Southgate Ikut Jejak Langkah Kim Pan Gon

Gareth Southgate mengikut jejak langkah Kim Pan Gon, meletakkan jawatannya sebagai pengurus England, hanya beberapa jam selepas pengendali Malaysia itu meletak jawatan.

Keputusan yang mengecewakan dicatatkan oleh pasukan England pada aksi final Euro 2024 membuatkan pengurus itu mendapat tekanan yang kuat dari semua pihak.

Southgate dikritik kerana pendekatan taktikal dan pengurusan pasukan pada hari perlawanan dianggap seringkali tidak memuaskan dan punca England kalah satu lagi final Euro.

Sebelum ini FA England sudah memberikan bayangan bahawa mereka mahukan pengurus itu terus kekal memacu pasukan England. Ini selepas Southgate menjadi pengurus yang berjaya membantu England mara ke 2 final Euro dan satu semifinal Piala Dunia sejak dia mengambil alih jawatan pengurus.

Tetapi harapan peminat adalah lebih daripada sekadar aksi kalah mati. Kerana Southgate merupakan pengurus yang menerima bayaran yang sangat tinggi serta memiliki sumber pemain yang besar.

Dia ada ramai pemain bintang yang cemerlang bersama kelab mereka termasuk Harry Kane, Phil Foden, Cole Palmer, Bukayo Saka, Jude Bellingham dan ramai lagi.

Selain itu dia suka meletakkan pemain di posisi lemah mereka walaupun ada pilihan lain lebih baik.

Ramai yang merasakan Southgate masih perlu dikenang jasanya di atas segala memori indah dia hadirkan kepada peminat tetapi sudah tiba masanya untuk dia berundur.

Dan selepas 102 perlawanan dalam masa 8 tahun bersama England, Southgate akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pasukan itu.

Southgate berkata: “Sebagai seorang rakyat England yang bangga menjadi warganegara, saya benar benar rasa berbesar hati pernah mewakili pasukan ini sebagai pemain dan menjadi pengurus.

“Ianya adalah paling bermakna bagi saya. Namun ianya harus berubah. Aksi final menentang Sepanyol di Berlin adalah aksi terakhir saya sebagai pengurus England,” tegas beliau.

FA England dilaporkan akan melantik pengganti Gareth Southgate yang baharu secepat yang mungkin kerana England ada kempen kelayakan Piala Dunia selepas ini.

Antara nama yang berada dalam senarai ialah Mauricio Pochettino, Eddie Howe dan juga Graham Potter. Serta ada beberapa nama lain lagi dalam senarai panjang.