Southgate Kecewa Rakyat England Sendiri Mahu Jatuhkan Maguire

Pengurus antarabangsa England, Gareth Southgate berjaya membimbing England menang 3-1 ke atas musuh tradisi, Scotland pada malam Selasa di Hampden Park.

Walaubagaimanapun, satu detik yang mencemari kemenangan itu adalah gol sendiri dari pertahanan tengah Harry Maguire.

Membuatkan kritikan ke atas pemain itu menjadi lebih kuat lagi. Sebelum ini Maguire dipertikaikan pemilihannya di dalam pasukan England kali ini.

Dia sudah tidak mendapat tempat dalam skuad Man United sejak musim lalu lagi. Dan musim ini Maguire lebih banyak minit permainan dengan England berbanding dengan kelab.

Di Old Trafford, pengurus United, Erik ten Hag, telah melucutkan lilitan kapten daripadanya menjelang musim baharu, dan membawa masuk pemain pertahanan berusia 35 tahun Jonny Evans secara percuma, sementara turut membenarkan Maguire mengadakan perbincangan dengan West Ham untuk perpindahan. Walaupun kemudian perpindahan gagal dimeterai.

Selepas melihat pasukannya menang 3-1 di Scotland pada hari Selasa, Southgate mengecam beberapa komen yang dibuat mengenai Maguire.

Southgate melabelkan beberapa kritikan yang ditujukan kepada Maguire daripada pakar sebagai “jenaka” dan sangat tidak adil.

Southgate lebih kecewa kerana menurutnya yang cuba menjatuhkan Maguire dengan komen teruk itu adalah orang Inggeris sendiri. Bukannya penyokong lawan. Bahkan Southgate menyatakan dia tidak mendengar langsung penyokong atau pundit dari Scotland memperlekehkan Maguire lebih teruk daripada yang dia terima di England.

Dia berkata dalam sidang akhbarnya: “Terdapat layanan yang tidak masuk akal terhadap Harry Maguire untuk jangka masa yang lama – Ia adalah jenaka. Saya tidak pernah tengok seorang pun pemain yang dilayan dengan cara yang sama oleh pundit dari negara kita sendiri. Ia melebihi apa-apa yang pernah saya lihat.”

“Dia bukannya dicerca oleh penyokong Scotland tetapi oleh penyokong dan pundit negara kita sendiri.”

Southgate kemudian mengingatkan bahawa Maguire telah menjadi sebahagian penting nadi pasukan England pada eranya.

“Beliau telah menjadi sokongan mutlak kami dalam pasukan kedua paling berjaya selama beberapa dekad. Dia menjadi bahagian penting mutlak dalam tempoh itu.”

Southgate memuji semua pemainnya yang cemerlang dalam kemenangan 3-1 ke atas Scotland.

“Sungguh gembira. Saya fikir kami cemerlang dalam semua fasa permainan sejak awal.”

“Kami mahu mengawal permainan dengan menggunakan bola dengan baik dan saya fikir kami melakukannya dengan baik. Hari ini kesemua 11 pemain, dan pemain simpanan, mereka semua bermain dengan baik.”