Setiausaha Agung PSSI Minta Shin Tae Yong Jangan Gelabah Isu Pemain Kebangsaan Kena Peram

Shin Tae Yong bengang dengan kebergantungan kelab kelab di Indonesia kepada pemain pemain import telah menjejaskan peluang anak tempatan untuk mendapat lebih banyak peluang beraksi. Ini terutama sekali pemain pemain kebangsaan pasukan Indonesia.

Shin Tae Yong dikenali dengan kelantangannya mengkritik PSSI dan Liga Indonesia, tidak berselindung dalam mengkritik polisi kelab kelab Indonesia yang ibarat sudah mennadi satu budaya. Kelab kelab berlumba lumba cuba mendapatkan pemain import berbanding membangunkan bakat tempatan.

Jika ada pemain import yang tidak menyerlah, kelab akan tetap menurunkan pemain tersebut atas dasar mereka mendapat gaji lebih tinggi. Pemain pemain tempatan biasanya menjadi pilihan terakhir.

Sejak membimbing pasukan kebangsaan Indonesia setakat Januari 2020, Shin Tae-yong masih belum memenangi sebarang gelaran untuk skuad Garuda. Sungguhpun begitu, beliau memenangi pencapaian cemerlang dalam beberapa acara yang disertai pasukan kebangsaan Indonesia.

Dan telah banyak diberikan pujian oleh peminat Indonesia serta serantau, kerana mengubah Indonesia dari segi DNA bola sepak.

Shin Tae Yong turut membantu Indonesia mara ke Piala Asia 2023. Sebelum ini, pasukan kebangsaan Indonesia kali terakhir muncul dalam acara itu pada 2007 sebagai hos bersama.

Namun, Shin Tae-yong tidak berpuas hati dengan situasi semasa di Indonesia.. Ketika ditemu bual menerusi saluran YouTube Rasmi Sport77, Shin Tae-yong mengakui pasukan kebangsaan Indonesia mampu beraksi dengan lebih baik.

Menurut Shin Tae-yong, salah satu cara adalah untuk meningkatkan persaingan di kalangan pemain. Di samping itu, adalah penting bagi kelab Liga 1 2022-2023 untuk tidak bergantung kepada pemain import demi kepentingan nasional.

Shin dan kejurulatihannya mendapati bahawa masalah utama di pasukan kebangsaan Indonesia adalah di barisan serangan dan pertahanan. Ini kerana posisi tersebut dipenuhi pemain pemain import, dalam saingan Liga Indonesia.

Shin berkata: “Pada masa depan, Liga 1 mesti membangunkan penyerang yang bagus supaya pasukan kebangsaan (Indonesia) mempunyai ramai penyerang yang boleh menjaringkan gol.”

“Saya kesal kerana pemain yang saya pilih dan bermain dalam pasukan kebangsaan Indonesia tidak menjadi pemain utama dalam kelab tertentu,” kata Shin Tae-yong, dalam wawancara dengan Sports 77, Khamis.

“Sebenarnya tidak perlu ada budaya seperti itu (terlalu bergantung kepada pemain import). Ia mesti disingkirkan supaya penyerang tempatan nanti boleh bersaing dengan pemain asing,” tambah Shin Tae-yong lagi.

“Saingan mesti kuat, barulah pasukan kebangsaan Indonesia boleh kuat. Sememangnya masalah terbesar Liga Indonesia adalah di barisan pertahanan dan penyerang yang sentiasa dipenuhi pemain asing.”

Yunus minta Shin Tae Yong jangan gelabah

Setiausaha Agung (Sekjen) PSSI, Yunus Nusi, cuba meyakinkan jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong bahawa dia akan tetap mendapatkan pemain yang beliau kehendaki pada kondisi terbaik.

Beliau malah yakin bahawa pemain pilihan Shin Tae-yong dalam pasukan kebangsaan Indonesia akan mendapat banyak peluang untuk beraksi di kelab masing-masing terutama peserta Liga 1 2022-2023.

Dia kemudian memetik statistik daripada beberapa perlawanan pembukaan. Memberikan contoh pemain seperti Ferrari yang merupakan pemain B-19 Indonesia diturunkan kelabnya.

“Jika kita lihat pada perlawanan pembukaan (Liga 1 2022-2023), Persija telah meletakkan kapten pasukan kebangsaan B-19 Indonesia, Muhammad Ferrari, di bahagian tengah pertahanan.”

Yunus Nusi meminta Shin Tae-yong jangan risau dan tak perlu gelabah sangat kerana saingan liga masih awal. Dia memberi jaminan kepada jurulatih Korea Selatan bahawa kedua-dua pemain muda dan senior akan mendapat masa bermain.

“Ada juga Frengky Deaner, Rio Fahmi, Rezki Fandi. Jadi saingan musim ini masih panjang, tak perlu risau. Jurulatih (kelab) mesti tahu keperluan pemain yang diturunkan dan mana yang disimpan dahulu,” kata Yunus Nusi.

Baca yang lain