Shane O’ Mac, JBL, The Big Show, Jeff Hardy, Mick Foley, The Godfather, The Godwins, Savio Vega, Rikishi, Kevin Nash, Booker T, Shawn Michaels, Ric Flair dan Triple H antara penggusti yang hadir memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Kane yang memegang watak sebagai adiknya dalam WWE turut tampil memberi penghormatan terakhir kepada rakan regunya dalam pakatan Brothers of The Destruction.

Pemilik WWE, Vince McMahon terlebih dahulu muncul memberi sepatah dua kata sebelum memanggil The Undertaker untuk mengucapkan selamat tinggal kepada WWE universe.

Vince memberi penghormatan dan penghargaan yang luar biasa kepada The Phenom itu atas segala yang beliau curahkan sepanjang tiga dekad kariernya bersama WWE.

“Tiga puluh tahun lamanya, tiga puluh tahun yang sungguh meletihkan. Tiga dekad yang dipanggil perjuangan!”

Vince memulakan ucapannya.

“Sepanjang tiga dekad, lelaki ini tidak kira ketika mengalami kecederaan atau apa pun, beliau tetap bekerja keras, dia buang segala ketakutan yang dia rasakan di hatinya. Dia curahkan segalanya ketika bertemu siapa saja dalam gelanggang ini.”

“Dalam masa yang sama, dia tetap menghiburkan peminat seluruh dunia. Tidak kira ketika WWF atau WWE, dia telah hiburkan semua generasi di seluruh dunia ini.”

“Pada malam ini, berakhirnya sebuah era. Berakhirnya sebuah jalan cerita yang sangat panjang, kisah yang sering menjadi tumpuan. Beliau tiada pengganti. Jadi pada malam ini, mari kita semua ucapkan selamat tinggal kepadanya.”

“Ramai yang mengatakan tiada apa yang akan kekal selamanya. Saya rasa mereka semua salah, ini kerana legasi The Undertaker tidak akan pernah hilang dan akan terus kekal bersama kita semua.”

Vince Mcmahon jelas tidak mampu untuk menahan emosinya dan beliau kelihatan sangat sedih ketika memberikan ucapan tersebut.

Selepas dipanggil ke gelanggang, The Undertaker membuat kemunculannya seperti biasa dengan lampu tertutup dan berjalan perlahan menuju ke gelanggang.

“Selama tiga puluh tahun, saya akan melangkah perlahan-lahan menuju ke gelanggang dan merebahkan semua lawan saya dari masa ke semasa.”

Jelas Undertaker ketika memulakan perbicaraan beliau.

“Kini, waktu untuk saya sudah tiba. Waktu untuk saya merebahkan The Undertaker untuk berehat dengan penuh ketenangan.”

Di akhir ucapannya, The Undertaker turut memberi penghormatan terakhir kepada legenda WWE, mendiang Paul Bearer.

Sepanjang tempoh tiga dekad ini, Undertaker telah banyak menghiburkan para peminat dengan aksi dan watak yang beliau bawa.

Pastinya ramai yang sedih dengan persaraan beliau, namun dek kerana kemampuan fizikalnya yang sudah tidak mengizinkan, para peminat turut mendoakan kesihatan untuk legenda terhebat sepanjang zaman itu.

Selamat hari persaraan The Legendary The Undertaker!

Baca yang lain