Sistem VAR: MFL Setuju Tetapi Mahu Mutu Pengadil Ditingkatkan

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bersetuju dengan inisiatif pembaharuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan liga tempatan musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam (gambar) berkata pelaksanaan sistem VAR bukan sahaja memenuhi tuntutan bola sepak semasa, malah permintaan pemain dan pasukan serta keinginan penyokong.

Bagaimanapun, beliau berpendapat pelaksanaan sistem berkenaan bukan satu bentuk penyelesaian total kepada isu yang timbul berkaitan mutu pengadil negara sekali gus mengharapkan lebih banyak usaha dijalankan bagi meningkatkan tahap kualiti barisan pegawai perlawanan.

“Dalam Liga Perdana Inggeris masih ada isu VAR, di Piala Dunia akan datang pun akan ada…saya percaya FAM juga mengambil langkah yang sangat proaktif dari segi penambahbaikan mutu pengadilan.

“Jadi selain pelaksanaan dan kajian VAR, program memperkasa pengadil dari segi keputusan di padang dan keputusan tidak berkaitan VAR kerana sistem itu bukan pemutus segala-galanya dalam sesuatu perlawanan…hal itu juga harus ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran set koleksi setem khas sempena Piala Malaysia 2022 oleh Pos Malaysia dan MFL di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menjelang saingan Liga Super 2023 yang bakal menampilkan 16 pasukan, Stuart berharap persembahan pengadil akan mengikut tranformasi yang dilakukan dalam meningkatkan nilai bola sepak tempatan.

“Secara umumnya saya percaya standard pengadilan di Malaysia adalah adil…tetapi bolehkah diperkasa dan diperbaiki? sudah tentu,” katanya.

Semalam FAM menyatakan kesediaan untuk memperkenalkan sistem VAR dalam kancah saingan Liga Malaysia 2023 dengan Piala FA dan Piala Malaysia dipilih sebagai medan percubaan serta tertakluk kepada perlawanan tertentu seperti peringkat separuh akhir dan akhir.

Sementara itu, Pos Malaysia dan MFL hari ini mengeluarkan set Setem Ku edisi terhad Piala Malaysia 2022 yang menampilkan beberapa pemain terpilih sebagai memberi penghormatan kepada semua kelab yang bertanding.

Set lengkap akan disertakan dengan tiga sampul surat, tiga poskad dan set folder yang direka dengan teliti serta mempunyai nombor siri. Sejumlah 1,800 set folder untuk direbut yang dijual pada harga RM45 setiap satu.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkannya secara dalam talian menerusi www.pos.com.my/shop, manakala pembelian runcit di kaunter Setem & Filateli Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur bermula esok dan pembelian di 13 Pejabat Pos Besar lain seluruh negara bermula 14 Nov.

-Bernama

Baca yang lain

Michael Edwards Setuju Kembali Ke Liverpool

Pengarah Sukan bertaraf legenda kelab iaitu Michael Edwards dilaporkan telah mencapai kesepakatan dengan Liverpool untuk kepulangan semula. Edwards sebelum ini menjadi tulang