Sri Pahang (2) Lwn Sabah (1): Lee Tuck Tampilkan Aksi 10 Bintang, Sabah Masih Dalam Proses Penyesuaian

Sri Pahang menamatkan retetan 3 perlawanan tanpa menang apabila menewaskan Sabah 2-1 di Stadium Darul Makmur. Sabah pula meneruskan rekod tanpa menang dalam 4 perlawanan, tewas dalam 3 perlawanan berturut-turut.

Pasukan bimbingan Kurniawan Dwi Yulianto itu akan menghadapi perlawanan sukar pada hujung minggu ini apabila turun menentang Terengganu di laman sendiri.

LAPORAN PERLAWANAN

Dalam perlawanan malam tadi Sri Pahang lebih baik berbanding Sabah sepanjang separuh masa pertama. Sabah menunjukkan peningkatan ketara selepas Levy Madinda dan Sam Johnson dibawa masuk pada babak kedua menggantikan Sabri Sahar dan Booby Gonzalez.

Yevhen Bashakhvilli mempunyai 2 peluang besar untuk meletakkan Sri Pahang di hadapan namun penyudahnya agak tumpul apabila menyepak lemah tepat ke arah penjaga gol Sabah, Robson Rining pada minit ke-13.

Tujuh minit selepas itu pemain berasal dari Ukraine itu sekali lagi melepaskan peluang apabila gagal menolak masuk hantaran dari Lee Tuck dalam kotak 6 ela. Sabah pula tidak mempunyai percubaan yang betul-betul mengancam ke arah gawang Sri Pahang.

Bagaimanapun Sabah mula menunjukkan taring seawal minit ke-3 separuh masa kedua apabila Johnson terlepas peluang melakukan penyudah selepas gerakan cantik dari Madinda yang menghantar bola kepada. Larian Johnson sudah memecahkan blok pertahanan Sri Pahang cuma produk akhirnya agak mengecewakan.

Dalam keadaan Sabah bertambah baik Sri Pahang berjaya menjaringkan gol pendahuluan yang berpunca dari situasi bola mati, sepakan percuma dari Tuck yang mencari Mamadou Wangue. Bola jatuh ke kaki Bashakhvilli dan pemain itu melepaskan sepakan separa voli yang terus masuk ke dalam gawang Sabah.

14 minit selepas itu Sri Pahang menamatkan perjuangan Sabah apabila Lee Tuck berjaya memenangi ariel duel dengan baik, bertarung dengan Park Tae Soo. Bekas pemain Terengganu itu berjaya menanduk masuk ke arah kanan pintu gol lawan.

Walaupun Sabah terus memberi cabaran dan berjaya menjaringkan gol 10 minit sebelum perlawanan berakhir melalui Saddil dari sepakan percuma Madinda namun ia terlalu lewat buat pasukan itu mencari gol penyamaan.

Sabah mempunyai peluang terakhir melalui Amri Yahya pada minit ke-87 tetapi pemain berusia 40 tahun memilih melakukan hantaran lintang liar berbanding percubaan terus ke gawang Sri Pahang.

5 perkara yang kami gariskan dalam perlawanan ini.

1. SABAH DALAM PROSES PENYESUAIAN (AGAK LEWAT)

Pada perlawanan pertama dan kedua hanya Park Tae Soo yang dapat digunakan oleh Sabah kerana Saddil Ramdani, Levy Madinda, Sam Johnson dan Risto Mitrevski masih berada dalam tempoh kuarantin.

Memasuki perlawanan ketiga Sabah menurunkan 4 pemain import kecuali Mitrevski dan pada malam tadi kesemua mereka berjaya diturunkan walaupun tidak bermain sepenuh masa.

Kelewatkan Sabah mendaratkan pemain ini agak merugikan mereka. Madinda dan Johnson belum mencapai tahap kecergasaan baik untuk membantu Sabah memberi saingan kuat di dalam liga. Proses ini akan memakan sedikit. Jadual liga kini sedang padat.

2. KAD KUNING MAMADOU WANGUE

Mamadou Wangue bermain 3 kali, Wangue sudah mengumpul 3 kad kuning iaitu 1 kad kuning pada setiap perlawanan. Mengikut kepada peraturan sebelum ini, pemain ini akan digantung 1 perlawanan pada hujung minggu ini.

Dijangka Dollah Salleh akan menggunakan Mark Goulon di posisi pertahanan tengah untuk bergandingan dengan Muslim Ahmad. Persoalan menarik adakah Sri Pahang akan terus menggunakan 3 midfielder center atau beralih kepada formasi kegemaran jurulatih itu 4-4-2/4-4-1-1.

3. LEE TUCK CEMERLANG MENAMPILKAN AKSI 10 BINTANG

Pemain paling menonjol dalam perlawanan ini ialah Lee Tuck. Tuck tidak lagi kerap turun kebawah untuk mendapatkan bola seperti yang dilakukan sebelum ini, Sri Pahang sudah mempunyai Goulon untuk tugasan tersebut.

Pemain tengah ini lebih banyak bergerak di sebelah kanan, kawasan yang melihat dia begitu efektif pada musim lalu. Hasilnya majoriti serangan Sri Pahang dilakukan olehnya terutamanya menghantar bola ke dalam kotak penalti Sabah.

Dia juga beberapa kali menyerang kotak penalti lawan dan lebih manis pemain kelahiran England ini mencetak nama sebagai salah seorang penjaring gol Sri Pahang.

4. PERLAWANAN YANG SEPATUTNYA ADA LEBIH JARINGAN

Yehven Bashakhvilli boleh menarik nafas lega apabila menjaya menemui jaringan pertamanya dalam kempen liga. Namun dia sebenarnya mempunyai 2 lagi peluang yang sepatutnya dijelmakan dalam bentuk jaringan.

Pemain ini perlu lebih tajam untuk mengemudi jentera serangan Sri Pahang, lebih-lebih lagi ketika pasukannya menggunakan lone striker disamping Baqiuddin dan Pedro Henrique juga masih belum menunjukkan naluri penyudah.

Saddil dan Amri juga mempunyai beberapa peluang baik tetapi tidak dapat menterjemahkan dalam bentuk jaringan. Ketajaman Johnson amat ditagih.

5. CENTER MIDFIELDER SABAH LEMAH

Sepanjang separuh masa pertama Sabah gagal menguasai kawasan tengah. Kurniawan menggunakan Syukri Baharun bergandingan dengan Sabri Sahar bagi mengemudi kawasan tersebut.

Sabri agak kurang melakukan gerakan kreatif untuk menyokong barisan hadapan sementara itu Syukri agak bergelut menangani gandingan Goulon-Azam-Tuck.

Sehinggalah Madinda dibawa masuk baharulah gerakkan serangan Sabah lebih kreatif. Jumlah serangan mereka meningkat dan menjadi lebih bahaya.

RUMUSAN

Sabah mempunyai ramai pemain tempatan yang agak baik seperti Rawilson Batuil, Maxsius Musa, Sabri Sahar dan Azzizan Nordin. Pemain ini masih belum menunjukkan tahap terbaik mereka.

Berbanding perlawanan lepas Sri Pahang lebih baik, fungsi Goulon, Tuck dan Azam lebih jelas dalam perlawanan ini. Tuck lebih banyak fokus kepada tugasan menyerang, Goulon dan Azam sering bertukar untuk mencipta serangan di bahagian kiri.

APA SETERUSNYA…

Sabah akan bertemu Terengganu di laman sendiri, perlawanan getir untuk mereka dalam mencari kemenangan pertama musim ini. Sri Pahang pula akan ke Stadium Majlis Petaling Jaya berhadapan dengan Petaling Jaya City.

Baca yang lain