Menjelang separuh kedua musim 2019/2020, umum sudah mengetahui tentang keberadaan pasukan Manchester United yang terumbang-ambing dan masih tercari-cari rentak. Pihak pengurusan United khususnya sudah begitu cakna dengan perkara ini. Penyebab utama kepada perkara ini ialah kekurangan pengalaman yang dimiliki oleh skuad mereka.
Rata-rata sudah mengetahui bahawa skuad yang dimiliki United sekarang ini bukanlah tidak bagus, cuma kekurangan pengalaman menjadikan mereka kelihatan begitu tertekan untuk terus konsisten. Mereka dilihat tidak bermasalah apabila berhadapan dengan pasukan-pasukan besar, tetapi sangat bergelut apabila bertemu dengan pasukan kecil.
Januari ini tingkap perpindahan musim sejuk akan dibuka, Ole Gunnar Solskjaer, pengurus United sudahpun mengenalpasti kelemahan pasukannya, dan penambahbaikan perlu dilakukan untuk mengharungi baki musim bagi mendapatkan tempat ke Liga Juara Juara Eropah.
Antara prospek yang begitu hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford ialah Erling Braut Haaland.
Pemain ini menjadi bualan hangat di eropah ketika ini berikutan prestasinya yang mengagumkan bersama pasukan Red Bull Salzburg. Rekod beliau yang menjaringkan 27 goal dari 18 perlawanan termasuk 8 di Liga Juara Juara Eropah sangat menarik minat pasukan-pasukan besar. Tambahan lagi dengan umurnya yang baru 19 tahun, menjadikan beliau sebagai antara prospek yang begitu diingini. Kenampuan kewangan United seharusnya tidak menjadi masalah untuk memenuhi tuntutan pemain ini.
United ketika ini sangat memerlukan penyerang nombor 9 di mana ketika ini tugasan itu nampak tidak mampu digalas oleh Martial. Bukanlah ingin menidakkan keupayaan beliau, tetapi konsistensi dalam menjaringkan gol adalah sangat diperlukan ketika ini dari seorang penyerang tengah yang klinikal.
Seterusnya, sejak beberapa musim lepas United kerap dikaitkan dengan Christian Eriksen. Pemain tengah Tottenham Hotspur ini dilihat sebagai calon yang tepat mengisi jentera kreatif di bahagian tengah.
Ketiadaan Paul Pogba sebagai maestro serangan United nyata menyukarkan mereka dalam melancarkan serangan-serangan kreatif. Tambahan lagi dengan gossip yang bertiup kencang tentang keinginan Pogba yang mahu ke Real Madrid menambah tekanan kepada United. Justeru itu pengambilan Eriksen ketika ini adalah tepat pada masanya.
Menurut Sky Sport, pengerusi Tottenham Hostpur, Daniel Levy telah membuat kenyataan bahawa mereka tidak takut untuk menjual Eriksen kepada pasukan rival. Kesempatan ini seharusnya diambil oleh United dalam merealisasikan perpindahan ini menjadi kenyataan. Keadaan beliau yang berada di hujung kontrak juga seharusnya menjadi nilai tambah kepada United dalam memeterai perjanjian.
Peminat United pasti tidak boleh lupa jaringan Jack Grealish, kapten Aston Villa yang berusia 24 tahun, ketika bermain menentang United bulan lalu. Teknik sepakannya dari penjuru luar kotak penalti telah membuatkan Old Trafford tergamam ketika United terdesak mencari gol pendahuluan.
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Opta, Grealish menjadi satu-satunya pemain tempatan yang kerap mencipta peluang. Beliau telah mencipta 24 peluang mengatasi Raheem Sterling (22), Alexander Arnold (22), Marcus Rashford (15) dab Callum Wilson (15). Statistik ini sangat menggoda United untuk memperkuatkan jentera serangan mereka. Dengan keadaan Aston Villa yang berhadapan dengan krisis kewangan sekarang, ini adalah waktu yang terbaik untuk United datang menawarkan wang.
Berdasarkan penerangan ringkas mengenai pemain yang dikaitkan dengan United diatas, menurut anda siapakan pemain yang benar-benar tepat untuk menyarung jersi United?