SPRM Lumpuhkan Sindiket Salah Guna Cap Keluar Masuk Sempadan, 40 Ditahan, 2 Dicari

Sindiket menyalahgunakan pengesahan cap keluar dan masuk sempadan utama negara lumpuh apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 46 orang termasuk 27 pegawai Imigresen dalam operasi besar-besaran semalam.

Operasi khas yang dinamakan Op Selat itu merupakan ‘sting operation’ yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru.

Menurut sumber SPRM, kesemua mereka ditahan di sekitar Putrajaya, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak, dengan 13 orang termasuk sembilan pegawai Imigresen direman di Johor manakala 23 lagi direman di Putrajaya hari ini.

“Ahli sindiket yang ditahan termasuk 27 pegawai Imigresen, 14 ejen pekerja asing dan lima orang awam yang bertindak sebagai orang tengah berusia antara 21 dan 46 tahun.

“Sindiket ini telah menjalankan aktiviti mereka sejak setahun yang lalu dan berada di bawah radar pemantauan SPRM sejak bermulanya penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac lepas,” kata sumber itu kepada Bernama.

Menurut sumber, aktiviti rasuah dalam kalangan anggota sindiket itu menjadi lebih rancak sepanjang PKP dikuatkuasakan dan ia menumpukan pekerja asing dan pekerja tanpa izin yang terkandas di negara ini akibat PKP.

“Banyak permintaan daripada majikan untuk melanjutkan tempoh izin berada di negara ini dan permintaan pekerja asing atau migran untuk pulang ke negara asal mereka.

“Modus operandi sindiket ini ialah menerusi dua kaedah iaitu flying pasport atau pasport terbang iaitu ejen akan mengumpul pasport pekerja asing atau migran yang menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja yang telah tamat tempoh untuk dicap keluar dan masuk bagi membolehkan visa lawatan disambung,” kata sumber itu.

Sumber berkata hanya pasport yang sampai di pejabat Imigresen tanpa kehadiran pemilik pasport sebagai  pengesahan keluar atau masuk sepertimana yang disyaratkan.

“Modus operandi yang kedua ialah setting counter khususnya di KLIA dan klia2, iaitu pendatang tanpa izin yang disenaraihitamkan, yang telah tamat tempoh visa perjalanan dikenakan bayaran antara RM500 hingga RM6,000 seorang untuk bebas masuk dan pulang ke negara masing-masing.

“Ini merupakan isu kebocoran pintu negara yang serius dan SPRM amat menghargai kerjasama yang diberikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen dalam pertukaran maklumat berhubung sindiket ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kerjasama sepenuhnya akan diberikan kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan yang dilaksanakan secara profesional.

Menurutnya, penahanan pegawai jabatan itu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pemalsuan cap keselamatan Imigresen adalah hasil kerjasama pihaknya dan SPRM khususnya dalam perkongsian maklumat yang diperoleh daripada aduan orang ramai.

“Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan kakitangan yang menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah akta dan peraturan Imigresen bagi tujuan kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua individu bagi membantu kes penyalahgunaan pengesahan cap keluar dan masuk di sempadan utama negara.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, lelaki pertama yang dikesan itu dikenali sebagai Yuen Hon Loong, 49, dengan dua alamat terakhir iaitu di No. 27, Jalan Kota 12, Taman Kota 83700 Yong Peng, Johor dan No. 13A Jalan PJS 1/32, Batu 6 1/2 Jalan Klang Lama, 46000 Petaling Jaya, Selangor.

Lelaki kedua pula dikenali sebagai Teo Hun Siang, 36, dengan tiga alamat terakhir iaitu di 3-2 Residensi Sultan Ismail, No. 12 Jalan Sultan Ismail 50250 Kuala Lumpur; No. 803, Pekan Baru Juasseh 72500 Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan 77-19-3A Sri Emas Condominium, Jalan Hang Isap Off Jalan Galloway, 50150 Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai kedua-dua lelaki tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Penolong Penguasa Muhamad Hairi Mustafa Kamal di talian 014-3042 195 atau 03-8870 0512 atau e-mel ke alamat [email protected],” menurut kenyataan itu.

Bernama hari ini melaporkan SPRM menahan 46 orang termasuk 27 pegawai Imigresen dalam operasi di beberapa negeri, semalam.

Operasi khas yang dinamakan Op Selat itu merupakan ‘sting operation’ yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan di pintu masuk dan keluar negara khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), klia2 dan Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru.

— BERNAMA