Perjalanan skuad bola sepak Sukan SEA buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sah dinoktahkan oleh Kemboja. Malaysia gagal mara ke separuh akhir. Tewas 3-1 kepada Kemboja adalah keputusan yang pahit ditelan oleh Datuk Ong Kim Swee dan barisan anak buahnya.
Sebagai peminat sukan bola sepak, Wany percaya kini rata-rata komuniti bola sepak di Malaysia mencari di mana silapnya cabaran pasukan negara kali ini sehingga gagal menewaskan pasukan seperti Myanmar, Filipina dan Kemboja.
Antara yang menjadi mangsa kecaman semestinya Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee. Formasi 3-4-3 beliau bersama pasukan bawah umur kali ini dianggap lapuk, dan tidak berkesan.
Seterusnya barisan pemain. Prestasi Daniel Amier di bahagian tengah dianggap mengecewakan. Begitu juga Haziq Nadzli di hadapan gawang, dan barisan pemain senior yang tidak menyumbang dan gagal memberikan kelebihan kepada pasukan negara.
Pendek kata, semuanya bersalah kerana pasukan ini gagal layak ke separuh akhir. Malah Wany percaya jika skuad ini mampu mara ke separuh akhir tetapi tetap terkandas, Ong Kim Swee dan barisan pemain ini tetap akan dikecam.
Hakikatnya kita mahukan emas untuk pasukan negara. Atau sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir. Dan jika tewas sekali pun biarlah kepada pasukan seperti Vietnam atau pun Thailand yang kita semua tahu adalah lebih gah.
Mahu atau tidak mahu, penyokong bola sepak Malaysia harus menerima hakikat inilah realiti sebenar bola sepak negara. Inilah barisan pelapis pemain yang dihasilkan oleh negara selama ini.
Mungkin ada pihak yang menyamakan pasukan ini dengan skuad kebangsaan atau pun skuad Bawah-19 tahun negara kendalian Brad Maloney. Wany harus katakan ini adalah pembandingan yang tidak adil.
Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada hari ini memiliki barisan pemain naturalisasi seperti Corbin Ong, Brendan Gan, Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh.
Kehadiran mereka bersama pasukan kebangsaan bukan sahaja meningkatkan kualiti permainan secara teknikal. Lebih daripada itu, tahap profesionalisme pemain dari segi kesungguhan, mentaliti, cara mempersiapkan diri sebelum dan selepas perlawanan, turut menjadi ikutan pemain tempatan yang lain.
Admin suka cara Umar Hakeem menjawab soalan wartawan.
“Great team only plays with great teams.” – Umar
Posted by Semuanya BOLA on Monday, November 11, 2019
Skuad Brad Maloney pula ditunjangi oleh majoriti pemain daripada Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD). Kita semua tahu bagaimana pemain-pemain ini dibentuk di dalam football education melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Mereka dibentuk secara holistik dengan pakej lengkap untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Walaupun skuad kendalian Brad Maloney itu bukan 100% pemain dari AMD, keberadaan majoriti pemain daripada sana di dalam pasukan sedikit sebanyak memudahkan Maloney mengendalikan pasukan – terutama untuk perkara yang sedang berlaku di dalam padang dan bukan di bawah kawalan jurulatih.
Dalam pasukan ke Manila, Kim Swee hanya memilih Luqman Hakim dan Umar Hakeem dari AMD.
Artikel ini bukan bertujuan untuk back-up Ong Kim Swee. Beliau pun mungkin ada melakukan kesilapan, terutama dari segi pemilihan pemain. Tetapi biarlah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menilai sendiri sumbangan beliau sebelum ini, dan masa depan beliau.
Cuma andai kita selidiki kelompok pemain sebelumnya di bawah kendalian Kim Swee, Wany rasa ramai bersetuju jika Wany katakan Kim Swee berjaya membawa banyak pasukan negara peringkat umur dengan berjaya.
Skuad Piala AFC U-23 di China pada 2018 misalnya, Kim Swee berjaya membawa pasukan negara ke suku akhir. Malah pasukan negara menewaskan gergasi Asia, Arab Saudi pada ketika itu.
Pada ketika itu, Kim Swee juga mengamalkan formasi 3-4-3 di dalam sistem permainan. Jadi di mana silapnya? Pada Wany, pemain kali ini langsung tidak ada disiplin taktikal. Bagaimana bentuk ketika menyerang? Bagaimana set up ketika bertahan? Apa yang Wany lihat hanya kesilapan.
Keputusan penuh perlawanan dan kedudukan terkini dalam kumpulan C saingan AFC B-23.
Malaysia ada peluang ke suku akhir dengan syarat mengalahkan Arab Saudi.
Posted by Semuanya BOLA on Saturday, January 13, 2018
Pada pandangan Wany, silapnya ialah di Liga Malaysia sendiri. Daripada senarai pemain yang dibawa ke Manila, selepas ditolak dua pemain senior (Irfan Fazail dan Adam Nor Azlin), serta dua pemain dari AMD, apakah sistem yang digunakan untuk membentuk pemain-pemain ini?
Inilah produk Liga Malaysia. Terdapat di kalangan mereka beraksi sebagai pemain utama. Namun berapa ramai yang mendapat pendedahan di Liga Super setiap minggu? Syamer Kutty adalah pemain paling hampir. Tetapi bola sepak dimainkan oleh 11 pemain, bukan seorang.
Pendek kata Wany percaya skuad kebangsaan pun akan beraksi longlai di pertandingan antarabangsa tanpa pemain naturalisasi. Skuad Brad Maloney juga longlai jika tanpa pemain daripada AMD. Tidak ada bezanya dengan kemampuan skuad Sukan SEA pada hari ini.
Kesimpulannya, Skuad Sukan SEA 2019 Malaysia pada hari ini adalah realiti sebenar bola sepak negara. Korang tak setuju dengan Wany takpe. Ini pendapat Wany je…