Sri Pahang 0 JDT 2: Permainan Sederhana JDT Cukup Untuk Benamkan Sri Pahang

JDT merekod kemenangan ke-4 dari 5 perlawanan terakhir dan terus mengukuhkan kedudukan di persada carta Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang 2-0.

Sementara itu Sri Pahang mengalami kekalahan ke-4 dari 5 perlawanan terakhir dan terus berada di zon tersingkir ke Liga Perdana.

Kekalahan tersebut terus menekan Dollah Salleh yang sering merungut tentang kualiti pemain import yang dimilikinya.

JDT menguasai permainan secara penuh sepanjang 20 minit pertama melalui 4 percubaan, 1 darinya adalah percubaan tepat.

Percubaan pertama Sri Pahang hadir pada minit ke-20 melalui Shahrul Nizam Nadzir, tepat kearah Farizal Marlias. Ia merupakan percubaan terbaik dari Sri Pahang dalam perlawanan tersebut.

2 minit selepas itu, JDT memberi tindakbalas pantas apabila usaha keras dari Bergson yang melindungi bola dengan kekuatan fizikal. Bergson kemudiannya melakukan hantaran ke tengah kotak penalti, berjaya disudahkan oleh Leandro Velazquez.

Selepas itu, baki babak pertama tiada lagi percubaan dari mana-mana pasukan selain dari 1 sepakan percuma melambung dari JDT dan 4 kad kuning yang dilayangkan oleh pengadil perlawanan.

6 minit selepas separuh masa kedua dimulakan, Cabrera menguji Zarif dengan satu percubaan lemah tepat ke arahnya. Perlawanan berlangsung sederhana dengan kedua-dua pasukan sangat kurang melepaskan percubaan tepat.

Sri Pahang hanya melakukan serangan kuat pada 2 minit terakhir perlawanan. Azam Azih naik lebih tinggi dan meraih 1 peluang keemasan untuk menewaskan Farizal namun perkara sebaliknya berlaku.

JDT membunuh perlawanan pada saat akhir, serangan JDT pada awalnya berlaku dari situasi serangan pantas 3 lawan 1 namun hantaran akhir pasukan itu menutup kelebihan tersebut.

Safawi Rashid mengalirkan semula bola kebawah sehingga Farizal perlu melakukan semula serangan dari bawah. Gerakan itu berjaya apabila Bergson berjaya menjadikan kedudukan 2-0 pada masa kecederaan.

Secara keseluruhan JDT bermain agak sederhana tetapi memadai bagi pasukan itu untuk menewaskan Sri Pahang.

Walaupun perlawanan berada dalam tempo sederhana, kedua pasukan banyak kehilangan bola dan kurang percubaan tepat dari kedua-dua pasukan, kami gariskan 5 perkara menarik yang berlaku dalam perlawanan tersebut.

1. KAD MERAH EZANIE MAT SALLEH

Pada minit ke-40 Ezanie dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan apabila dia mengangkat kaki terlalu tinggi sehingga terkena kepala Bergson.

Walaupun Bergson datang dari belakang, berada diluar penglihatan Ezanie tetapi kesalahan tersebut tidak dimaafkan oleh pengadil.

Ketika permainan berbaki 21 minit, Ezanie dilayangkan kad kuning ke-2 selepas membentes Gonzalo Cabrera. Kesalahan mandatori kad.

Ezanie dilayangkan kad kuning ke-2 dan diarahkan keluar dari permainan. Situasi tersebut lebih menyukarkan Sri Pahang untuk mencari gol penyamaan.

2. SAFAWI RASHID KEMBALI

Safawi Rashid kembali lebih cepat dari jangkaan. Penyerang sayap ini mengalami kecederaan pada 13 Mac lepas. Safawi hanya sempat bermain selama 9 minit ketika bertemu UiTM di Shah Alam.

Pada awalnya peminat mengatakan Safawi mengalami kedeceraan Anterior Cruciate Ligament (ACL) namun disangkal oleh pemilik kelab melalui kenyataannya di laman sosial.

Pada baki 20 minit terakhir semalam Safawi dimasukan mengantikan Aiman Arif dan menampilkan permainan lebih baik dengan hantaran bola kepada rakan dengan lebih cepat.

Sepanjang tempoh kecederaan Safawi tersisih 5 perlawanan atau lebih kurang 35 hari.

3. PAHANG TANPA 3 PEMAIN IMPORT

Sejak kebelakangan ini Dollah Salleh ada merungut tentang pemain import yang dimiliki oleh Sri Pahang.

Dalam 9 perlawanan Liga Super, Sri Pahang hanya berjaya menurunkan kesemua 5 pemain importnya dalam 3 perlawanan sahaja.

Sri Pahang turun dengan kekuatan 2 pemain import sejak 2 perlawanan lepas (Lee Tuck dan Yehven Bokhashvili). Lebih parah Bokhashvili tidak menyumbang apa-apa kepada pasukan.

Mamadou Wangue hanya terlibat 29% dalam 9 perlawanan pasukan, Pedro Henrique (49%) Herold Goulon (51%) dan Bokhashvili (63%). Lee Tuck tampil dalam 100% minit perlawanan pasukan.

Peratusan tersebut agak rendah ketika pasukan tidak mempunyai saiz skuad yang besar dan rungutan Dollah ada kebenarannya.

4. JARINGAN KE-9 BERGSON (7 PERLAWANAN)

Jaringan Bergson ketika bertemu Perak dibatalkan, jika tidak pemain ini sudah mencetak nama sebagai penjaring gol dalam kesemua 7 perlawanan disertainya.

Bergson menjaringkan gol ke-2 pasukan dalam masa kecederaan dan ia adalah jaringan ke-9 pemain dari Brazil itu.

Sebelum turun menentang Sri Pahang, ketajaman Bergson berada dalam situasi luar biasa. Dia merakam 6 gol dalam 3 perlawanan.

JDT dijangka bakal mempunyai center forward paling prolifik dalam sejarah pasukannya lebih-lebih lagi Bergson cukup gemar melepaskan percubaan tidak kira dari luar atau dalam kotak penalti.

Sesuatu yang agak berbeza pada sebelum ini terutamanya dalam sistem 4-3-3.

5. PERBEZAAN POSISI SAYAP SRI PAHANG & JDT

Sri Pahang turun dengan sistem 4-1-4-1 dan JDT seperti kebiasaan menggunakan sistem 4-3-3.

Koordinasi pergerakan Azam, Tuck dan Baqiuddin tidak menjadikan Sri Pahang dalam kedudukan formasi 4-1-4-1 tetapi lebih mirip kepada 4-5-1.

Serangan Sri Pahang tidak terlalu kuat apabila kedua-dua sayap -Nur Izzat Awang dan Shahrul Nizam Nadzir- tidak diberi sokongan kuat dari pertahanan sisi atau mana-mana pemain tengah pasukan.

Ia berbeza ketika Gonzalo Cabrera dan Arif Aiman sering dibantu oleh S.Kunanlan dan Lavere Corbin Ong. Afiq Fazail dan Leandro Velazquez juga akan mendekati penyerang sayapnya untuk mereka mempunyai lebih pilihan dalam melakukan hantaran.

Keadaan tersebut menyebabkan serangan Sri Pahang mudah dipatahkan dan agak terbatas.

RUMUSAN

Mungkin ada penonton mengatakan JDT tidak menampilkan permainan terbaiknya, tetapi harus diingat pasukan ini tidak akan menunjukkan prestasi terbaiknya jika bertemu pasukan lemah.

JDT hanya meningkatkan permainannya jika pasukannya diberi cabaran kuat, Sri Pahang tidak memberi cabaran yang kuat. Pasukan bimbingan Dollah Salleh gagal mendapat rentak sepanjang 20 minit pertama.

Pada baki 20 minit terakhir, Ezanie pula dilayangkan kad merah. Ia bermakna Sri Pahang hilang pelannya selama 40 minit atau separuh dari perlawanan.

Dollah Salleh perlu berkerja lebih keras dalam 2 perlawanan menentang Penang dan UiTM sebelum pusingan pertama berakhir.

Dalam tempoh itu JDT akan bertemu Terengganu dan Kuala Lumpur City.

Baca yang lain

Cafu: ‘Hanya Neymar Yang Ada Magis’

Cafu mempertahankan kualiti Neymar dengan menganggap dalam pasukan Brazil sekarang hanya beliau yang benar benar berkelas dunia. Cafu menganggap adalah tidak adil