Shin Tae-yong Laung Amaran: “Indonesia Sudah Sedia Julang Kejuaraan Piala AFF 2022”

Tanpa play safe dalam kenyataannya, Jurulatih Pasukan Kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong menegaskan Skuad Garuda perlu menjuarai Piala AFF 2022.

Menurut pengendali dari Korea Selatan itu, Indonesia cuma ada 1 sasaran sahaja dalam Piala AFF 2022 kali ini iaitu bergelar juara. Dan sasaran itu sudah diletakkan Shin Tae Yong sejak menjadi pengendali Indonesia sejak 2020 lagi.

Selepas gagal dalam edisi 2020 setelah ditewaskan oleh Thailand dalam aksi final, maka edisi 2022 adalah satu kemestian untuk Indonesia juara.

Indonesia memiliki sejarah yang panjang dalam arena bola sepak. Bola sepak merupakan sukan yang diikuti ramai peminat fanatik di negara tersebut.

Namun di peringkat Asia Tenggara, Indonesia agak mengejutkan kerana masih tak pernah bergelar juara Piala AFF sejak ia diperkenalkan pada 1996.

Indonesia pernah mara ke final sebanyak 7 kali. Dan kesemuanya berakhir dengan kekakalahan ataupun sekadar menjadi naib juara pada 2000, 2002, 2004, 2010, 2016 dan edisi 2020 (yang diadakan pada 2021).

Atas sebab itu, bagi menamatkan kemarau gelaran ini, jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan pasukan kebangsaan Indonesia perlu merangkul kejuaraan.

“Sasaran sekarang adalah untuk juara. Memang sasarannya harus menjadi juara sekarang,” kata Shin Tae-Yong.

Beliau berkata bahawa skuad Indonesia kali ini sudah berada dalam keadaan yang sangat bersedia untuk menjulang kejuaraan itu.

Indonesia akan memulakan kempen mereka menentang Kemboja pada aksi sulung Kumpulan A Piala AFF 2022 di Stadium Utama Bung Karno pada Jumaat.

Indonesia yang akan memulakan aksi pembukaan sedikit lewat telah memberikan peluang kepada Shin Tae Yong untuk menganalisis lawan mereka.

“Untuk latihan kami 100 peratus bersedia tetapi untuk perlawanan saya belum tahu lagi kerana kami belum tahu kekuatan dan kelemahan pasukan lawan,” kata Shin Tae-yong.

“Bagaimanapun, jadual perlawanan kami adalah bermula lewat berbanding pasukan lain membolehkan kami menganalisis lawan sebelum bermain,” katanya.

Selain Kemboja, pasukan negara akan menentang Brunei Darussalam (26/12/2022), dan kemudian pasukan pilihan Thailand (29/12/2022), serta Filipina (2/1/2023).

Shin Tae-yong akui bahawa Thailand memiliki pasukan yang sangat kuat dan akan menjadi lawan paling sukar mereka di peringkat kumpulan.

Mampukah Indonesia akhirnya menamatkan kemarau kejuaraan atau badi final Piala AFF pada musim ini?