Shukor Adan: Legenda Kapten Treble Yang Bersara Dengan 5 Piala Malaysia

Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris ataupun TMJ berkongsi kegembiraan dengan legenda Shukor Adan yang berjaya menjulang Piala Malaysia 2021 pada hari terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional.

Sebelum final Piala Malaysia, Shukor Adan menyatakan bahawa beliau akan sah bersara jika Kuala Lumpur City menjulang Piala Malaysia.

Sebenarnya Shukor memang merancang untuk bersara selepas tamat musim ini. Dan berharap beliau bersara dengan kejayaan gemilang, menjulang Piala Malaysia bersama pasukan bukan pilihan KL City.

Shukor Adan sudah pun ditawarakan tempat selaku penolong jurulatih untuk KL City pada musim hadapan.

Pada usianya 42 tahun, Shukor Adan menjadi pemain veteran yang masih bermain di peringkat tertinggi. Sudah mengecapi banyak kejayaan dalam kariernya, termasuk menyarung jersi kebangsaan.

Bercakap sebelum sepak mula final, Shukor berkata: “Pemain-pemain Kuala Lumpur sudah memberikan yang terbaik. Kerana tidak ada sesiapa pun yang menyangka, berdasarkan keputusan kurang baik pusingan pertama liga tetapi sekarang kami berada di final.”

“Pada usia saya 42 tahun, saya tidak menyangka akan ke final bersama dengan Bojan Hodak. Walaupun kali ini saya kurang minit bermain, namun atas kepercayaan coach, saya masih berada dalam pasukan.”

“Untuk final [Piala Malaysia 2021] kali ini, saya mengumumkan persaraan saya sebagai pemain bola sepak profesional. Ini adalah perkara yang hebat saya capai pada penghujung karier saya — tidak kira sama ada saya bermain atau tidak esok, saya tetap berbangga dengan pencapaian Kuala Lumpur musim ini.”

KL City mara ke final Piala Malaysia berdepan dengan JDT. KL City berjaya menewaskan juara bertahan dari Selatan tanah air itu dengan kemenangan 2-0 pada malam final.

KL City berjaya menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama selepas 32 tahun yang lalu.  Di mana ketika itu Kuala Lumpur mencatat hatrik kejuaraan Piala Malaysia.

Lebih manis kejayaan ini adalah ketika Piala Malaysia meraikan edisi ke-100 tahun.

Penantian panjang KL itu berakhir pada tahun 2021, ketika skuad ibu kota dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman Bojan Hodak.

Dua gol Kuala Lumpur dalam aksi final dijaringkan oleh Zhafri Yahya dan juga Paulo Josue.

Kejayaan ini menjadikan Shukor Adan kini menjadi pemain yang memiliki 5 Piala Malaysia dalam koleksi pingatnya.

Maka tidak hairanlah TMJ melabel pemain itu sebagai legenda. Selepas tamat perlawanan, Shukor berkata: “Dengan ini saya mengumumkan persaraaan saya sebagai pemain Liga Malaysia. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya sepanjang 24 tahun saya bergelar sebagai pemain [profesional].”

“Kejayaan ini cukup manis buat saya sebelum menutup buku sebagai pemain,” kata Shukor lagi.

TMJ kemudian memuat naik Tweet mengucapkan selamat berehat kepada Shukor Adan walaupun sedih mengengangkan JDT kalah, namun TMJ tumpang gembira dengan Shukor Adan.

TMJ menulis di ciapan Tweet: “Bukan keputusan yang baik untuk kami, namun saya tumpang gembira untuk insan ini. Satu perjalanan [karier] yang luar biasa.”

“Terima kasih kerana memberikan inspirasi [kepada ramai orang]. Berehatlah dengan sebaiknya legenda.”

Muhammad Shukor bin Adan lahir pada 24 September 1979. Beliau merupakan pemain yang beraksi dengan banyak pasukan dalam kariernya. Dan sentiasa menjadi pemain utama.

Shukor juga pernah beraksi untuk era emas Selangor pada satu ketika dahulu.

Karier belia beliau bermula dengan pasukan Piala Presiden Melaka. 3 tahun selepas itu, Shukor dilamar pasukan belia Negeri Sembilan. Dan pada tahun 2000 diberikan debut dalam pasukan utama Negeri Sembilan.

Selepas beraksi cemerlang, Shukor menerika tawaran daripada gergasi Lembah Klang iaitu Selangor. Dan beraksi enam musim bersama dengan Gergasi Merah.

Pada 2005, Shukor menjadi nadi kejayaan Selangor memenangi treble Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super.

Kapten treble Selangor

Shukor menerima tawaran yang sukar ditolak apabila Selangor mengetuk pintu pada 2002. Shukor kemudian menyertai Selangor dan satu ‘pengembaraan’ yang cukup menarik dalam kerjaya beliau selepas itu. Pada perlawanan pertama sahaja beliau sudah menjulang Piala Sumbangsih pada 2002 menewaskan pasukan dominan era awal millenium Terengganu yang diwakili Zubir and. Co.

Pada revolusi era Bambang-Elie Aiboy 2005. Shukor Adan adalah kapten yang membawa kejayaan treble terakhir dalam sejarah pasukan Selangor. Musim yang menyaksikan Selangor menjuarai Liga Malaysia, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Shukor Adan terus menjadi pemain utama dalam skuad kebangsaan dan dilantik menjadi kapten pasukan kebangsaan sebelum tugasan itu kemudian diambil oleh Safiq Rahim.

Shukor Adan terkenal dengan corak old school defending dan sangat commanding di padang. Namun pasukan Selangor menghadapi penurunan agak mendadak selepas treble 2005 dan pada 2008, Shukor Adan mengesahkan beliau akan kembali menyarung jersi Negeri Sembilan. Ia adalah selepas rombakan skuad Selangor.

Wira Piala Malaysia 2009 untuk Negeri Sembilan

Shukor Adan kemudian membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2009. Piala Malaysia ketiganya selepas 2002 dan 2005 bersama Selangor.

Pada edisi 2009, Shukor Adan dinobatkan Man Of The Match aksi final Piala  Malaysia.

Pada Semifinal menentang T-Team Shukor Adan menjadi matchwinner pada minit ke 84 untuk kemenangan 2-1 sekaligus menutup sebarang sejarah All Terengganu Affairs di final selepas Terengganu turut mara ke final menewaskan Selangor.

Terengganu adalah pasukan yang jelas lebih lengkap berbanding pasukan Negeri Sembilan. Penjaring Prolifik Ashaari Shamsuddin meletakkan Terengganu di depan pada minit ke 59.

Namun tak siapa menjangka pada 10 minit terakhir pasukan Negeri Sembilan come from nothing. Banyak cross mula dilancarkan Negeri Sembilan yang agak buntu sepanjang perlawanan final. Pada minit ke 81 satu cross dari Kunanlan disalah nilai (misjudge) oleh Sharbinee dan menerjah gawang.

Negeri Sembilan datang lagi 5 minit kemudian dan siapa akan lupa dengan gol libasan bekas pemain Peteh, Hairuddin Omar dengan nameset fancy Hai-O, yang akhirnya membawa kejuaraan kepada Skuad Jang sekali lagi.

Shukor Adan kemudian menerima tawaran daripada pasukan yang sarat bintang ketika itu iaitu ATM pada 2013. Sebelum menyertai Felda United.

Ketika di Felda United, Shukor dilantik menjadi kapten. Dan membantu kelab itu menjadi naib juara Liga Premier untuk beraksi di Liga Super.

Bersama Felda United

Di sinilah Shukor Adan mulai menjadi bek tengah sepenuh masa berbanding dengan posisi Defensive midfielder.

Pada 2019, Shukor Adan menyertai Melaka United bersama dengan dua lagi kapten legenda dalam Liga Malaysia iaitu Razman Roslan dan Safiq Rahim. Malangnya di Melaka United projek 3 kapten ini tidak berjaya.

Tutup buku dengan KL City dan kisah Shukordona

Lalu Shukor menyertai KL City pada akhir kariernya. Beliau berjaya membantu KL City menamatkan saingan liga di tangga keenam dan kemudian mengakhiri musim 2021 dengan kejuaraan Piala Malaysia.

Selain itu, Shukor Adan pernah mencipta versi Hand of Shukor ala Maradona.

Pemain veteran yang berstatus legenda hidup di Malaysia telah menjaringkan gol menggunakan tangan itu dalam perlawanan menentang UiTM FC.

Jaringan Shukor Adan itu merupakan gol penyamaan penghujung perlawanan ketika itu.

Ketika tiga mata pertama dan kemenangan pertama UiTM FC bakal diraih dan hanya dipisahkan dengan masa beberapa saat dengan wisel penamat Kuala Lumpur City FC mendapat sepakan percuma.

Paulo Jose membuat sepakan ke tengah kotak penalti UiTM dan tepat menemui Shukor Adan dan gol penyamaan telah terhasil dari pemain veteran itu.

Semuanya tampak normal sehingga ulang tayang dilihat apabila jelas tangan digunakan Shukor Adan untuk menolak masuk bola ke gawang.

Pemain pemain UiTM membantah gol itu. Namun Shukor meraikannya dengan gaya agak jahat.

Shukor Adan telah menjaringkan gol persis jaringan ikonik milik Diego Armando Maradona yang digelar ‘The Hand of God’ bergegar media sosial dengan jaringan itu.

Pengadil telah mengesahkan jaringan Shukor Adan walaupun pemain UiTM membantah dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1 sama dan tidak dapat diubah lagi.

Dan pada akhir musim 2021, Shukor Adan menjulang Piala Malaysia kelimanya bersama KL City.

Karier kebangsaan

Di peringkat antarabangsa, Shukor bukanlah nama asing. Beliau pernah dipanggil untuk mewakili Malaysia dalam aksi menentang Manchester United, dan mengetuai Harimau Malaya menentang Chelsea.

Paling menarik, Shukor Adan dipuji oleh pengendali Chelsea ketika itu, Luiz Felipe Scolari.

Mungkin sukar untuk mencari pengganti pemain seperti Shukor. Walaupun klasik tetapi roburst defender ini tetap berkualiti.

Beliau membantu Malaysia memenagi pingat perak Sukan SEA 2001. Pada 2007 Shukor Adan menjadi pemain yang cemerlang dalam kempen hambar Piala Asia Malaysia yang dianjurkan 4 Negara Asia Tenggara termasuk Malaysia. Tahun yang sama (2007) Shukor Adan menjulang Pesta bola Merdeka.

Paling diingati adalah ketika Dollah Salleh memanggil Shukor Adan sebagai bidan terjun dan menjadikan beliau kapten dalam aksi Piala Suzuki AFF 2014. Shukor dipanggil untuk menggantikan Safiq Rahim. Tindakan Dollah Salleh membuatkan ramai tidak setuju.

Namun Shukor membiarkan aksi di padang bersuara dan cukup cemerlang menjadi benteng pertahanan. Sayangnya Malaysia cuma mampu berada di tempat kedua walaupun cuba bangkit di Kuala Lumpur pada final second leg.

Ia adalah aksi kompetitif terakhir Shukor untuk Harimau Malaya dan kemudian beliau mengumumkan persaraan daripada peringkat kebangsaan. Namun cara beliau mengakhiri karier adalah sangat heroic dan pasti akan dikenang kita semua.

Selepas mengharungi karier yang panjang, bermain 397 kali di peringkat kelab dan 51 kaps untuk kebangsaan sepanjang 24 tahun kariernya, Shukor Adan mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Malaysia.

Selamat bersara legenda. Terima kasih kerana menjadi watak yang menghiasi tontonan bola sepak kami sejak kami di bangku sekolah lagi.

Baca yang lain