Sporting Lisbon Bakal Diheret Ke FIFA Berkaitan Isu Penjualan Bruno Fernandes

Sporting Lisbon berdepan dengan risiko dilaporkan kepada FIFA berkaitan dengan perpindahan Bruno Fernanandes ke Manchester United.

Hal ini kerana, satu lagi bekas kelab Bruno Fernandes iaitu Sampdoria mendakwa mereka berhak mendapat bonus daripada penjualan Bruno Fernandes ke United.

Selepas satu saga perpindahan yang agak rumit, Man United akhirnya berjaya membawa masuk pemain kebangsaan Portugal itu dengan nilai £47 juta dengan potensi menjadi £67 juta dengan add ons.

Sebelum menyertai Sporting, Bruno Fernandes bermain untuk Sampdoria. Beliau kemudian memeterai perpindahan bernilai €8.5 juta ke Sporting pada 2017.

Ini selepas beliau bermain selama lima tahun di Itali dengan 3 buah kelab. Sampdoria menyatakan, ketika penjualan Bruno Fernandes, kedua dua pihak setuju dengan bonus atas jualan.

Akhbar A Bola di Portugal melaporkan Sampdoria ada hak untuk menuntuk sekitar £4 juta, ataupun sekitar 10% daripada keuntungan yang dijana oleh Sporting Lisbon daripada penjualan pemain tengah sensasi itu.

Malangnya, sehingga ke hari ini, wang itu masih belum diserahkan kepada Sampdoria. A Bola juga melaporkan bahawa kedua dua kelab kini sedang berperang tentang perkara itu.

Sampdoria menegaskan, jika tiada kesepakatan dicapai, maka kes ini akan diheret ke FIFA.

Sporting Lisbon menyatakan, mereka tidak tertakluk kepada syarat perjanjian asal dengan Sampdoria, kerana Bruno Fernandes sudah menandatangani kontrak baharu pada 2018 sebelum serangan oleh penyokong ke atas pasukan mereka.

Oleh itu Sporting merasakan Sampdoria tidak berhak untuk mendapatkan bonus daripada penjualan. Kerana klausa itu terkandung pada kertas kontrak lama.

Bruno: Pemain akademi yang gagal – bertukar menjadi permata

Tidak pasti apa sebenarnya yang membuatkan beliau gagal di mata kelab lamanya Boavista di Portugal.

Bruno menyertai mereka dari muda, di peringkat akademi. Apabila usianya semakin dewasa, Bruno Fernandes diberitahu bahawa beliau tidak layak untuk diserap masuk ke pasukan senior.

Bruno tidak pasti kenapa beliau gagal untuk menambat hati kelabnya itu. Luluh dan remuk hati Bruno Fernandes ketika itu.

Bruno Fernandes mendapat tahu Boavista mahu melepaskannya ke pasukan lain.

Berkelana ke Itali

Akhirnya Bruno Fernandes dijual ke Novara, kelab kecil di Itali. Beliau menyertai pasukan tersebut sebagai pemain remaja.

Namun beliau terus diserapkan ke dalam pasukan utama kerana kualiti yang ada padanya. Fernandes sangat cepat matang di dalam permainannya.

Ketika di Novara, Fernandes sangat cemerlang dan terpilih mewakili pasukan remaja dan peringkat belia Portugal.

Pada usianya yang sangat muda, Fernandes menjadi pemain utama Novara di Serie B sepanjang musim 2012/13.

Udinese mengesan bakat beliau dan menawarkan beliau kontrak. Fernandes tidak menoleh ke belakang lagi dan beliau mencatatkan 11 gol, 13 assist dalam 95 perlawanan. Beliau beraksi di sana selama 3 musim.

Ruginya adalah Boavista yang melepaskan beliau terlalu awal satu ketika dahulu, kerana ternyata Bruno Fernandes memiliki nilai harga yang cepat naik.

Namun selepas itu, beliau tidak sehaluan dengan pengurus Udinese dan dipinjamkan ke Sampdoria.

Semusim di Sampdoria, Fernandes ditawarkan kontrak oleh Sporting Lisbon pada 2017. Ini selepas aksi cemerlang beliau dalam kejohanan Euro B-21 pada 2017.

Beliau tidak berlengah untuk menyertai salah sebuah pasukan terbesar di Portugal dan dikenali di Eropah itu.

Kemuncak prestasi

Sporting Lisbon mendapatkan Fernandes dan memasukkan klausa pelepasan €100 juta.

Dari situ karier beliau terus mekar mewangi dan menjadi pemain utama kebangsaan Portugal.

Beliau kemudian dilantik menjadi kapten Sporting Lisbon dan mulai dikaitkan dengan pasukan pasukan elit Eropah.

Fernandes akhirnya berjaya berpindah ke Manchester United pada Januari 2020. Beliau memeterai perjanjian dengan nilai perpindahan sekitar €65 juta termasuk bonus.

Selepas 135 perlawanan bersama Sporting Lisbon, Bruno Fernandes mencatatkan 63 gol dan 51 assist daripada posisi pemain tengah.

Beliau menyatakan, legenda Man United, Cristiano Ronaldo sebagai antara individu yang banyak mempengaruhi beliau di dalam perpindahan.

Selain daripada kehebatan beliau sebagai pemain yang prolifik, Bruno Fernandes juga dikenali dengan kepimpinan beliau di atas padang.

Menjadi kapten Sporting Lisbon pada usia yang sangat muda. Fernandes juga menjadi pemain penting bagi pasukan negaranya.

Jadi tidak hairanlah kalau Ole Gunnar Solskjaer terbayang kelibat Paul Scholes dan Veron apabila melihat aksi Bruno Fernandes di atas padang.

Baca yang lain

Real Madrid Singkir Juara Bertahan!

Real Madrid menyingkirkan juara bertahan Manchester City dari saingan UCL awal pagi tadi. Skuad Carlo Ancelotti sekali membuktikan bahawa Real Madrid dan