Shin Tae Yong Dedah Indonesia Ada ‘VAR’ Sendiri Dan Bengang Mano Polking Tak Dilayangkan Kad Merah

Ketua jurulatih Indonesia menuduh Mano Polking, jurulatih Thailand sebagai tiada semangat kesukanan.

Dia turut mencadangkan bahawa pengadil seharusnya melayangkan kad merah buat Mano Polking.

Thailand dan Indonesia beraksi dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan dan bearkhir seri 1-1.

Indonesia sebenarnya mendahului perlawanan ini menerusi jaringan Marc Klok menerusi sepakan penalti pada minit ke-50.

Bagaimanapun, kelebihan itu dipadamkan oleh jaringan Sarach Yooyen pada minit ke-79 menjadikan kedudukan berakhir 1-1.

Sebelum itu, pasukan kebangsaan Indonesia sebenarnya mempunyai peluang untuk menang dengan peluang terhidang dipersiakan oleh Witan Sulaeman.

Thailand terpaksa kehilangan seorang pemain pada minit ke-62 selepas Sanrawat Dechmitr menerima kad merah kerana melanggar Saddil Ramdani.

Namun Indonesia gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain. Thailand pula lebih mengancam ke gawang Indonesia.

Shin Tae Yong bangga kerana pasukannya hampir menang. Dan mengakui agak terkilan kerana seri.

“Ya, nampaknya ia sempurna, kami hampir menang. Tapi akhirnya seri, sangat mengecewakan,” kata Shin Tae-yong.

“Dalam hati, saya mahu bermain dalam permainan kami sendiri. Tetapi akhirnya seri. Jadi belum ada tuah untuk kami,” katanya.

Shin Tae Yong kemudian dilihat beberapa kali memprotes pengadil dalam keputusan pengadilannya. Dia turut memprotes tingkah laku Polking.

Shin membantah keras apabila jurulatih Thailand, Alexandre ‘Mano’ Polking menghalang Marselino Ferdinan daripada mengambil bola segera apabila bola keluar dari padang.

Mengenai tindakan jurulatih Thailand itu, Shin malah menganggap Polking layak menerima kad. Menurutnya, Polking telah mengambil tindakan yang tidak menghormati prinsip fair play dalam sesuatu perlawanan.

“Jurulatih Thailand melakukan sesuatu yang tidak wajar. Jurulatih Thailand sepatutnya menerima kad merah. Saya fikir ini adalah permainan yang salah dan tidak adil,” jelasnya.

Selain kecewa dengan kelakuan Polking, Shin juga menganggap pengadil dalam perlawanan ini tidak cukup bagus. Dia mendedahkan bahawa pasukan kejurulatihannya ada ‘VAR’ mereka sendiri. Di mana mereka akan segera menganalisis video insiden di atas padang dan kemudian unit itu akan terus memberitahu mereka yang berada di tepi padang.

“Memang, beberapa kali saya memprotes kepada pengadil. Kami mempunyai pasukan penganalisis video, dengan walkie talkie kami bercakap tentang terdapat dua pelanggaran handball pada separuh masa pertama,” kata Shin.

“Terdapat juga dua pelanggaran pada separuh masa kedua. Jadi saya meminta pengadil menyemak dan menonton semula semasa rehat separuh masa pertama,” kata Shin selepas perlawanan

Baca yang lain